SHAH ALAM - Pendirian Pas turut bertanding di Dun Kota Damansara walaupun PKR mencalonkan penyandangnya, Dr Mohd Nasir Hashim dikatakan berpunca daripada sikap berdolak-dalik Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sebelum ini keengganan Mohd Nasir yang juga Presiden PSM menggunakan logo PKR pada pilihan raya kali ini turut dikatakan menjadi punca awal jentera Pas Kawasan Subang kecewa.

Ini ditambah dengan tindakan PSM yang seolah-olah tidak mahu menggunakan logo PKR apabila sehingga hari penamaan kelmarin, masih terdapat penyokong membawa bendera PSM malah di sesetengah lokasi di Dun bendera PSM dikibarkan lebih banyak daripada bendera PKR.

Meskipun PSM bersetuju menggunakan logo PKR di masa kecederaan nyata keputusan itu masih tidak dapat diterima Pas yang awal-awal lagi tidak bersetuju jika PSM bertanding sekali lagi pada PRU kali ini.

Bagi Pas Subang, kerusi Dun Kota Damansara adalah milik mereka yang sebelum ini dipinjamkan kepada PKR    pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Sewajarnya pada PRU kali ini ianya diberikan kepada Pas kembali atau jika PKR mahu bertanding mereka perlu menghantarnya calon sendiri.

Sehingga semalam Pas Kawasan Subang tidak  berganjak dari keputusannya dan akan meneruskan pertandingan itu malah  yakin undi akan berpihak kepada Pas.

Yang Dipertua Pas Kawasan Subang, Mesni Dahalan berkata, PSM tidak menghormati PR apabila sepanjang lima tahun itu, PSM  langsung tidak menggunakan logo PKR yang merupakan parti komponen PR dalam setiap urusan rasminya.

Malah Pas juga berpegang kepada tahaluf siyasi di mana PSM bukan parti komponen PR dan sehingga semalam Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Selangor merestui tindakan menghantar calonnya di Kota Damansara.

“Jika PSM bertanding tanpa ada calon Pas atau PKR semua jentera dan termasuk bilik gerakan Pas akan ditutup di Kota Damansara dan berdasarkan permintaan dari akar umbi ini juga kita tetap akan meneruskan hasrat untuk bertanding di Dun ini dan yakin ianya tidak akan memecahkan undi kerana pengundi hanya mengenali Pas dan juga BN,” katanya.

Menurut Mesni, Pas masih memberikan kerjasama penuh kepada PKR yang bertanding untuk kerusi Parlimen Subang yang diwakili oleh penyandangnya yang juga bekas Naib Presiden PKR, R Sivarasa.

“Undi PR tidak akan berpecah kerana Pas mempunyai sokongan yang kuat di Kota Damansara sebab itu kami yakin dengan keputusan ini,” katanya.

Walau bagaimanapun pihaknya kecewa dengan tindakan Setiausaha Pas Selangor yang juga calon untuk Dun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang mempertikaikan watikah pelantikan  ketika penamaan calon Ahad lalu.

Jelas Mesni lagi, kesahihan watikah itu tidak perlu dipersoalkan kerana ia ditandatangani sendiri oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu dalam kenyataan selepas penamaan calon semalam, penyandang kerusi Dun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim berpendirian bahawa Pas boleh bertanding bagi merebut kerusi itu dan tidak akan menghalangnya. Kerusi Dun Kota Damansara kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru selain BN, Pas dan PKR,  dua calon bebas turut mencuba nasib.

Mereka ialah Halimaton Saadiah Bohan (BN), Ridzuan Ismail (Pas), Dr Mohd Nasir Hashim (PKR), Datuk Edros Abdullah (Bebas) dan A Suupiah dan Halmi Omar (Bebas).
Untuk rekod Pas pernah bertanding di Dun Kota Damansara pada pilihan raya 2004 namun calonnya Mohamad Ariff Md Yusof tewas dengan calon BN Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahlan.

Pada pilihan raya 2008, Dr Mohd Nasir yang bertanding atas tiket PKR berjaya menewaskan calon BN, Datuk Zein Isma dengan 11,846 undi berbanding 10,771.