Pengunjung : 25607 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Kontraktor rentung kereta dipandu hilang kawalan

KUALA ROMPIN - Seorang kontraktor rentung apabila kereta jenis Mazda yang dipandunya terbakar selepas bertembung dengan sebuah Proton Waja, dalam kemalangan ngeri di Kilometer 139.9 Jalan Kuantan-Seremban, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam kelmarin, mangsa Amirudin Abd Rahman, 31, yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, kereta dipandu mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah Proton Waja menyebabkan kedua-duanya hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Nahas itu berlaku apabila mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar kereta yang berada di hadapannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Johari berkata, rempuhan kuat itu mengakibatkan kereta mangsa meletup dan terbakar. Mangsa pula gagal menyelamatkan diri apabila tangan kirinya tersepit dan terperangkap di dalam kereta yang marak terbakar.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan kemalangan itu bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, sebuah jentera bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan api kenderaan terbabit yang terbakar.

Mayat mangsa rentung itu dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat sebelum ahli keluarga mereka menuntut untuk urusan pengebumian pada jam 9 pagi kelmarin.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja itu dikenali sebagai Mohd Nor Hafizi Jalil, 22, dari Felda Keratong 3, hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

Johari berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.