JOHOR BAHRU - Kira-kira 63 peratus daripada pekerja Malaysia kurang menghabiskan masa bersama keluarga mereka kerana waktu kerja yang panjang, demikian mengikut kajian yang dijalankan oleh Jobstreet.com.

Kaji selidik yang dijalankan pada September dengan penyertaan 954 pekerja dalam pelbagai industri di Malaysia, juga menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan masa selama dua hingga lima jam bekerja di luar waktu kerja rasmi mereka setiap hari.

Pengurus Negara Jobstreet.com Chook Yuh Yng berkata keseimbangan kerja dan kehidupan adalah mengenai menguruskan antara kerja dan aktiviti lain dengan berkesan yang penting kepada pekerja.

"Syarikat-syarikat perlu meningkatkan strategi keseimbangan kerja dan kehidupan untuk kakitangan kerana ia adalah salah satu cara paling mudah dan kos efektif untuk memastikan mereka terlibat, mencergaskan semula dan bermotivasi," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tanpanya, Chook berkata tekanan, keletihan dan ketidakhadiran boleh mengurangkan produktiviti dan prestasi syarikat.

Kaji selidik itu menunjukkan sebab utama responden memilih kerja lebih masa adalah disebabkan tarikh akhir yang tidak munasabah dan bebanan kerja, dengan tekanan yang lebih besar pada pekerja untuk menyelesaikan tugas mereka.

Hampir 75 peratus daripada responden memilih untuk berada lebih masa di pejabat untuk menyelesaikan kerja mereka dengan majoriti menyatakan mereka tidak dibayar bagi masa tambahan mereka.

Kira-kira 60 peratus menunjukkan syarikat mereka tidak menjalankan sebarang inisiatif untuk menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan.

Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 54 peratus berkata mereka tidak mengambil cuti tahunan kelayakan mereka tetapi hampir semua menjawab bahawa mereka masih mendapat teks kecemasan daripada ketua mereka.

Hanya 25 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak mendapat sebarang gangguan daripada kerja semasa cuti manakala 78 peratus membiarkan  telefon bimbit mereka dapat dihubungi ketua mereka sepanjang masa.

Majoriti responden berpendapat syarikat perlu menyediakan waktu kerja yang fleksibel dengan pekerja boleh memilih waktu bermula dan berakhir bekerja setiap hari dan bukannya masa yang tetap.

Satu lagi cadangan ialah syarikat-syarikat perlu mempunyai dasar yang menggalakkan pekerja bekerja kurang daripada 40 jam seminggu, bukannya mewajibkan bekerja dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.