JEMPOL - Juadah pagi raya menjadi punca 168 pelatih polis bantuan yang mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Air Hitam di sini mengalami keracunan makanan.

Kesemua mereka dikatakan menikmati hidangan rendang ayam, kuah kacang dan lontong, pagi kelmarin, sebelum memulakan kerja melapah lembu korban.

Bagaimanapun, kira-kira 10.30 malam, mereka mula mengalami cirit-birit dan muntah-muntah, menyebabkan 18 daripadanya terpaksa dikejar ke Hospital Jempol akibat keadaan semakin serius.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, setakat semalam, enam pesakit melibatkan empat lelaki dan dua wanita masih ditahan dalam wad.

“Bagaimanapun, 12 daripadanya telah dibenarkan pulang seawal pagi tadi (semalam) selepas didapati stabil melalui pemantauan dilakukan selama lima jam ketika mereka ditempatkan dalam Jabatan Kecemasan dan Kemalangan (A&E) hospital berkenaan.

“Bagaimanapun, enam lagi pelatih perlu dimasukkan ke dalam wad untuk pemeriksaan lanjut berikutan keadaan mereka masih membimbangkan. Baki 133 lagi pelatih yang turut mengalami keracunan menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan Pulapol,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengesyaki masakan ayam rendang yang dihidangkan kepada pelatih pada hari kejadian menjadi penyebab utama.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar keracunan. Setakat ini, pemeriksaan kita terhadap dapur pusat latihan terbabit mendapati tahap kebersihannya sekitar 81 peratus.

“Kita juga akan mengadakan ujian pada sampel makanan yang dihidangkan kepada pelatih di situ untuk mengetahui jenis bakteria yang ada,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Muhammad Ridhwan Mohd Radzi, 23, berkata, kesemua mereka dihidangkan makanan pagi, kira-kira 10.30 pagi kelmarin.

“Masa itu, kami memang lapar. Jadi, kami makan saja apa yang dihidang untuk mengisi perut sebab selepas itu kami perlu melapah daging korban pula.

"Tapi masa makan tu, ada rakan-rakan beritahu rendang ayam sudah berbau. Kemudian kira-kira 2 petang, perut kami rasa lain macam, loya dan terus muntah-muntah,” katanya yang sudah empat minggu menjalani latihan di pusat latihan berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Meor Ahmad Shahrul Ameil Meor Abu Bakar, 28, berkata, dia turut mengalami masalah sama dengan rakan-rakan lain menyebabkan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, katanya. keadaan semakin pulih tengah hari semalam, dan dibenarkan pulang petang semalam.

"Risau juga kali pertama jadi begini. Lebih-lebih lagi sebelum ini ada kes keracunan makanan sehingga menyebabkan kematian," katanya ketika ditemui di Hospital Jempol, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli pula meminta pengusaha makanan tidak mengambil ringan kejadian berlaku.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :