• Murid terlibat menjawab soalan diberikan Mac Mahendran di SK Gual Tinggi. Murid terlibat menjawab soalan diberikan Mac Mahendran di SK Gual Tinggi.
1 /

RANTAU PANJANG – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dekat sini mengambil pendekatan proaktif mengundang pakar matematik untuk memberi pendedahan teknik mencapai kecemerlangan dalam subjek matematik.

Program itu dihadiri kira-kira 131 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu tahun ini, baru-baru ini.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Mohamad Fadeli Haron berkata, beliau mengambil pendekatan berkenaan bagi memastikan kesemua calon UPSR sekolah itu memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek matematik.

Menurutnya, PIBG sekolah itu mahu melahirkan murid cemerlang dan pintar matematik.

“Kita mengundang Mac Mahendran yang mempunyai kepakaran dalam bidang matematik untuk memberi pendedahan kepada murid SK Gual Tinggi serta sekolah lain di zon Rantau Panjang.

“Program julung kali diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan ibu bapa dan guru. Kita harap, murid mendapat suntikan semangat seterusnya mencapai kecemerlangan pada UPSR tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir, Guru Besar SK Gual Tinggi, Remlah Mohamad dan guru pengiring sekolah Zon Rantau Panjang.

Mohamad Fadeli berkata, sebelum ini sekolah tersebut telah ramai melahirkan murid cemerlang setiap kali UPSR diumumkan.

Menurutnya, PIBG akan terus membantu pihak sekolah dan memberi sokongan dalam apa juga program untuk kecemerlangan sekolah itu.

Pada program ini, kesemua murid terlibat diberi peluang mencuba soalan matematik bagi menguji kemahiran mereka setelah diberikan tip serta panduan untuk menjadi murid pintar matematik.