• Mohamad Fauzi (kanan) menunjukkan kotak berisi 138 unit mercun yang berjaya dirampas dan juga dua rampasan bahan mercun yang lain. Mohamad Fauzi (kanan) menunjukkan kotak berisi 138 unit mercun yang berjaya dirampas dan juga dua rampasan bahan mercun yang lain.
1 /

SEREMBAN – Tindakan seorang lelaki dipercayai penyokong tegar sebuah parti politik yang ingin memasang mercun semasa berlangsungnya ceramah bagi kempen PRU13 di Pinggir Bandar Seremban menerima padah apabila dia ditahan polis, malam kelmarin.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Jalan Kuala Sawah itu ditahan kira-kira jam 9 malam dan polis telah berjaya merampas sebuah kotak besar berisi 138 unit mercun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin berkata, ini adalah rampasan terbaru diketuai Inspektor Mohamad Fauzi Bolhadi, hasil daripada pemantauan yang dilakukan oleh pihak polis di lokasi-lokasi ceramah parti politik.

“Sebelum ini, polis turut merampas dua lagi bahan mercun di lokasi berasingan iaitu di Bandar Seremban dan Seremban 2,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.  

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat ke atas suspek, bahan mercun terbabit diperoleh daripada selatan semenanjung.

“Polis juga menemui bahan mercun itu disimpan di rumahnya, bagaimanapun dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 4(a) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Menurut Saiful Azly, tindakan suspek yang tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan itu telah secara tidak langsung mencemar nama baik parti politik berkenaan.

“Saya mengharapkan ketua-ketua parti politik yang bertanding pada PRU13 ini menasihati penyokong-penyokong tegar mereka supaya akur dan tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang ditetapkan semasa berlangsungnya ceramah.

“Bagaimanapun, saya memuji dengan kerjasama yang diberikan oleh kesemua parti politik yang bertanding kerana patuh dengan arahan selain memohon permit daripada pihak polis.

“Setakat ini sahaja, polis meluluskan sebanyak 117 permit daripada 119 permohonan yang diterima,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful Azly turut memberitahu, polis telah menerima 38 laporan berhubung kesalahan-kesalahan dalam pilihan raya sejak 20 April lalu.