Pengunjung : 12091 Sabtu 13-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Longkang busuk hantui penduduk

KUANTAN – Penduduk dan peniaga kurang berpuas hati apabila longkang berhampiran jalan Kampung Simpang Kemaman sepanjang 400 meter di sini, tidak diselenggarakan dengan sempurna menyebabkan berbau busuk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Beserah Tengah, Hassan Setapa berkata, pihaknya membuat aduan kepada Roadcare lebih dua kali namun sehingga kini masih tiada tindakan lanjut.

Menurutnya, kali terakhir longkang itu dibersihkan ialah kira-kira enam bulan lalu.

“Peniaga di Gerai Satelit Beserah dan peniaga di berhampiran longkang itu mengadu mereka tidak tahan bau busuk berikutan air tidak mengalir kerana tersumbat dengan sampah sarap.

“Gangguan aliran air ini menjadi lebih teruk selepas hujan lebat dan keadaan ini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kerana ia mungkin boleh mengakibatkan banjir kilat di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan longkang itu tersumbat dengan tanah, pasir dan sampah-sarap malah lebih teruk apabila keladi bunga tumbuh subur dalam longkang itu.:

Dakwanya, pada tahun lalu, hanya sekali longkang itu dibersihkan dan kerja itu juga tidak dilakukan dengan sempurna.

“Ada antara peniaga mengeluarkan belanja sendiri dengan meracun tumbuhan meliar dalam longkang, namun ia tumbuh kembali tidak lama selepas itu.

“Ini menyebabkan masalah sama berulang memandangkan kerja pembersihan tidak dilakukan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Beserah Tengah, Mohd Shahrul Fawaz Abdul Aziz berkata, keresahan peniaga dan penduduk ada asasnya sejak kebelakangan ini memandangkan keadaan cuaca tidak menentu.

“Kita bimbang sekiranya aliran air terganggu itu berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk terutama Aedes.

“Lebih memburukkan keadaan apabila ada peniaga ubah suai laluan masuk ke kedai dengan membuang penutup longkang dan menutup bahagian itu dengan lapisan konkrit hingga menyukarkan untuk bersih longkang ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan keselesaan penduduk dan peniaga, dia berharap pihak berkuasa tempatan meninjau dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Mohd Shahrul Fawaz berkata, penduduk di kawasan berkenaan agar menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah-sarap dalam longkang bagi mengelakkan masalah itu bertambah buruk.

Pekerja kedai akhbar, Syazwani Alwi, 21, berkata, bau busuk yang datang dari longkang itu bertambah teruk sepanjang musim panas.

“Saya harap masalah ini dibetulkan memandangkan penduduk sudah tidak tahan dengan keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Kuantan, Roadcare Malaysia Sdn Bhd, Zainuddin Hamzah ketika dihubungi berkata, kerja penyelenggaraan longkang di seluruh Kuantan dibuat mengikut giliran enam bulan sekali.

“Kita akan hantar petugas untuk meninjau longkang itu esok (hari ini) dan sekiranya keadaannya didapati kritikal, giliran untuk kerja penyelenggaraan akan dipercepatkan,” katanya.