• Pastikan ambil, rujuk hadis sahih
1 /

Apa jua khabar atau hadis yang diatasnamakan Nabi Muhammad SAW tidak boleh sewenang-wenangnya diterima tanpa terlebih dahulu dipastikan status kesahihan atau kebenarannya. Ini bagi mengelakkan menyandarkan sesuatu kepada Nabi dengan cara prasangka, dusta, atau bohong yang mana telah kita ketahui setiap apa yang datang dari Nabi itu memberi nilai agama sama ada dari aspek aqidah, tauhid, hukum-hakam, akhlak, muamalah, dan sebagainya.

Dari itu, siapa pun tidak boleh sesuka hati mengatakan sesuatu atas nama Nabi tanpa melalui cara yang benar. Nabi SAW pernah mengingatkan, “Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5/37, no. 1209)

Oleh sebab itulah para ulama hadis telah menyusun sebuah kaedah khusus bagi memastikan kesahihan khabar yang disandarkan kepada Nabi. Iaitu dengan meneliti sanad dan barisan para perawi hadis. Setelah keabsahannya dikenal pasti, maka barulah ia layak dijadikan sebagai hujah dan pegangan dalam agama bersesuaian dengan kaedah-kaedah lainnya.
Imam ‘Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) berkata, “Isnad adalah sebahagian dari agama. Jika tidak ada isnad, maka sesiapa saja akan berbicara sesuka hatinya.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)


Kriteria hadis sahih

Seseorang bertanya kepada imam asy-Syafi’i, “Sebutkan kepadaku syarat minimum agar suatu perkhabaran hadis itu boleh diterima sebagai hujah.” Maka beliau pun menjawab, “Perkhabaran yang disampaikan dari satu orang dari satu orang sehingga sampai kepada Nabi atau kepada perawi yang berada di bawah Nabi (para sahabat).”

Beliau menyambung, “Perkhabaran hadis dari satu orang kepada satu orang tidak dapat diterima sebagai hujah sehingga memenuhi beberapa syarat yang di antaranya:
“Orang yang meriwayatkan mesti tsiqah (terpercaya) dalam agamanya. Dikenal sebagai orang yang benar lagi jujur dalam berbicara, memahami apa yang ia riwayatkan (atau khabarkan), memahami lafaz yang boleh mengubah makna-makna hadis, dan mampu menyampaikan hadis bertepatan dengan huruf-hurufnya persis sebagaimana yang ia dengar dan bukan menyampaikan sekadar dengan maknanya atau sekadar dari kefahamannya sahaja.

Orang yang meriwayatkannya perlu hafal jika dia meriwayatkannya daripada hafalan, atau mencatatnya dengan tepat jika dia meriwayatkan berdasarkan catatannya (atau kitabnya). Apabila dia menghafal suatu hadis bersama-sama dengan para huffaz (penghafal hadis) yang lain, maka apa yang ia riwayatkan perlu selari dengan apa diriwayatkan oleh para huffaz lain yang tersebut.

Orang yang meriwayatkannya tidak boleh seorang mudallis dengan meriwayatkan suatu riwayat (hadis) dari seseorang yang ditemuinya tetapi tidak pernah mendengar riwayat dimaksudkan secara langsung darinya. Atau apabila ia meriwayatkan suatu hadis dari Nabi SAW, ia tidak boleh menyelisihi apa yang diriwayatkan oleh para perawi tsiqah yang lainnya dari Nabi.

Inilah kriteria yang perlu dimiliki bermula dari perawi terendah (paling bawah) sehingga paling atas yang sampai kepada Nabi SAW yang diriwayatkan secara maushul (bersambung). Iaitu setiap perawi mengakui orang yang menyampaikan kepadanya dan orang yang menyampaikan juga mengakuinya. Tidak seorang pun perawi yang boleh mengelak daripada ketentuan ini.” (asy-Syafi’i, ar-Risalah, m/s. 369-372 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah, Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir)

Kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh imam asy-Syafi’i inilah yang diterima pakai oleh para ulama hadis dahulu dan kini. Di mana sanadnya mesti muttashil (bersambung dan tidak putus), para perawinya ‘adil, perawinya dhabit (tepat dan sempurna hafalannya), selamat dari syuyudz (riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat para perawi yang lebih tsiqah daripadanya), dan selamat dari ‘illat atau kecacatan-kecacatan hadis lainnya. Inilah di antara asas utama bagi memastikan kedudukan sesebuah hadis sama ada sahih, hasan, dha’if (lemah), maudhu’ (palsu), atau selainnya.

Ini sekali gus menunjukkan ketelitian dan kedalaman ilmu yang dimiliki oleh imam asy-Syafi’i dalam bidang hadis. Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah mengatakan, “Siapa sahaja yang memahami ucapan imam asy-Syafi’i rahimahullah pada bab ini, pasti dia akan mendapati bahawa imam asy-Syafi’i telah menyusun (atau merangkumkan) sebuah kaedah yang sahih tentang ilmu hadis. Dan bahawasanya beliaulah orang pertama sekali menjelaskan ilmu ini dengan begitu terang. Beliau adalah pembela hadis yang paling unggul serta orang yang lantang menekankan kewajiban mengamalkan sunnah.

Beliau turut mengeluarkan hujah bantahan terhadap orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah gelaran yang diberikan oleh pendudukan Makkah kepada imam asy-Syafi’i sebagai Naashirus Sunnah (pembela sunnah), semoga ALLAH meredhainya.” (Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir, ar-Risalah, m/s. 369)

Inilah di antara prinsip imam asy-Syafi’i rahimahullah, bahkan prinsip para ulama ahlus sunnah wal-jamaah dari dahulu hingga kini dalam mengambil dan menerima hadis sebagai hujah agama. Mereka terlebih dahulu memastikan keabsahan dan kesahihan sesebuah hadis sebelum mengamalkan dan menyebarkannya. Mereka tidak mengambilnya daripada sembarangan orang begitu sahaja.

Alhamdulillah pada hari ini, fasa periwayatan dan pembukuan hadis telah pun tamat lengkap dengan sanad-sanadnya, sekali gus memudahkan para ulama dan masyarakat terkemudian menyemak serta memanfaatkannya. Cuma setiap hadis tersebut masih perlu dinilai sahih atau tidaknya. Dan ini masih sangat memerlukan perincian dan bantuan daripada para ulama hadis sama ada dahulu atau kini.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memetik hadis begitu sahaja tanpa dipastikan terlebih dahulu keabsahan atau status kesahihannya berpandukan kaedah yang benar. Setiap hadis perlu diambil dari kitab dan sumbernya.

Ini kerana para ulama ahlus sunnah wal-jamaah sendiri amat berhati-hati agar tidak tersalah ambil hadis-hadis yang lemah, maudhu’ (palsu), atau tidak sahih lalu mengatakannya ini adalah hadis sahih daripada Nabi?! Bahkan inilah juga di antara prinsip yang dipegang teguh oleh imam asy-Syafi’i rahimahullah seperti dikatakan imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

“Beliau (Imam asy-Syafi’i rahimahullah) amat berpegang teguh dengan hadis-hadis sahih dan menjauhi hadis-hadis yang lemah lagi daif. Kami tidak mengetahui ada seorang pun daripada kalangan fuqaha’ yang begitu berhati-hati ketika berhujah dengan membezakan di antara hadis sahih dan daif sebagaimana yang dilakukan oleh beliau (asy-Syafi’i)...” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/11)

Tapi sayangnya, prinsip ini banyak diabaikan oleh pengamal mazhab asy-Syafi’i sendiri di Nusantara ini. Sebahagian mereka tidak lagi membezakan di antara hadis yang sahih atau tidak. Banyak berlaku di mana hadis-hadis yang tidak sahih dipegang sebagaimana hadis sahih. Sehingga apabila didatangkan hadis-hadis yang sahih yang bertentangan dengan apa yang mereka imani atau amalkan, mereka tidak lagi mahu menerimanya.

Ini amat bertentangan dengan perkataan dan prinsip imam asy-Syafi’i sendiri apabila beliau mengatakan, “Setiap perkataanku yang berbeza dengan riwayat sahih daripada Nabi SAW, maka hadis Nabi lebih aula (perlu didahulukan) dan kamu semua jangan bertaklid kepadaku.” (al-Baihaqi, Ma’rifah as-Sunan wal Atsar, 2/454)

Pernahkah kita mendengar hadis-hadis yang boleh dianggap popular seperti tentang mendapat ganjaran pahala 70 kali ganda jika memakai serban ketika solat, perselisihan dalam kalangan umat Muhammad adalah rahmat, tuntutlah ilmu sampai ke negara China, Yasin jantung hati al-Quran, sesiapa yang mengenal diri maka dia mengenal ALLAh, bermadu bagi isteri akan mendapat payung emas di syurga, galakkan membaca surah Yasin untuk orang mati, kisah sahabat Nabi Tsa’labah yang bakhil, nyanyian thola’al badru ‘alaina ketika menyambut Nabi tiba di Madinah, kisah ‘Abdurrahman bin Auf masuk Syurga sambil merangkak, serta pelbagai lagi khabar-khabar hadis popular yang disandarkan atas nama agama dan nama Rasulullah yang mana hakikatnya ia bukanlah hadis-hadis sahih dan boleh dibuat hujah mahupun pegangan dalam agama.

Dukacitanya ia berlegar di sekeliling kita, disampaikan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, serta diimani kebanyakan orang. Oleh itu, pastikanlah setiap hadis yang kita terima dan amalkan adalah hadis-hadis sahih terlebih dahulu. Takut-takutlah kita dengan ancaman berdusta atas nama Rasulullah SAW. Wallahualam.
*Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat ILMU.