| Jalan rosak makin teruk
KUALA LIPIS- Aduan mengenai jalan rosak akibat lori yang keluar masuk dari kawasan kuari bijih besi berhampiran Kampung Samak Jani di sini sudah kerap dilaporkan. Namun masalah tidak juga selesai. Malah Sinar Harian sendiri pernah menyiarkan aduan penduduk pada keluaran 21 Disember lalu. Selepas aduan tersiar, pada 29 Disember, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bersama Unit Penguatkuasa JPJ Raub hadir ke lokasi aduan membuat tinjauan. Rentetan daripada pemantauan yang dibuat, pelbagai tindakan diambil termasuk mengeluarkan notis saman dan mengarahkan lori tersebut ditimbang bagi memastikan tidak membawa lebihan muatan. Namun, resah penduduk tidak terhenti di situ. Ini kerana, jalan masih tetap rosak. Tidak berubah. Malah semakin teruk. Seorang penduduk, Abdul Wahab Taib, 62, mahu masalah yang sudah bertahun mereka hadapi ini diselesaikan segera. “Perkara ini sudah lama. Ia berpunca daripada lori yang keluar masuk dari kuari bijih besi berhampiran. “Sebelum ini pernah jalan itu diturap. tapi tidak sampai seminggu, jalan rosak semula,” katanya ketika ditemui di sini. Menurutnya, penduduk kampung sudah menunggu hampir 25 tahun untuk melihat jalan utama ke kawasan perkampungan itu cantik seperti di tempat lain. “Sepanjang kuari tersebut beroperasi, dua kematian dicatatkan akibat kemalangan motosikal antara penduduk dan lori yang mengangkut bijih besi itu. “Selain masalah jalan yang rosak teruk, jalan utama tersebut amat sempit dan menyukarkan pengguna yang melaluinya,” katanya. Tinjauan Sinar Harian mendapati kerosakan yang berlaku di laluan itu adalah kira-kira sepanjang lima kilometer. Tidak keterlaluan dikatakan jalan itu tidak ubah seperti perangkap maut kepada pengguna terutama penunggang motosikal pada waktu malam. Jalan bukan saja tidak rata, malah batu kecil bertaburan di merata tempat, selain terdapat banyak lubang. Rata-rata pengguna yang ditemui mahu pihak yang bertanggungjawab menyelesaikan segera masalah jalan yang rosak itu demi kepentingan dan keselamatan pengguna. Seorang pengguna, Abdul Rashid Ali, 60, berkata, keadaan jalan berkenaan sememangnya membahayakan dan boleh mengundang kemalangan. “Jika waktu siang bolehlah pengguna berhati-hati. Tetapi pada waktu malam agak sukar untuk memandu lebih-lebih lagi bagi mereka yang menggunakan motosikal. “Selain itu, lori yang keluar masuk ke kawasan ini mengundang debu dan pencemaran yang mampu menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya. Menurutnya JPJ ada membuat rondaan dan pemantauan terhadap kawasan terbabit. Namun kehadiran pihak lain yang bertanggungjawab membaiki jalan masih belum kelihatan. “Saya berharap pihak bertanggungjawab, termasuk wakil rakyat di kawasan ini mengambil perhatian tentang perkara ini. “Ia tidak harus dibiarkan. Jalan ini adalah laluan utama penduduk kampung,” katanya. Seorang penduduk yang enggan dikenali meminta pihak yang bertanggungjawab supaya segera bertindak kerana bimbang ia bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, malah kanak-kanak. “Sebagai penduduk saya sangat sedih melihat jalan kampung yang rosak dan dibiarkan hampir hancur. “Kami juga bimbang keselamatan kanak-kanak memandangkan lori keluar masuk hampir setiap hari. Untuk pengetahuan, laluan ini juga menjadi nadi utama kepada penduduk kampung Mela, Redan, Limau Purut, Kerambit, Serunai dan Samak Jani,” katanya. Menurutnya, pengusaha bijih besi berkenaan perlu mencari inisiatif lain bagi mengangkut bijih besi berkenaan seperti membuat laluan sendiri untuk memudahkan kerja selain tidak mengganggu ketenteraman penduduk setempat. Dia juga berharap pihak yang bertanggungjawab segera mem�per�baiki jalan yang sudah rosak dan hancur. |
Lain-lain Artikel:-
Tuanku Mizan dukacita
Mayat bayi depan surau
Pesawat ringan mendarat cemas
Agong rasmi Penggal ke-3 Parlimen ke-12
Syarikat perkapalan nafi kapal ditahan APMM
Tengku Anis kecewa sikap pemimpin negeri
Kontrak Musa tidak akan dilanjut
Kempen bantah GST berkesan
Anwar amal kronisme ketika jadi Menteri Kewangan: Ezam
DBP anjur program Jom Kenali Sasterawan Negara
"Hanya Mahkamah Syariah boleh tentukan status perkahwinan"
Permohonan JHEOA dapatkan peruntukan RM800 juta dipertimbang
Seniman mahu hantar memo sekat Terjah
Permohonan Anugerah Akademik Negara 2009 dibuka
Tuanku Mizan dukacita
Mayat bayi depan surau
Pesawat ringan mendarat cemas
Agong rasmi Penggal ke-3 Parlimen ke-12
Syarikat perkapalan nafi kapal ditahan APMM
Tengku Anis kecewa sikap pemimpin negeri
Kontrak Musa tidak akan dilanjut
Kempen bantah GST berkesan
Anwar amal kronisme ketika jadi Menteri Kewangan: Ezam
DBP anjur program Jom Kenali Sasterawan Negara
"Hanya Mahkamah Syariah boleh tentukan status perkahwinan"
Permohonan JHEOA dapatkan peruntukan RM800 juta dipertimbang
Seniman mahu hantar memo sekat Terjah
Permohonan Anugerah Akademik Negara 2009 dibuka