• Muka Depan Majalah MIDI Muka Depan Majalah MIDI
1 /

BUKAN mudah sebenarnya menjadikan figura yang digemari ramai ini sebagai penghias muka depan MIDI. Komited terhadap tugasnya sebpelakon membuatkan wanita berambut ikal mayang ini memberi tempoh sehingga tamat penggambarannya dengan pihak produksi.

Walaupun tampil dengan wajah polos sambil ditemani suami lewat pertemuan kami, keayuannya terserlah. Dilla Ahmad atau nama sebenarnya Nor Fadzila Ahmad, 40, nampak lebih muda fikir penulis kerana sejak akhir-akhir ini sering melakonkan watak seorang ibu yang disolekkan lebih matang.

Wanita yang memulakan kerjaya sebagai pelakon melalui filem Baginda ini  bersih daripada sebarang kontroversi. Tidak pernah sekalipun terdengar atau terbaca tentang kisah negatif wanita ini.

“Sebenarnya tiada apa yang boleh saya kongsi dengan pembaca. Saya lebih suka low-profile dan jarang masuk majalah atau surat khabar. Saya lebih fokus pada kerjaya.

Memang saya akui gosip mampu menaikkan nama seorang artis tetapi saya tidak berfikiran begitu. Bagi saya disiplin yang tinggi dan komited terhadap apa-apa juga kerjaya yang diceburi adalah yang paling utama.

Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran berlakon dan gembira kerana khidmat saya masih diperlukan dalam industri ini,” katanya bersungguh-sungguh setelah selesai penggambaran kami pada petang itu.

Saya sempat menjeling suaminya yang setia menunggu sehingga usai sesi bergambar.

“Sudah empat tahun saya berkahwin dengannya. Kami bertemu di lokasi dan masih ramai yang tidak tahu tentang perkahwinan kami. Bukan kami berkahwin sorok-sorok tetapi kami lebih bersikap low-profile atau mungkin juga kami tidak popular,” kata isteri kepada pelakon Shahrul Zaman Kamaludin ini dan tidak mahu mengulas lanjut tentang perkahwinannya kerana menghormati permintaan suami.

Mengimbas kembali saat mula bergelar pelakon, Dilla yang dahulu pernah bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Suria Record berkata, dia menyahut cabaran kawan-kawan untuk menyertai uji bakat filem Baginda arahan Aziz M. Osman.

Tidak sangka pula dia terpilih untuk melakonkan salah satu watak yang terdapat dalam filem tersebut. Bermula dari itu pelbagai tawaran yang datang sehingga menyebabkan wanita ini mengambil langkah berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang lakonan.   

Ibarat kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Begitu juga wanita yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini yang mula bertapak dalam perniagaan sarang burung sebagai persediaan masa depan.

“Saya dan suami bekerjasama dalam menjalankan perniagaan ini. Jika tiada penggambaran saya akan menemani suami keluar mesyuarat atau meninjau lokasi.

Kami bertindak sebagai perunding kepada orang yang mahu memulakan perniagaan sarang burung. Kami memberi khidmat nasihat dari segi lokasi yang sesuai dan sebagainya. Sebenarnya industri sarang burung ini luas dan semakin meningkat permintaannya,” terangnya tentang dunia perniagaan yang diceburinya.  

Apabila diusik dengan persoalan tidak jemukah menguruskan perniagaan bersama suami, lantas jawabnya, “Saya lebih selesa kalau dia ada di sisi. Kalau berjumpa orang sekalipun tahu kita bersama suami rasanya lebih selamat.

Keluar awal pagi bersama dan pulang daripada kerja bersama bagi saya lebih berkat dan rezeki murah. Lebih-lebih lagi dapat mengeratkan hubungan,” kata wanita yang mudah mesra ini.

Menurut wanita yang mula menginjak ke usia 40 ini, kehidupannya kini lebih bahagia dan teratur. Ketika muda mungkin mahu melakukan semua perkara tanpa berfikir akibatnya tetapi tidak apabila usia semakin matang.

“Pada usia ini apa-apa sahaja yang ingin dilakukan, kita akan sentiasa berfikir dari sudut positif dan negatifnya. Semasa muda saya seorang wanita yang baran tetapi peningkatan usia ini membuatkan saya lebih sejuk dan mudah beralah.

Pemergian saya mengerjakan umrah tempoh hari telah mengubah diri saya sedikit demi sedikit. Saya gembira dan bahagia dengan perubahan ini,” katanya penuh yakin.

Menyingkap rahsianya yang kekal jelita sehingga sekarang kata Dilla memang sejak kecil lagi ibunya mengajar minum jamu. Jika dahulu wanita tinggi lampai ini makan jamu yang dibuat sendiri oleh makciknya tetapi kini jamu yang telah sedia diproses menjadi pilihan.

Selain itu, Dilla juga bersenam untuk memastikan peredaran darahnya lancar. Dalam seminggu tiga kali dia berjoging di Taman Tasik Titiwangsa selain menjaga pemakanan mengikut peningkatan usia.

* Dilla juga berkongsi 10 rahsia. Dapatkan butiran lanjut dalam majalah MIDI edisi terbaru