DIPILIH secara rambang hanya melalui bentuk kaki ketika persekolahan oleh seorang jurulatih, tiada siapa menyangka anak kecil berketurunan Dayak Bidayuh ini berjaya menggegar sukan terjun antarabangsa.

Tersenarai sebagai atlet elit negara berikutan prestasi cemerlang dalam temasya sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Sea, Komanwel, Asia dan Olimpik serta kejohanan individu, Bryan Nickson Lomas wajar dijadikan contoh betapa bakat dan azam mampu mengatasi tembok halangan dalam mengejar kejayaan.

Mengakui tidak tahu apa tujuannya beliau dipilih dan dilatih memandangkan masih kosong tentang sukan renang, Bryan berkata, melalui pemilihan itu hanya dua tiga orang yang terpilih daripada 50 kanak-kanak seusianya yang dikumpulkan di kolam renang Kuching.


Pandai kawal emosi

"Nak kata minat pun tidak, nak kata bukan minat pun tidak. Penglibatan saya dalam sukan itu bermula dari kosong, langsung tiada pemahaman mengenai sukan renang.

"Saya sendiri tidak tahu apa itu berenang dan terjun. Saya belajar dari bawah dan akhirnya saya berjaya sehingga ke tahap ini apatah lagi ketika awal dulu pun saya tidak tahu berenang," katanya.

Tekanan kini hanyalah perkara biasa buat mahasiswa berusia 22 tahun ini. Percaya setiap atlet perlu pandai mengawal emosi, Bryan yakin hanya itu akan membuatkan mereka mampu bertahan lama dengan sukan ini.

"Saya mula mewakili Sarawak pada usia 11 dan 12 tahun ketika kejohanan Sukma di Pulau Pinang, ketika itu saya tidak mampu bersaing dengan atlit lain yang jauh lebih berpengalaman dan berusia," katanya.  

Namun baginya, semua itu menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus menyertai setiap kejohanan.

Akhirnya, pada usia 13 tahun ketika menyertai Kejohanan Asia di Macau, Bryan mencatat kemenangan.

"Sebelum ini saya pernah memasang hasrat untuk berhenti dari sukan ini masa umur saya 11 tahun. Tetapi ibu bapa saya halang dan menggalakkan saya untuk meneruskan menceburi sukan ini," katanya.


Beri komitmen

Ingin menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan, Bryan turut memasang impian untuk menjadi jurulatih.

"Begitu pun untuk menjadi seorang jurulatih, saya perlu menilai diri, sama ada saya layak atau tidak untuk memberi tunjuk ajar kepada pelapis negara.

"Saya juga perlu mendapatkan kelayakan terlebih dahulu dan lebih bekerja keras," ujarnya.  Menjelang Sukan Sea di Myanmar, Bryan kini sedang berusaha menaikkan kembali latihan selepas berehat panjang.

"Bukan tidak menjalani latihan langsung tapi tidak sekerap dulu. Tumpuan saya sekarang adalah meningkatkan kembali stamina dan berusaha melakukan terjunan yang terbaik.

"Saya harap dapat mengekalkan pingat emas yang dimenangi sebelum ini di samping dapat mempamerkan aksi terbaik bagi mengharumkan nama negara. Apa yang penting, saya harus memberi sepenuh komitmen ketika latihan dan melakukan yang terbaik di hari perlawanan," katanya.


Trivia

-  Mula melibatkan diri dalam sukan renang sejak    usia 9 tahun.
-  Mula mewakili Sarawak pada usia 11 dan 12 tahun ketika kejohanan Sukma di Pulau Pinang dengan menyertai acara lima meter platform.
-  Pada usia 13 tahun ketika menyertai Kejohanan Asia di Macau, Bryan mencatat kemenangan dengan memperoleh masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa.
-  Fobia dengan ketinggian namun masih boleh dikawal ketika melakukan terjunan.
-  Memulakan latihan seawal 6.30 pagi sebelum berehat hingga tengah hari dan menyambung semula latihan hingga lewat petang.
-  Melakukan tidak kurang 50 terjunan termasuk beberapa teknik pusingan dan rutin mengikut kehendak jurulatih sekiranya berlatih di dalam gimnasium.
-  Lebih gemar keluar seorang diri untuk menonton wayang dan membeli-belah selain bersantai bersama rakan.
-  Akan menonton perlawanan bola Liga Eropah di restoran mamak bersama rakan-rakan dan pernah curi-curi keluar ketika menetap di asrama untuk menonton Piala Dunia.


Info Atlit:

Nama : Bryan Nickson Lomas
Umur : 22 tahun
Tarikh lahir : 30 Jun 1990
Tempat lahir : Kuching, Sarawak
Tinggi : 160 sentimeter
Berat : 53 kilogram
Acara: 3 m, 10 m papan anjal, platform