BELAJAR al-Quran bukan sekadar mengenal huruf dan menyebut. Khatam al-Quran juga bukan menjadi penanda aras untuk menjadi Muslim sempurna. Al-Quran diturunkan oleh ALLAH SWT kepada umat Muhammad SAW untuk dijadikan panduan hidup.

ALLAH berfirman: "Alif Laam Raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) jalan Tuhan Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji." (Surah Ibrahim: 1)

Setiap Muslim perlu mempelajari al-Quran dengan lebih mendalam untuk mendapat petunjuk disampaikan oleh Pencipta kepada hamba-Nya.

Oleh itu, terdapat banyak kelas pengajian al-Quran yang menawarkan ilmu tajwid, ilmu tafsir, Bahasa Arab, bertaranum dan hafazan.

Antara ilmu yang turut mendapat perhatian orang ramai dalam memperbaiki bacaan al-Quran adalah kelas makhraj dan sifat huruf.

 ALLAH berfirman: "... dan bacalah al-Quran itu dengan tartil (perlahan-lahan)." (Surah Al-Muzammil: 4)

Untuk memberi peluang orang ramai meningkatkan kemahiran membaca al-Quran, Gabungan Rumah Ngaji @ Selangor telah menganjurkan Seminar Pemantapan Makhraj & Sifat pada 26 Februari lalu.

Wakil Rumah Ngaji Selangor, Ustazah Norizan Md Nata berkata 90 peserta mengikuti program sehari bersama tenaga pengajar, Ustaz Mohd Khairi Ramlee yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 13, Subang Jaya, Selangor.

Kaedah berguru

Mohd Khairi berkata, dahulu ramai belajar al-Quran tetapi tidak secara mendalam. Kebanyakan mereka mempelajari ilmu tajwid tetapi hanya segelintir yang mahu mendalami ilmu makhraj dan sifat.

Dari segi istilah, makhraj adalah nama bagi tempat keluar setiap huruf hijaiyah yang membezakan antara satu sama lain. Manakala sifat adalah cara menekan (menyekat) udara atau suara ketika bunyi huruf dilafazkan sama ada tinggi atau rendah, nyaring atau perlahan, kuat atau lemah dan sebagainya

"Orang kata mengaji macam susah, dan bila mengaji pun rasa penat. Sebenarnya mengaji tidak susah, tetapi kita yang menyusahkan cara sebutan ayat al-Quran.

"Pertama, buang persepsi belajar al-Quran susah. Apa yang penting kita perlu faham dan tahu cara pergerakan lidah. Lidah perlu dikawal untuk memperbaiki bacaan," ujar graduan Universiti Al-Azhar, Mesir ini.

Beliau menambah, belajar al-Quran dalam Bahasa Arab perlu mengikut lahjah (slanga/dialek) Arab di samping serta tempo untuk menstabilkan harakat ghunnah dan mad.

"Kepentingan membaca al-Quran dengan betul adalah berkaitan dengan bacaan dalam solat. Untuk mempelajari al-Quran perlu berguru seperti kaedah talaqi mushafahah (belajar al-Quran dengan memerhati gerak bibir guru).

"Walaupun seseorang itu menjadi guru ngaji, dia masih perlu terus belajar. Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik dalam kalangan kamu orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya ( kepada orang lain)." (Riwayat Bukhari)," katanya.

   Pengetua SMK USJ 13, Jalilah Ibrahim berkata beliau gembira SMK USJ 13 menjadi hos seminar Pemantapan Makhraj & Sifat bagi membantu tenaga pengajar untuk membimbing pelajar dalam mempelajari al-Quran. Diharapkan sekolah ini melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah terpuji.

Mohd Khairi turut menjadi tenaga pengajar bagi Kelas Asas Pemantapan Makhraj & Sifat Huruf yang dianjurkan oleh Rumah Ngaji, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Sinar Harian.

Kelas selama lapan siri ini diadakan di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, pada setiap Isnin jam 8 hingga 9.30 malam, bermula 13  Mac lalu.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :