GEORGETOWN - Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menasihatkan panggung wayang di negeri ini tidak menayangkan filem patriotik ‘Tanda Putera’ menimbulkan persoalan keterbukaan dan kebebasan yang dilaungkan pakatan pembangkang sebelum ini.
   
Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata berdasarkan kedua-dua prinsip itu, kerajaan negeri seharusnya menggalakkan penayangan filem itu dan memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian. 
   
"Dalam konteks ini, apabila filem ini ditayangkan di tempat lain ia boleh melahirkan kemusykilan dalam kalangan masyarakat...tindakan itu akan disalah tafsir oleh masyarakat.
   
"Sepatutnya filem ini ditonton terlebih dahulu dan kemudian diberi penilaian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
   
Semalam, Lim dalam sidang akhbar berkata kerajaan negeri pimpinan DAP meminta pengusaha pawagam di negeri ini tidak menayangkan filem ‘Tanda Putera’ dengan mendakwa ia mengandungi unsur-unsur sensitif dan fitnah yang tidak sesuai untuk tontonan umum.

Filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu yang diterajui dua bintang utama iaitu Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak Hussein dan Zizan Nin sebagai Tun Dr Ismail Abdul Rahman ditayang serentak di 60 pawagam seluruh negara mulai hari ini.
    
Sivamurugan berkata Lim sewajarnya menonton filem berkenaan dan membuat penilaian sama ada filem berdurasi dua jam itu boleh mengancam keharmonian negara dan memberi kesan kepada parti DAP.
    
Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata filem ‘Tanda Putera’ itu seharusnya dijadikan pengajaran kepada penonton mengenai sejarah negara.
    
Sementara itu, pelajar jurusan pergigian Anis Nadia Ismail, 21, melahirkan rasa kesal apabila filem itu tidak ditayangkan di negeri ini dan menyifatkan filem yang mempunyai elemen sejarah wajib ditonton oleh semua masyarakat terutamanya generasi muda.
    
"Sayang filem ini tidak ditayangkan. Sekurang-kurangnya menerusi filem patriotik sebegini, ia dapat memberi kesedaran kepada generasi muda kepentingan mengekalkan perpaduan di antara kaum," katanya ketika ditemui di TGV Cinemas di 1st Avenue di sini, hari ini.
    
Beliau juga berharap lebih banyak penghasilan filem bergenre sejarah dihasilkan pada masa akan datang.

Di KUALA TERENGGANU, Gagasan Melayu Pendidikan Malaysia (Gagasan) secara sinis mengucapkan 'tahniah' kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang tidak mahu filem itu ditayangkan di negeri itu.
    
Setiausaha Agung Gagasan Syed Anuar Syed Mohamad seterusnya mencabar dua lagi negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Selangor dan Kelantan agar mengambil langkah serupa.
    
"Inilah wajah sebenar pemimpin-pemimpin pemangkang yang tiada langsung semangat cintakan negara, sebaliknya mereka cuba pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat sehingga mencetuskan ketegangan.    
    
"Kita yakin jika beginilah amalan mereka, masa depan Malaysia tidak akan aman damai, malah lebih teruk daripada apa yang berlaku di Mesir dan Syria," katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Syed Anuar seterusnya menasihati orang ramai khususnya golongan muda yang sayangkan keamanan dan kesejahteraan negara supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda pembangkang sehingga boleh mengundang petaka kepada negara.
    
"Kita juga nasihatkan masyarakat khususnya orang muda agar tonton dulu filem itu dan nilai sendiri apakah benar dakwaan liar pembangkang," katanya. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :