• Datuk Husam Musa Datuk Husam Musa
1 /

KUALA LUMPUR - Bukan muka yang dikenali, sokongan pengundi dari kalangan penjawat awam yang kuat terhadap kerajaan dan bertarung di kubu kuat Barisan Nasional (BN) merupakan antara lima faktor penolak yang akan menyaksikan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tersungkur bertanding kerusi Parlimen Putrajaya.
    
Menurut beberapa penganalisis politik, legasi penyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama dua penggal Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dekat dengan pengundi di situ, juga merupakan halangan yang besar bagi Husam untuk meraih sokongan 15,798 pengundi berdaftar di situ.
    
"Melalui Tengku Adnan, BN juga mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di Putrajaya. Apatah lagi beliau juga yang menubuhkan Umno Bahagian Putrajaya yang ketika itu cuma mempunyai 800 pengundi," kata Datuk Dr Junaidy Abu Bakar kepada Bernama di sini hari ini.
    
Tambahan lagi dalam suasana ekonomi negara yang segar sekarang, penjawat awam di Putrajaya dan di seluruh negara juga jelas mempunyai 'mood' yang baik terhadap kerajaan BN dan tentunya mahu Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya mentransformasi kerajaan, terus memerintah, katanya.
    
Beliau berpendapat, Pas keliru membaca suasana politik dan membuat perkiraan yang salah jika beranggapan Husam berpeluang menang pada pilihan raya umum ke-13.
    
Atau mungkinkah juga Pas tidak keliru sebaliknya memang mempertaruh masa depan politik Husam yang mungkin tidak disenangi oleh pemimpin Pas lain di Kelantan dan cara terbaik meminggirkan beliau ialah dengan 'menendang' Husam keluar dari Kelantan?
    
Dr Junaidy berkata Husam sering disebut-sebut bakal menggantikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan faktor itu tentunya tidak digemari saingan politiknya di Kelantan yang juga mempunyai cita-cita ke arah itu.
    
Kerusi bagi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan seluas 4,931 hektar itu dimenangi Tengku Adnan sejak 2004 selepas kawasan itu diwartakan dalam wilayah persekutuan pada 2001.
    
Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Adnan menewaskan Abdul Rahman Othman daripada PKR dengan majoriti 3,546 undi.
   
Pemilihan Husam untuk bertanding di kawasan parlimen itu diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Husam menggantikan Pesuruhjaya Pas, Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad yang ditewaskan dengan majoriti 2,734 undi pada PRU12 oleh Tengku Adnan pada 2008.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Ahmad Atory Hussein pula berkata pemilihan Husam itu juga sebagai strategi halus Pas untuk mengusir penyandang wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor itu, sekaligus membantutkan peluang beliau untuk menjadi menteri besar Kelantan.
    
"Husam tidak boleh menjadi menteri besar kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih bertanding di DUN Chempaka pada pilihan raya umum kali ini. Maknanya, untuk mengubat kekecewaan Husam sekian lama menunggu peluang itu, PAS akhirnya membuat tawaran balas kerusi Parlimen Putrajaya," katanya.
    
Ahmad Atory yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) juga melihat, jika Tengku Adnan dikekalkan sebagai calon BN di Putrajaya, peluang Husam untuk menang sangat tipis.
    
"Saya percaya Husam sukar untuk menang, tambahan pula kajian yang dilakukan dalam siri pilihan raya umum sebelum ini mendapati calon tempatan merupakan kriteria pilihan pengundi. Pengundi di Putrajaya sudah kenal siapa Tengku Adnan dan pengaruh Husam tiada di kawasan itu melainkan Kelantan," katanya.
    
Beliau berkata pengundi Putrajaya akan memberi sokongan padu kepada BN memandangkan agenda transformasi yang dilaksanakan selama ini mencapai sasarannya, selain kekerapan anggota parlimennya turun padang bertemu rakyat.
    
"Orang di Putrajaya ialah orang berfikiran moden dan berpelajaran. Mereka tahu apa yang terbaik untuk mereka bahkan mereka juga kini menuai hasil daripada kejayaan transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN. Saya berpendapat, tiada alasan untuk rakyat menolak BN di Putrajaya," katanya. - Bernama