BANDARAYA MELAKA - Gabungan Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Negeri Melaka, berharap kerajaan dapat menyemak semula kadar tambang yang telah ditetapkan sejak 2009 iaitu 25 sen setiap satu kilometer.

Yang Dipertuanya, Aziz Ahmad berkata, pengusaha perkhidmatan kenderaan awam turut menerima kesannya berikutan kenaikan harga minyak petrol Ron 95 dan diesel pada tengah malam 2 September lalu.

“Kami bimbang, sekiranya kadar tambang tidak disemak semula akan menjejaskan industri perkhidmatan teksi dan kereta sewa.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh sewenangnya menaikkan kadar tambang sesuka hati dan memerlukan kelulusan kerajaan sebelum ia dapat dinaikkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, sebelum ini, bagi pengusaha perkhidmatan berkenaan mendapat subsidi sebanyak 83 sen bagi Ron 95 dan RM1 bagi diesel daripada kerajaan.

Namun katanya, selepas pengumuman kenaikan harga kedua-dua bahan api tersebut sebanyak 20 sen setiap liter pastinya akan membebankan mereka.

“Justeru kami meminta kerajaan mempertimbangkan dua perkara iaitu melakukan semakan semula kadar tambang yang diputuskan sejak 2009 dan menyediakan kemudahan pinjaman bagi pemilik kereta sewa dan teksi yang ingin memasang gas asli untuk kenderaan (NGV).

“Setakat ini, di daerah Melaka Tengah sahaja terdapat 816 pemilik kereta sewa dan teksi namun hanya separuh sahaja yang memasang NGV,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.