Pengunjung : 6094 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Lima pasukan rebut kejuaraan

BERA – Pasukan Kerayong merangkul gelaran johan apabila memenangi Kejohanan Liga Bola Jaring dengan 43 mata mengalahkan empat pasukan yang lain.

Kejohanan berkenaan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Bera yang diadakan setahun sekali.

Empat pasukan lain ialah Semalai FC dari Bukit Gemuruh menduduki tangga kedua dengan 34 mata, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumai FC, dikuti Puchong FC dan Sebertak FC.

Ketua Penyelaras, Nor Fadzillah Abd Mahat berkata, kejohanan ini adalah terbuka kepada wanita berumur 18 tahun hingga 35 tahun tidak menghadkan kepada ahli pergerakan itu sahaja.

“Kita mahu mencungkil bakat baru dalam sukan ini. Saya percaya, ramai dalam kalangan mereka yang pernah menjadi pemain di peringkat sekolah, daerah atau negeri semasa zaman persekolahan mereka,” katanya.

Beliau berkata, melalui pertandingan ini, sekurang-kurangnya dapat memberi peluang kepada pemain mengilap bakat mereka.

Katanya, secara tidak langsung, membolehkan Puteri memilih pemain baru yang lebih berbakat untuk pasukan mereka sekiranya ada pertandingan di luar daerah.

“Walaupun hadiah ditawarkan tidak seberapa, tetapi semangat yang ditonjolkan pemain memberi semangat kepada pasukan masing-masing. Inilah yang kita mahukan,” katanya.