• Muka Depan Majalah Nona edisi Januari 2013 Muka Depan Majalah Nona edisi Januari 2013
  • Norkumalasari & Aida Khalida Norkumalasari & Aida Khalida
1 /

MENGUMPUL seluruh kekuatan. Menyimpul takwa dengan keyakinan untuk terus melangkah, meraikan tiap kurniaan-Nya di atas landasan kehidupan. Dunia Noorkumalasari dan Aida Khalida kini bertambah bahagia, dibalut damai dan diselimuti rahmat Yang Maha Esa.

Lalu berbekalkan rasa rindu dan impian mega, Nona membuka tirai 2013 ini dengan mengabadikan gaya timeless mereka. Digarap menjadi satu, dua ikon primadona Muslimah sebagai kejutan tahun baru!

Usaha untuk melamar kedua-dua seniwati jelita ini sejujurnya bukan mudah. Kalau difikirkan semula, bertubi-tubi cubaan telefon dan kiriman SMS, pasti mencuit tawa kecil sesama kami. Sedari bukan sebulan dua, tapi bertahun-tahun lamanya.

Alhamdulillah akhirnya jodoh mencatatkan takdir kami bertemu pada edisi Januari 2013, suatu momen yang pastinya tidak mungkin seisi krew Nona lupakan. Terlalu gembira dan berdebar-debar, saling bergaul menantikan hasil yang fabulous!

Kamar suite mewah The Sheraton Imperial Hotel gamat seketika apabila Noorkumalasari dan Aida tiba. Ibarat panahan cinta pandang pertama, rasa takjub menyelubungi jiwa penulis ketika menikmati keindahan raut wajah mereka yang bagai langsung tidak terusik.

Masih ampuh melayangkan aura glamor, biarpun pada usia senja. Gaya dua jelitawan ini tambah memukau di sebalik persalinan dramatik Calvin Thoo dan Melinda Looi, mencetus pesona Islamik dalam atmosfera moden.

Persiapan untuk perjalanan kekal

Masa seakan terhenti. Hadirnya beliau begitu dinanti, menjawab sejuta satu teka-teki dan mengubat kerinduan peminat seni generasi 70-an dan 80-an. Petang itu, seniwati popular ini tampil elegan dalam sepersalinan jubah hooded denim dan kerudung hitam.

Ya, amat teduh dan sejuk mata menatap wajahnya, biarpun masih bersih belum dipalit warna solekan. Walaupun kini dalam identiti berbeza, nama Noorkumalasari tetap segar sebagai bintang popular, penghibur, penyanyi, bintang filem dan peragawati paling terkenal dalam eranya!

Seperti bait-bait lirik Mata yang dilantunkan, ‘mata menjeling, mata menggoda, matalah asalnya...’ begitulah perasaan penulis pabila bertemu mata ke mata dengan wanita anggun ini. Ulas senyuman yang terukir mengingatkan penulis pada wataknya sebagai Cikgu Sharina dalam filem Adik Manja.

Bahkan tiba-tiba, bayang filem Tiada Esok Bagimu, Tuan Badul, Abang serta Mira Edora kini berputar segar dalam kotak fikiran penulis! Ah, jujur penulis akui, pengaruh beliau amat besar dalam dunia perfileman negara kita. Bakatnya satu lagenda!

Setelah hampir dua dekad meninggalkan pentas glamor, kini dunia Noorkumalasari atau Noor, 56 tahun, hanyalah pada keluarga dan ibadatnya pada Maha Pencipta. She’s living her dream life, di sisi pasangan tercinta, Wan Mohamad Yusoff. Timbul rasa seronok berbual tentang gaya hidup ringkas yang mereka jalani, sehingga dalam diam membiuskan mimpi baru agar jejak langkah itu bisa dituruti, suatu hari nanti.

“Sebenarnya hidup saya sekarang sangat menenangkan. Setiap hari ditemani suami yang kini sudah bersara. Kami sama-sama memulakan hari dengan senaman, awal pagi sesudah solat pasti akan lakukan aktiviti renang dan bersauna. Kemudian kami bertolak ke Ceragem untuk rutin berurut di atas katil khas yang dilengkapi khasiat batu-batu jed. Maklumlah pada usia begini, kesihatan perlulah diutamakan. Selain mengambil berat faktor pemakanan, kami percaya urutan katil Ceragem baik untuk membetulkan tulang belakang.

Sejurus itu, kami bergegas pula mengambil anak dan sama-sama makan tengah hari di luar. Oh, selama ni juga suami tak galakkan saya memasak, katanya nanti banyak masa terbuang di dapur. Mungkin sikap saya yang terlalu teliti, berjam-jam di dapur buat dia kurang selesa,” kata ibu kepada tiga putera, Wan Amin-Nurrasyid (20), Wan Amni-Nuruddin (18) dan Wan Irfan Nurul Atiq (16) ini sambil tertawa kecil. Sambung beliau lagi, aktiviti sebelah petang lebih tertumpu pada ibadat mereka di masjid, selain menguruskan hal-hal keperluan keluarga.

Dunia hiburan

Terbit tanda tanya, sama ada suri rumah sepenuh masa ini masih menghubungi kenalan artis serta mengambil tahu perkembangan hiburan semasa. “Sudah tentu! Walaupun tidak selalu, tapi saya masih berhubungan dengan beberapa rakan lama seperti Nancy Foo.

Dengan Aida Khalida pula kami berjumpa kali terakhir semasa majlis pelancaran butiknya dulu. Sesekali ada telefon dan mengirim SMS, tanda persahabatan masih utuh terjalin. Tentang dunia hiburan pula, saya jarang follow secara serius. Tapi saya kerap menonton rancangan televisyen, antara yang terbaru Putera Rayyan dan Mimpi Cinderella di TV3. Perkembangan dunia peragaan semasa pula, saya langsung tidak ambil tahu. Tapi sepintas lalu, saya prefer model-model masa zaman 80-an. Kami macam besi penggantung baju, as thin as Twiggy kerana bentuk badan perlu betul-betul kurus tanpa isi.”

Jika rakan-rakan seangkatan lain kini kembali sibuk membuat comeback, Noor pula lain kisahnya. “Saya benar-benar tidak berhasrat untuk kembali aktif dalam dunia seni. Saya dah puas. Dulu berkejar cari rezeki, sekarang biarlah saya berkejar pula ke masjid.

Bila ada waktu, saya senang menyelak halaman al-Quran dan baca sekurang-kurangnya tiga ayat. Memang tumpuan saya pada usia begini, hanya pada ibadat semata-mata. Kalau boleh nak tatap kalam ALLAH ini setiap kali sebelum azan berkumandang.”

Berhijrah ketika namanya masih dipuja, pasti bukan mudah bagi Noor untuk mengubah pemikirannya sebagai seorang Muslimah dengan menyeluruh. Lebih-lebih lagi latar belakang keluarga dan masyarakat di sekeliling beliau ketika itu, seolah kurang memberi sokongan. “Dulu dan sekarang memang banyak bezanya. Walaupun dulu saya kurang solat, saya amat takut pada ALLAH, perasaan itu sentiasa ada.

Malah dalam tempoh tujuh tahun hidup tanpa suami, saya agak jahil dan lazim solat saya hanya pada waktu Maghrib saja. Pun begitu, saya tak pernah berhenti menadah doa. Pinta saya pada ALLAH, kalau dipertemukan jodoh sekali lagi, temukan saya dengan lelaki yang beriman. Yang bukan cuma membahagiakan, tapi mampu membawa saya mengerjakan Umrah dan Haji. Alhamdulilah, saya bersyukur doa itu dimakbulkan.”

Tahun 1990 membuka lembaran baru dalam hidup Noor apabila dipertemukan dengan pasangan tulang rusuknya. “Bagi saya, dialah segala-galanya yang setiap wanita impikan di dunia ini. Dia mempunyai ilmu agama serta pernah belajar Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran.

Bila di sisi, dia seperti kamus bergerak saya. Senang bila timbul kemusykilan tentang sesuatu ayat atau hadis Nabi, saya rujuk padanya,” terang Noor yang berbeza hanya lima tahun usia dengan suami.

Lebih membahagiakan sepanjang tempoh perkahwinan ini, telah beberapa kali mereka diundang menjadi tetamu ALLAH di Mekah. Kenangan sewaktu pertama kali mengerjakan ibadat Haji pada tahun 1997 lalu masih tebal dalam ingatan Noor.

“Tempoh tinggal seminggu saja lagi sebelum penerbangan kami untuk membuat Haji. Perasaan ketika itu antara gembira dan terkejut. Tiba-tiba pula kami ditimpa dugaan, sehari sebelum penerbangan, anak yang baru berusia enam bulan pula menghidap chicken pox. Tidak keruan rasanya. Mujurlah suami menenangkan saya, katanya kami akan jadi tetamu Allah. Dialah yang akan menjaga anak-anak yang kita tinggalkan.”

Pelapis

Tidak seperti zaman dulu, kini semakin ramai generasi artis berhijab yang mempertaruhkan bakat. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Yuna, Shila Amzah, Najwa Latiff, Irma Hasmie dan ramai lagi. Tidak terkecuali, hijrah artis senior seperti Sharifah Aini, Uji Rashid, Ogy Ahmad Daud, Mek Habsah, Wilma Muhamad dan Aida Khalida.

“Syukur ramai yang saya perhatikan, muda-muda lagi dah dapat hidayah. Saya bangga mereka cepat sedar tentang pentingnya agama. Macam pada zaman saya dulu, dedahan rohani agak kurang. Harapan saya supaya lebih ramai artis-artis wanita di tanah air menutup aurat supaya rezekinya berkat.”

Imej ‘Lady in Black’ sememangnya amat sinonim dengan diri Noor walaupun sebelum beliau berhijab. “Daripada sehelai jubah hitam, saya gandingkan dengan elemen warna-warna lain untuk menaikkan seri. Ilham gaya jubah hitam atau abaya ini saya dapati ketika menunaikan Umrah, dimana ia menjadi identiti wanita Arab.

Disebabkan potongannya yang longgar, ia juga memudahkan saya untuk menunaikan solat. Salah satu kelebihan berpakaian begini ialah saya sentiasa siap sedia untuk ke masjid. Di mana saja saya berada, apabila terdengar seruan azan, saya terus ke masjid terdekat dan sembahyang berjemaah tanpa memerlukan telekung. Sudah 10 tahun saya sentiasa menjaga wuduk dengan cara ini.”

Sebagai personaliti yang pernah memiliki latar belakang fesyen yang kuat, tidak lengkap kiranya jika tidak bertanya tentang perkembangan fesyen kini dimatanya. “Tentang fesyen di tanah air, saya fikir apa yang sedang in sekarang semua sudah saya gayakan dulu. Hanya saya terperanjat dengan label harga yang melampau. Jika dulu dengan RM 1,000, saya sudah boleh membeli sehelai jaket Prada atau Gucci. Tapi kini, sehelai jaket Marc Jacobs sahaja sudah berharga RM 15,000! Price is unbelievable. Mujurlah kini muncul ramai pereka fesyen tempatan yang mewarnai dunia fesyen. Pasti mereka dapat menawarkan karya yang baik pada harga yang lebih berpatutan,” komen Noor yang pernah menguruskan salun rambut dan butik miliknya sendiri, suatu ketika dulu.

Anak

Sebagai orang tua yang lebih dahulu makan garam, tentu Noor punya strategi sendiri untuk mendidik anak-anak, khasnya mereka yang kini sedang meningkat dewasa. Sempat dia tertawa kecil kala diajukan soalan ini... “Kalau sekarang pun susah, sebenarnya saya lebih sukar bayangkan bagaimana mereka bakal mendidik anak-anak mereka nanti! Untuk pendidikan awal, kami hantar mereka bersekolah agama agar mereka mendapat ilmu asas dari kecil. Suami pula rajin membawa anak-anak ke masjid sejak mereka berusia tiga tahun lagi.

Tak dinafikan, sebagai ibu bapa moden, cabaran mendidik anak-anak kini bukannya mudah. Persekitaran mereka dengan telefon bimbitnya, Internet, Skype dan Facebook, buat mereka lebih terdedah kepada akhlak Barat.

Kadang-kadang bila dah terbiasa sindir-menyindir kawan, dengan ibu bapa pun terbawa-bawa perangai itu. Justeru, apa yang mampu saya lakukan ialah nasihat saja, berkali-kali saya ingatkan ‘jangan sampai menderhaka’.

Bagi saya dan suami, tugas kami pada anak-anak tak pernah habis. Cuma kami bersyukur kerana sudah jalankan kewajipan, saya sudah beri mereka pelajaran dunia dan akhirat, sudah gesa mereka tunaikan solat, taat pada ibu bapa dan paling penting pada Maha Pencipta.”

Terlintas sama ada anak-anak Noor pernah menonton filem lakonannya atau poster beliau sebelum berhijrah... “Ya, mereka pernah tengok. Malah saya juga ada tanya pada anak-anak, ‘suka Mama dulu atau sekarang?’ Bila mereka tengok berkali-kali, alhamdulilah mereka suka pada gaya saya sekarang.”  

Tambah Noor, dia tidak cerewet pada pilihan anak-anak pabila sampai kepada soal gadis pilihan. Cuma yang penting, gadis itu mesti hormat pada ibu bapa dan memiliki akhlak yang baik. “Saya tidak kisah jika pilihan mereka nanti bertudung atau tidak.

Saya bimbang jika terlalu fussy, anak-anak ini hanya akan berlakon baik di depan kita. Malah saya juga tidak larang mereka berfesyen asalkan tahu batas-batas berpakaian.”

Tentang kenangan 2012... “Paling manis ialah apabila anak tunggal dari perkahwinan pertama saya, Abdul Qayyum, berkahwin dengan gadis idaman hatinya. Saya tumpang gembira. Selain itu, masih banyak yang belum tercapai, tapi saya berusaha untuk mengecapnya pada tahun baru ini.

Saya ingin sampai ke masjid sebelum azan setiap waktu supaya dapat membaca Quran dan solat sunat sebelum solat berjemaah.

Walaupun saya ada menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah tapi saya menolaknya kerana takut tersilap cakap tentang agama. Namun jika diminta beri nasihat satu persatu, saya tidak pernah menolak,” ujarnya lembut.

Mengakhiri pertemuan kami, sempat penulis ajukan apakah pengalaman lalu yang paling disesali dalam kamus hidupnya. “Apa yang pernah saya lalui, itulah yang telah Allah izinkan. Saya bersyukur kerana Dia tidak menamatkan kehidupan saya semasa itu.

Sekarang bagi saya, glamor dan populariti sudah dirasai. Mujurlah ia tidak berlaku semasa saya sudah tua. Dengan pertolongan Allah, saya gembira kini saya sudah berada di landasan yang lebih baik. Tidak pernah muncul rasa terkilan, saya bersara kerana diri sendiri mahu berhijrah. Bagi saya, semua ini adalah persiapan dalam menuju alam kehidupan yang lebih kekal,” akhirinya.

HIJRAH HATI MENCARI CINTA ILAHI

Tampil berhijab bukanlah menjadi penghalang kepada aktres berbakat besar ini untuk terus mewarnai pentas lakonan. Sesungguhnya rezeki itu kurniaan Maha Pencipta. Aida Khalida bukanlah nama yang asing bagi penggiat seni lakon layar ini.

Kesibukan kerja dan urusan peribadi yang masih belum selesai, menyebabkan beliau menolak pelawaan kami untuk menjemputnya menjadi penghias muka hadapan majalah Nona sejak bebarapa bulan yang lalu. Malah, temu janji yang kami aturkan kali ini pula hanya dipersetujui setelah dipujuk rayu untuk membuka tirai 2013.  

Petang itu Aida Khalida tampil dengan imej muslimah yang cukup sopan. Pertama kali menatap secara dekat wajah pelakon berbakat besar ini, penulis seolah terpaku seketika. Benar, tiada sedikit pun perbezaan antara wajah yang kerap menghiasi kaca televisyen ini biarpun apabila bersemuka secara langsung.

Sifat keibuan dan lemah lembut milik pelakon ini jelas terpancar daripada lenggok percakapannya yang santun.

Rasanya sudah setahun wajah wanita anggun ini tidak menghiasi mana-mana halaman majalah mahupun dada-dada akhbar. Namun Aida Khalida punya jawapan tersendiri. Nona sememangnya bertuah apabila Aida Khalida bersetuju untuk sekali lagi tampil sebagai penghias muka depan untuk edisi kali ini.

Menjawab segala persoalan, Aida menegaskan bukanlah maksud beliau untuk lari daripada perhatian media, tetapi beliau tidak punya cerita menarik untuk dikongsi bersama peminat di dalam majalah.

Tidak menolak dakwaan penulis, apakah benar kesepian Aida adalah disebabkan menjaga nilai ‘eksklusif’ dirinya? “Pada usia saya yang semakin meningkat ini, mutu lakonan dan juga kredibiliti saya sebagai seorang pelakon perlu diperkukuhkan untuk saya terus berkarya di pentas lakonan. Tiada niat langsung untuk menyepi, tapi saya fikir waktu itu tiada perkembangan terkini untuk dikongsi,” ujarnya.

Berbicara  tentang perkembangan terkini, Aida Khalida mula mengukir senyuman. Mungkin inilah saatnya untuk beliau membuka ceritera tentang perjalanan hidupnya yang penuh kegembiraan. “Saya kini baru sahaja pulang bercuti daripada Jerman dan Paris bersama keluarga tercinta.

Walaupun kesibukan bekerja membataskan waktu untuk saya berlibur, percutian singkat selama 10 hari itu nyata membuka satu lembaran baru terhadap diri saya,” katanya dengan penuh semangat.

Berpeluang meninjau ke negara orang, nyata Aida tidak mensia-siakan peluang yang ada. Mengumpul segala pengalaman dan semangat yang berkobar-kobar, Aida pulang ke tanah air tercinta dengan azam baru.  Cuba untuk tidak memikirkan kemelut yang pernah melanda diri suatu ketika dahulu, Aida bertekad mahu meneruskan kehidupan dengan penuh keyakinan.

Diaju mengenai rentetan perjalan seni Aida Khalida bagi tahun 2012, Aida tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran. Baginya, tahun 2011 dan 2012 adalah zaman di mana Aida Khalida mencapai kegemilangan. Sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan ini, Aida nyata berpuas hati dengan pencapaiannya kini.

Nyata 2012 memberikan 1001 kenangan manis dalam kamus hidupnya apabila banyak perkara indah yang terjadi terhadapnya. Aida mengharapkan tuah pada kariernya sepanjang tahun baru ini konsisten, memandangkan Aida Khalida bercadang mahu menerbitkan sebuah produksi drama pada tahun ini.

Bergelar ibu tunggal, Aida sendiri pasti sahaja mampu meluangkan sepenuh perhatian kepada lakonan memandangkan anak-anaknya sudah besar panjang. Masanya kini pula banyak dihabiskan di set penggambaran drama. Malah bagi terus mengekalkan mutu lakonannya, Aida nyata lebih berhati-hati dalam memilih watak agar impak lakonannya dapat dirasai oleh penonton dan juga peminatnya.

Lebih dua dekad di dalam pentas lakonan, Aida Khalida sudahpun mencuba pelbagai jenis watak. Sama ada watak utama, watak sampingan, watak antoganis semuanya sudah sebati di dalam dirinya. Aida percaya, jalan cerita sesebuah drama atau filem itu bukan sahaja bergantung kepada plot penceritaan yang dramatik, malah keberkesanan penyampaian sesuatu watak itu lebih utama.

“Kitalah yang menghidupkan sesuatu cerita itu melalui watak yang dipegang. Walaupun saya sudah lama berkecimpung di dalam arena lakonan ini, masih banyak yang perlu diperbaiki,” jelasnya lagi.

Dihujani dengan pelbagai ujian dalam melayari bahtera kehidupan, Aida Khalida tidak sedikit pun goyah dengan setiap cabaran yang datang. Malah, keluargalah yang banyak memberikan sokongan kepadanya untuk terus mengatur langkah meneruskan perjalanan hidup yang penuh dengan  ranjau ini. Pernah berdepan dengan kemelut rumah tangga, Aida tidak mahu membuka sejarah lampau.

Katanya, “Saya hidup untuk masa sekarang, bukan masa silam dan bukan juga masa hadapan.” Beliau percaya, setiap musibah yang melanda itu adalah lambang kasih sayang Pencipta kepada dirinya yang tidak mahu dirinya berterusan lalai daripada jalan yang benar. “Sekiranya saya sendiri tidak reda dengan setiap yang berlaku, sudah pasti saya tidak percaya akan segala Qada dan Qadar yang telah ditetapkan,” tambahnya lagi.

Diusik dengan soal cinta, pintu hati Aida Khalida ini sentiasa terbuka untuk menerima jodoh yang sudah ditetapkan untuknya, katanya sambil berseloroh. “Seperti wanita lain, saya juga ingin memiliki dan dimiliki.” Melalui lirikan matanya, Aida Khalida nyata tidak mampu berselindung apabila diajukan soal cinta. Mungkin kini, beliau sedang meniti saat-saat indah dan bahagia. Hanya empunya badan yang mengetahui rahsia hati.

“Biarlah saya menjaga hubungan cinta saya ini dengan kekasih hati yang satu, Allah S.W.T., pintu hati saya juga masih belum diketuk oleh mana-mana lelaki,” tambahnya lagi. Aida tidak mahu terlalu memikirkan jodohnya, biarlah segala-galanya ditentukan oleh tuhan maha pencipta.   

Malah penghijrahan Aida Khalida kearah imej muslimah mendorongnya untuk menjaga batas dalam lakonannya. Kini, Aida Khalida lebih mementingkan penampilannya di pentas lakonan apabila tidak sewenang-wenangnya menerima watak yang bukan mempersembahkan imej wanita muslimah.

Tidak pernah terdetik dihatinya kini untuk memperjudikan aurat semata-mata untuk mendapat kepuasan dalam lakonan.  Baginya yang menonton drama lakonanya adalah bukan muhrim. Pesan Aida pada pelakon baru yang bertudung, tetapkan di dalam hati jati diri agar tidak memandang remeh perihal aurat.

Tenaga produksi sesebuah drama juga perlulah menghormati penampilan palakonnya yang bertudung agar tidak menyentuh hak mereka.

Hasrat murni untuk berdakwah di dalam lakonan melalui penampilannya masih diteruskan. Aida Khalida mahu mengajak lebih ramai lagi wanita diluar sana yang bertudung dengan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T. dan bukan atas desakan daripada sesiapa.  

Melihat tranformasi Aida Khalida dalam berpenampilan serba anggun dan jelita, Aida menyatakan bahawa dirinya sangat obses kepada fesyen. Walaupun kini beliau sudah bertudung, namun itu tidak membataskan dirinya untuk berpenampilan menarik dan mengikut gaya fesyen terkini. “Saya suka kelihatan cantik, inilah rahsia saya tampil yakin di hadapan khalayak ramai,” tambahnya.

Pintalan tudung sepanjang sesi fotografi bersamanya sudah cukup membuktikan dirinya seorang yang kreatif dan bijak bergaya. Baginya, tudung itu bukan sahaja hijab yang membalut kepala malah hijab boleh digayakan dengan pelbagai cara berlandaskan syariat yang ditetapkan.

Berkaitan soal perniagaan tudung yang pernah diusahakan tidak lama dahulu, Aida Khalida berkata kontraknya bersama tudung berkenaan telah pun tamat tetapi kini anaknya pula yang mengambil alih perniagaan ini.

Melihat kepada  raut wajah pelakon berbakat besar yang cantik ini, ramai yang tertanya-tanya apakah petua yang selalu diamalkan oleh wanita yang pernah bergelar seorang peragawati terkenal suatu masa dahulu? Tidak mahu dikatakan riak dan takbur kepada nikmat kecantikan yang dianugerahkan kepadanya, Aida Khalida bersyukur kerana memiliki kulit yang cantik.


* Dapatkan laporan lengkap lagi menarik dalam majalah Nona edisi Januari 2013 di pasaran sekarang