• Muka Depan Majalah Midi edisi 1 April. Muka Depan Majalah Midi edisi 1 April.
1 /

BUKAN mudah mengatur temu janji dengan ahli perniagaan dan juga bekas pengacara ini. Mengatur janji jam 2.30 petang di Butik Jovian Mandagie di Jalan Bangsar, Datin Sharifah Shawati datang tepat seperti yang dijanjikan.

Melangkah keluar dari kereta MPV mewah bersama pembantu peribadinya, Christina, Shawati hadir dengan jumpsuit berwarna hitam dan berkaca mata gelap.

Tanggapan penulis, dia tegas, serius dan sedikit sombong. Namun sebaik memperkenalkan diri, dia mula menceceh. Ramah sekali orangnya. Membuatkan mood penulis ‘datang’ untuk memulakan penggambaran pada petang itu. Benar kata orang, 'don't judge a book by its cover'.

Penulis ingin tahu benar, ‘aura’ apa yang ada dalam dirinya. Sudahlah cantik, berjaya pula. Dia benar-benar menjadi inspirasi kepada penulis.

Bertanya tentang rutin hariannya, dia hanya menjawab tak tentu. “Terpulang pada jadual kerja. Dua hari seminggu saya di pejabat Adamaya Marketing untuk mesyuarat dan memeriksa produk keluaran Adamaya.

Tiga hari seminggu di Adamaya Consultancy Services untuk mesyuarat, menyediakan persediaan bengkel/seminar, pengendalian majlis dan menganjurkan bengkel Imej, Komunikasi dan Etika serta Skil Presentasi.

Sabtu dan Ahad pula diperuntukkan untuk keluarga kecuali disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan. Malam Sabtu masa bersama rakan-rakan untuk berlibur. Dari 10 pagi hingga 7malam masa bekerja dan saya perlu berhenti untuk solat Maghrib dan makan malam bersama keluarga serta melihat perkembangan anak-anak. 

Jam12.30 tengah malam masa untuk balas e-mel dan baca buku sebelum tidur,” ceritanya memulakan perbualan.


Cantik bukan untuk Datin sahaja

Seakan ada magnet untuk menarik penulis daripada terus menatap wajahnya. Seorang yang begitu menjaga penampilan, very versatile, dan begitu berjaya. Adakah mungkin kerana gelaran ‘Datin’ yang disandangnya?

“Tanpa gelaran ‘Datin’ pun kita harus jaga peradaban, tingkah laku, penampilan, dan sebagainya. Ini adalah tanggungjawab hakiki setiap individu. Bagi saya pangkat ‘Datin’ hanyalah satu anugerah yang dikurniakan sebagai tanda hormat atas usaha atau sumbangan kepada masyarakat,” jawabnya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik. Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia kecuali dianugerahkan kelebihan mengajar diri untuk sentiasa gembira dan senyum selalu. Saya mengajar diri untuk bijak mengawal emosi.

Secara jujur, walaupun saya ditimpa masalah berat saya sentiasa tenang dan senyum selalu. Ini kerana senyum akan membawa rezeki pada saya. Saya tidak boleh sedih kerana itu akan menggugat kehidupan dan perniagaan saya.

"Saya juga banyak berzikir untuk menenangkan fikiran selain melakukan urutan badan, bertungku dan lulur dua kali sebulan untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Saya mengamalkan membaca ayat suci al-Quran sebelum keluar rumah dan juga mengambil banyak vitamin tambahan untuk tenaga,” katanya yang gemar shopping untuk menghilangkan tekanan. Dengan memakai lipstik sahaja dapat membuatkannya happy serta merta!


Suka cantik

“Saya menyukai bidang kecantikan. Perundingan imej ialah cabang diversifikasi selepas perkhidmatan salon rambut dan pada masa yang sama menghasilkan produk minuman kesihatan daripada jenama Adamaya," katanya.

Bagi saya semuanya berkait rapat kerana untuk menghasilkan imej positif secara total, seorang individu perlu mempunyai tahap kesihatan mental dan fizikal serta spiritual yang mantap. Ia bukan sekadar menempek solekan di muka atau menukar fesyen rambut. Saya melihat bidang ini cukup luas untuk dipelopori. Bagi saya satu kepuasan dalam diri tatkala melihat seseorang individu itu kelihatan lebih berkualiti dan berketerampilan positif daripada hasil kerja saya.

Ia bermula apabila ramai rakan yang sedar dengan kelebihan saya menata rias mereka dan menyuai padan pakaian setiap kali mereka ingin menghadiri majlis. Maka saya terfikir untuk mengasah bakat yang ada ke tahap yang lebih tinggi. Saya menjadikannya sebagai punca pendapatan dan nilai tambah dalam diri dan juga perniagaan,” jelasnya panjang lebar.


Pernah dibayar RM50
“Alhamdulillah, banyak perkembangan positif dalam kehidupan saya. Dari segi karier misalnya, berkembang secara positif . Perniagaan banyak membuka cabang baru untuk di eksplorasi. Jika kita membuat pilihan yang positif baik dari segi karier, perhubungan antara manusia, perniagaan dan tabiat, maka kehidupan kita akan terus berkembang positif. Kejayaan seseorang tidak semestinya hanya diukur dengan anugerah, trofi ataupun award tetapi kepuasan dalam diri dan kesedaran bahawa kita telah melakukan yang terbaik  untuk diri, keluarga dan masyarakat ialah kejayaan sejati.
Bagi saya kehidupan bukanlah destinasi tetapi sebuah pengembaraan yang tiada noktah. Saya banyak berdikari sejak kecil dan membantu menyara keluarga. Saya pernah mengambil dua bas dari perhentian bas Ampang untuk ke Kelana Jaya untuk bekerja sebagai model sambilan dengan bayaran RM50 setiap show  dan pada masa sama menjual karipap kepada kawan-kawan.
Sepanjang perjalanan karier saya daripada seorang model kemudian pramugari dan pada masa sama membaca berita sambilan di RTM dan TV3, sehinggalah kini sebagai usahawan dan perunding imej, saya amat bersyukur dengan kesenangan yang saya kecap daripada hasil titik peluh sendiri.

Saya sentiasa percaya pada diri, passionate dan fokus dalam setiap kerja yang saya lakukan. Semua yang saya lalui sering mengajar saya sesuatu yang baru. Saya akan terus mengorak langkah dan mencabar diri dengan sesuatu yang baru,” katanya yang masih suka bidang pengacara dan ingin sebuah program seperti talk show ala Oprah Winfrey.


Belajar berkata tidak

"Saya berasa bertuah kerana tugas mengikut jadual sendiri. Walaupun kita nak cari duit, kita perlu ada keseimbangan dalam kehidupan. Perlu belajar berhenti atau berkata ‘tidak’ pada sesuatu yang kurang penting dan perlu pandai membuat pilihan.

"Kami sekeluarga semuanya ada tugas hakiki dan anak- anak memahami tugas saya. Kadang-kadang saya membawa mereka melihat bengkel dan seminar yang saya anjurkan dan melibatkan mereka mengambil bahagian membantu saya menjual buku atau mengambil gambar bengkel untuk dimuat naik ke atau laman sosial.

"Kami sering bercuti ke luar negara pada cuti sekolah dan gemar melakukan aktiviti sukan air bersama. Pada hujung minggu, saya akan luangkan masa bersama mereka dengan makan di luar, menonton wayang, berkaraoke dan beriadah. Saya juga suka menari dan menyanyi bersama anak-anak.

Gemar aktiviti laut seperti jet ski dan para sailing. Saya suka membaca buku motivasi dari Barat yang berunsur psikologi selain majalah fesyen antarabangsa,” ceritanya yang mengimpikan membuka cawangan Adamaya Retail Showroom di Malaysia dan Asia Tenggara dalam masa lima tahun akan datang. 


Jangan takut berubah

“Saya mengharapkan wanita dan masyarakat Malaysia umumnya supaya menukar sikap sambil lewa dalam menjaga imej diri kerana ia sangat penting. Jika kita tidak mengambil berat tentang diri sendiri maka orang lain tidak akan mengendahkan kita.

Menjaga imej diri ialah tanda kita menghormati diri kita bukan saja-saja nak melawa. Apatah lagi dalam dunia perniagaan apabila kita perlu bersaing dalam segenap segi secara global.

"Ada yang hadir di bengkel imej semata-mata kerana dipaksa oleh majikan tetapi mereka sendiri tidak ada inisiatif mempraktikkannya. Ini satu sikap malas dan mereka telah menutup hati mempelajari sesuatu yang dapat memberikan kebaikan pada diri mereka.

Kerana mereka tidak mahu perubahan atau takut menghadapi perubahan. Mereka perlu lebih berani bersuara dan jangan takut. Tukar cara pemikiran dan percaya pada diri sendiri,” tegasnya.


Fokus & dedikasi

“Passion is key. Saya menyukai apa yang saya lakukan dan lakukannya dengan penuh fokus dan dedikasi. Tidak pernah putus asa dan bagi saya tiada yang mustahil. Aset utama dalam diri saya ialah my willpower  atau semangat.

Kita mungkin hilang segalanya tetapi kita tidak boleh hilang semangat diri. Sokongan keluarga dan doa ibu saya juga membuatkan apa yang saya kerjakan membawa berkat. Alhamdulillah.”


* Artikel sumbangan majalah MIDI edisi 1 April 2013