•  Keadaan kereta mangsa yang 'melekat' pada pokok hangus terbakar. Keadaan kereta mangsa yang 'melekat' pada pokok hangus terbakar.
  • Ahli keluarga gagal mengawal perasaan melihat kemalangan yang meragut nyawa mangsa, awal pagi semalam. Ahli keluarga gagal mengawal perasaan melihat kemalangan yang meragut nyawa mangsa, awal pagi semalam.
1 /

KUANTAN - Seorang pelajar tahun akhir Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) tidak sempat menamatkan pengajiannya apabila terbunuh dalam kemalangan ngeri di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Kompleks Mahkamah Kuantan, Indera Mahkota di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyayat hati, Nurul Fadhillah Arifin, 21 dari Felda Panching Timur dekat sini yang tersepit dalam kereta jenis Proton Gen-2 dipandunya itu ditemui rentung selepas kenderaan itu terbakar.

Dalam kejadian  jam 5.15 pagi itu, mangsa yang memandu bersendirian dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh dua batang pokok hingga tumbang.

Akibat kejadian, kereta mangsa yang remuk 'melekat' pada pokok lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke pelabuhan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan langgar dua batang pokok di tengah pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, kereta mangsa terbakar manakala mangsa yang tersepit rentung dalam kenderaan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa mungkin gagal mengawal keretanya akibat permukaan jalan yang licin memandangkan ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Jasmani berkata, mayat mangsa yang rentung dikeluarkan dari keretanya dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa, Nor Haini Ahmad yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa dijangka akan menamatkan pengajiannya tahun ini.

Menurutnya, akibat tragedi itu, harapan keluarga untuk meraikan kejayaan mangsa tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam kemalangan itu.

“Saya terkejut selepas dimaklumkan berhubung kejadian,” katanya.

Nor Haini berkata, dia sukar untuk membayangkan detik-detik yang terpaksa dilalui gadis itu.

“Saya tidak pasti dia hendak ke mana awal pagi tadi kerana setahu saya dia tinggal bersama keluarga di Felda Panching Timur.

“Tapi menurut adiknya, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumah menuju ke rumah kakaknya di Kubang Buaya di sini,” katanya.