SEBERANG TAKIR - Genap seminggu harga minyak RON95 dan diesel naik, kini rata-rata pihak mula terasa bahangnya terutamanya bagi mereka yang terlibat dengan perkhidmatan pengangkutan awam.

Tidak terkecuali, pengusaha bot penambang di Seberang Takir.

Meskipun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai bebanan yang bakal digalas pengusaha terutamanya pemandu bot penambang, namun keuntungan yang diperoleh sedikit terjejas kerana perlu menampung harga minyak yang naik mendadak.

Menurut Pengerusi Persatuan Bot Penambang Seberang Takir, Mohd Ibrahim, kenaikan harga minyak di luar jangkaan sememangnya mengundang dilema kepada kira-kira 20 ahlinya, kerana terpaksa menanggung kerugian.

“Sudahlah pengangkutan bot penambang terpaksa bersaing dengan pelbagai pihak, kini kami terpaksa pula menanggung kerugian kerana harga minyak naik mendadak, sedangkan kita tidak boleh naikkan harga tiket sesuka hati.

“Malah, kita juga tidak bercadang menaikkan harga tiket yang kini hanya RM1 bagi setiap kepala kerana boleh mengundang kemarahan penumpang,” katanya kepada Sinar Harian.

Identiti Seberang Takir sejak 30 tahun

Mohd berkata, perusahaan bot penambang yang telah bertapak sejak lebih 30 tahun lalu itu kian suram sambutannya kerana rata-rata penduduk mempunyai kenderaan sendiri sama ada motosikal atau kereta untuk ke bandar menggunakan jalan darat.

“Sejak akhir-akhir ini juga, kebanyakan pengusaha bot agak terjejas kerana terpaksa bersaing dengan pihak lain yang turut menawarkan perkhidmatan bot penambang bagi mereka yang ingin menyusuri Sungai Terengganu seperti mana yang ditawarkan hari ini.

“Sehubungan itu, kita berharap pihak berkenaan memandang serius keresahan kami yang masih mengekalkan pengangkutan air secara tradisional ini kerana ia turut mempunyai identiti dan warisan yang perlu dikekalkan,” katanya.

Untung kurang RM20

Menurut Mohd, berikutan pelbagai persaingan yang terpaksa dihadapi, kini keuntungan harian yang diperoleh pemandu bot ada kalanya tidak sampai RM20.

Keadaan itu sudah pasti menimbulkan kebimbangan kepada pengusaha kerana pendapatan mereka semakin berkurangan.

"Walaupun hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, penumpang agak ramai, tetapi dengan kenaikan harga minyak, pada kami tiada bezanya.

"Kami pula tidak boleh ambil tindakan drastik seperti mengurangkan waktu perjalanan bot atau sebagainya kerana bakal mengundang kemarahan pengguna yang terpaksa mengikut jadual kerja berulang alik dari Seberang Takir ke Kuala Terengganu," katanya.

Mohd berkata, pengangkutan bot penambang ibarat nadi bagi masyarakat Seberang Takir, malah arus kemodenan tidak memberi kesan kepada pengusaha pengangkutan air itu kerana ia masih mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

Bagaimanapun katanya, jumlah pemandu atau pengusaha dalam industri berkenaan semakin berkurangan berikutan pelbagai faktor sekeliling, di samping tiada pewaris muda yang berminat meneruskan legasi perusahaan bot penambang itu.

“Kita sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian kepada pengusaha bot penambang dengan pelbagai insentif dan bantuan kerana selain lambang identiti masyarakat Seberang Takir, ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada industri pelancongan di negeri ini.

“Selain menjadi pengangkutan alternatif buat masyarakat di Seberang Takir untuk ke Kuala Terengganu, kita juga menawarkan pakej dengan membawa pelancong mengelilingi Sungai Terengganu menggunakan pengangkutan tradisional ini,” katanya.

Untuk rekod, Persatuan Bot Penambang Seberang Takir antara yang paling aktif dan masih mempunyai ramai ahli, manakala di Pulau Duyong dan Manir pula, perkhidmatan itu kian dihambat kepupusan kerana kekurangan pewaris daripada generasi baru.