KOTA BHARU - Seorang penganggur dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam atas tuduhan menceroboh sebuah rumah dan kemudian mencabul pemilik rumah berkenaan yang juga wanita warga emas, pada 3 Mei lalu.

Tetuduh, Muhamad Sabri Che Ani, 31, bagaimanapun mengaku tidak salah atas kedua-dua tuduhan itu.

Dia didakwa pada tuduhan pertama dengan niat menceroboh masuk ke dalam rumah warga emas berusia 64 tahun tersebut di alamat Pasir Kasar, Sering, di sini, pada jam 9.20 malam. Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Pada tuduhan kedua pula, Muhamad Sabri didakwa menyelak kain sarung yang dipakai wanita itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya pada jam 10.40 malam, hari sama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Susulan penafian tertuduh semalam, Majistret, Nik Habri Muhamad menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes, sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad. Kes bersambung 11 Jun depan.