• Dari kanan: Ahmad Shah, Naraza dan Mohd Nordin pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, semalam. Dari kanan: Ahmad Shah, Naraza dan Mohd Nordin pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, semalam.
1 /

KUALA TERENGGANU – Perselisihan pembahagian kerusi antara Pas dan PKR semakin ketara di negeri ini dengan tindakan tiga wakil Pas di tiga Dun berasingan mendesak Pas Pusat dan Perhubungan Pas Negeri meletakkan calon Pas di kerusi Dun Bandar, Seberang Takir dan Bukit Besi.

Bantahan terhadap calon PKR di tiga-tiga kerusi itu dibuat oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Bendahari MTD Seberang Takir, Mohd Nordin Mahmood dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Dungun, Naraza Muda yang turut mewakili suara di peringkat Dun masing-masing.

Bagi wakil Dun Bandar dan Seberang Takir, kedua-duanya berkeras dengan pendirian untuk menolak calon PKR kerana mendakwa potensi kemenangan lebih besar dengan meletakkan calon Pas, manakala wakil Bukit Besi, Naraza berlembut sedikit untuk menerima calon PKR sekiranya yang diturunkan itu diterima rakyat dan bukannya calon ‘bidan terjun’.

“Kami yang mewakili Pas Dun Bukit Besi, Seberang Takir dan Bandar mendesak supaya Pas Pusat dan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu membenarkan calon Pas bertanding di kerusi N25, N11 dan N14.

“Kami menolak calon daripada PKR yang bersifat bidan terjun kerana tiada gerak kerja dan hubungan dengan jentera Pas yang telah lama bertapak di Dun tersebut,” jelas ketiga-tiga wakil terbabit pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Sidang media itu dibuat beberapa jam sebelum pengumuman calon PKR yang mengesahkan akan bertanding di tiga kerusi dinyatakan itu.

Ditanya lanjut mengenai desakan terlibat, ketiga-tiganya tidak menganggap desakan itu memberi kesan terhadap kerjasama antara Pas dan PKR kerana mereka mempunyai hak bersuara selagi masih ada ruang.

Sementara itu, Mohd Nordin berkata, pihaknya tidak menerima calon PKR kerana mendakwa tidak berwibawa dan cuba ‘mengimport’ calon dari luar.

Bukan itu sahaja katanya, kewujudan PKR di Seberang Takir seolah-olah tidak wujud dan tiada sebarang cawangan atau ranting PKR ditubuhkan di kawasan itu sebagaimana disahkan Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Mohamad sebelum ini.

“Memang tiada cawangan jadi macam mana kita nak beri kepada orang yang tiada cawangan untuk bertanding.

“Kita sudah buat perbincangan dengan Setiausaha (PKR Terengganu), Wan Bukhari sebanyak dua kali supaya berbincang di peringkat negeri tetapi senyap seribu bahasa.

“Masa (Datuk Seri) Anwar pergi ke Teluk Ketapang, kita bagi memorandum padanya, minta dia cuba menilai berdasarkan pada 2008 (PKR) tidak boleh buat kerja.

Cuma masa itu, kita dalam kalangan penyokong Pas bantu juga, sokong dia. Jadi untuk PRU kali ini, kita minta dia serah juga kawasan itu pada kita,” katanya.

Bagi Ahmed Shah, beliau berkata, pengundi jelas mahukan calon Pas di kerusi Dun Bandar dan mendakwa sekiranya membiarkan PKR bertanding sudah tentu memberi kemenangan mudah kepada MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN).