Pengunjung : 19357 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Kuarters terbiar masih tidak diselenggarakan

CHENDERONG – Walaupun pelbagai aktiviti tidak sihat berlaku di kuarters terbiar dan banyak aduan telah diutarakan kepada pihak berkenaan namun ia masih tidak diselenggarakan sehingga kini.

Ketua Kampung Chenderong Utara, Sadar Ali Elamdin, 62, berkata, sehingga ke hari ini, tidak ada sebarang khabar berita mengenai status kuarters itu daripada pihak berkenaan walaupun sudah disiarkan dalam akhbar.

Menurutnya, pihak berkenaan seharusnya mengambil langkah sewajarnya memandangkan ia melibatkan keselamatan orang ramai malah dilihat membahayakan penduduk.

“Kami di sini hanya mengharapkan pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan keselamatan kami terjamin.

“Jika benar kuarters itu masih mahu digunakan seperti yang didakwa pihak berkenaan sebagai tempat menyimpan barangan tetapi mengapa keadaannya masih lagi seperti 10 tahun lalu dan tidak ada sebarang aktiviti dijalankan di situ?” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sadar Ali berkata, pihaknya amat bimbangkan keadaan rumah itu yang sudah terlalu lama terbengkalai dan terdedah kepada perubahan alam menyebabkan struktur binaan bangunan itu banyak yang sudah rosak.

“Rumah ini dahulunya digunakan kakitangan sebuah agensi kerajaan dan setelah ditinggalkan sejak 10 tahun lalu, ia dibiarkan usang tanpa penyelenggaraan.

“Dinding rumah itu juga ditumbuhi lumut, manakala pintu dan atap ada yang tercabut serta banyak sampah-sarap dilonggokkan di sana sini yang ternyata menyakitkan mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, apa yang dibimbangkan penduduk adalah jika rumah itu menjadi tempat penagih dadah atau orang tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan tidak bermoral.

“Apabila rumah yang kosong dibiarkan maka sudah pastilah ia akan menyebabkan pelbagai masalah seperti tempat penagihan dadah, kegiatan tidak bermoral dan turut mengundang anjing liar membuat sarang.

“Masalah itu yang kami tidak mahu berlaku dan memohon pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera demi keselamatan penduduk di sini,” katanya.

Beliau berharap pihak berkenaan boleh mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu agar ia tidak lagi berterusan demi kebaikan bersama.

Katanya, jika tidak ada sebarang pembangunan yang dirancang di kuarters itu, adalah lebih baik ia dirobohkan dan dibina pula gerai kecil untuk penduduk berniaga.

Sementara itu, sebelum ini, Sinar Harian keluaran 22 Ogos 2009 ada menyiarkan keluhan penduduk yang mahukan kuarters berkenaan dirobohkan jika tidak digunakan lagi kerana ia boleh mengundang bahaya serta mencacatkan pemandangan.

Penduduk turut mendakwa aduan yang dibuat kepada pihak berkenaan dilakukan sebanyak tiga kali namun sehingga ke hari ini masih belum menerima sebarang jawapan.