Pengunjung : 32404 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Kecewa MDB gagal selia

BANDAR 32 – Penduduk kecewa dengan kegagalan Majlis Daerah Bera (MDB) memantau keceriaan dan kebersihan kawasan di sini.

Mereka turut kesal dengan sikap segelintir penduduk yang mengambil kesempatan membuang sampah di kawasan haram walaupun sedar tindakan tersebut adalah tidak bermoral.

Seorang penduduk, Muthusamy Manickam, 63, berkata, mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuang sampah di hadapan pintu masuk deretan bengkel yang terletak di kawasan agak terpencil.

Menurutnya, sampah yang dibuang bukanlah sampah yang kecil sahaja tetapi juga sampah yang besar serta tidak berbungkus menyebabkan ia mencacatkan pemandangan di sini.

“Mereka membuang sampah di sini tanpa rasa malu sedangkan ramai yang memerhatikan pergerakan mereka ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Muthusamy berkata, sampah yang dibuang tidak dimasukkan ke dalam plastik menyebabkan ia berselerakan di hadapan pintu masuk bangunan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Taman Desa Juara, Fauzi Abd Ghani berkata, bangunan itu merupakan salah satu projek terakhir semasa pentadbiran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) sebelum ia dibubarkan.

Menurutnya, apabila Dara dibubarkan lewat 1990-an, semua pentadbiran dan bangunan di sini diserahkan kepada MDB.

“Pada awalnya, bengkel tersebut bertujuan untuk memberi peluang penduduk menjalankan latihan kemahiran namun kini ia lebih banyak dijadikan stor oleh pihak berkenaan.

“Memandangkan bengkel itu agak terpencil, kawasan tersebut kelihatan tidak terurus dengan penduduk mengambil kesempatan membuang sampah di sini,” katanya.

Fauzi berkata, dalam perkara ini, penduduk seharusnya menyedari mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan ini, di samping MDB memantau perkara ini sewajarnya.

Dia mencadangkan, MDB meletakkan sekurang-kurangnya lima pekerjanya di kawasan ini bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan dijalankan dengan baik dalam usaha meningkatkan semula pembangunan di kawasan ini.