• Pak Him kumpul barang lama Wang kertas yang dikumpulkan dijaga dengan baik untuk rujukan generasi muda.
  • Pak Him kumpul barang lama Pak Him menunjukkan koleksi permata kayu yang dikumpulkan sejak berpuluh tahun lalu.
  • Pak Him kumpul barang lama Antara ubatan tradisional yang ada dalam simpanan Pak Him.
1 /

MACHANG - Ibrahim Che Hassan, 68, atau lebih mesra disapa Pak Him di Kampung Kemunchup, dekat sini, bukan nama asing dalam kalangan masyarakat apatah lagi dia mempunyai hobi yang istimewa dan mudah mesra.

Hobi Pak Him mengumpulkan mata wang lama, permata cincin daripada kayu, ubatan-ubatan tradisional dan pelbagai peralatan lama menjadikan rumahnya menjadi tumpuan orang ramai terutamanya yang mempunyai minat yang sama.

Turut berkongsi minat tersebut, isteri dan anak-anaknya yang banyak menyokong minatnya itu sejak berpuluh tahun lalu.

Nilai yang tinggi

Ibrahim berkata, minat itu hanya sekadar suka-suka namun lama-kelamaan ia menjadi hobi dan dipupuk hingga usia emasnya.

Katanya, koleksi tersebut mempunyai nilai yang tinggi, apabila menjadi tinggalan sejarah dan tidak dapat diperoleh dengan mudah pada zaman serba moden ini.

“Tidak semua orang tahu menghargai koleksi ini. Mereka yang tidak suka dan meminatinya, tidak akan faham nilainya. Nilainya bukan semata-mata pada wang ringgit tetapi lebih penting adalah sejarah.

“Ubatan herba ini kebanyakannya susah diperoleh. Ia digunakan oleh masyarakat dahulu untuk membantu menyembuhkan penyakit, memandangkan pada ketika itu ubatan moden tidak digunakan dengan meluas,” katanya.

Harap dipelihara

Pak Him berkata, khazanah itu harus dipelihara untuk generasi akan datang, supaya mereka lebih mengenali dan menghargai barangan lama yang wujud sebelum adanya barangan ciptaan moden hari ini.

Antara koleksi simpanan peribadi Pak Him yang paling berharga adalah ‘parang jenguk’ yang diperbuat daripada besi berusia lebih 100 tahun.

Tidak ketinggalan, pisau daun padi yang digunakan golongan wanita dahulu bagi mempertahankan diri, dengan membawanya ke mana-mana termasuk di dalam sanggul rambut atau diselitkan di pinggang ketika keluar dari rumah.

Adakan pameran

Pak Him berkata, koleksi wang, peralatan lama tersebut mempunyai nilai yang tersendiri dan hanya orang tertentu sahaja mampu menghargainya sesuai dengan nilainya.

Katanya, wang lama yang dikumpulkannya mempunyai pelbagai nilai, termasuk wang kertas satu sen yang pastinya akan menarik perhatian generasi muda.

“Sekarang satu sen tidak mempunyai nilai dan orang tidak menghargainya lagi berbanding zaman dahulu, wang kertas tersebut membuktikan satu sen mempunyai nilai yang tinggi suatu ketika dahulu.

“Rumah saya sentiasa terbuka kepada peminat wang lama, malah saya juga mengadakan pameran jika ada yang mengundang,’’katanya yang turut dikenali sebagai tukang urut tradisional.