Pengunjung : 26016 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Laporan SPRM akan menyusul

KUANTAN – Jawatankuasa Bertindak ‘Selamatkan Tanah Rakyat’, sebuah taman perumahan di sini, semalam membuat laporan polis kerana mengesyaki wujud unsur penyelewengan dan rasuah mengenai kelulusan tapak rizab surau yang kini menjadi tempat perniagaan sebuah restoran.

Pengerusinya, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, penduduk mempersoalkan mengenai restoran itu yang masih beroperasi se-olah-olah tidak mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau mendakwa pejabat daerah dan tanah Kuantan membelakangkan kepentingan awam untuk meluluskan lesen pendudukan kepada individu berkaitan dan gagal merobohkan bangunan kekal yang dibina.

“Kami mengesyaki wujud penyelewengan, tidak amanah dan rasuah dalam hal ini dan jelas melanggar peraturan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Mohd Syukri yang mewakili penduduk setempat turut mendakwa premis yang dibina tidak mendapat kelulusan pelan bangunan dan permit perniagaan dari Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Lesen Pendudukan Sementara (TOL) juga sudah tamat tempoh Disember lalu dan perniagaan yang dijalankan secara haram wajar dihentikan segera,” katanya.

Sinar Harian kelmarin melaporkan mengenai pendirian penduduk mendapatkan tanah rizab surau untuk mendirikan kemudahan bangunan surau, kelas Fardu Ain, dan dewan orang ramai.

Kira-kira 100 penduduk mengadakan demonstrasi secara aman Jumaat lalu melalui ‘Kempen Selamatkan Tanah Rakyat Rizab Tapak Surau’ di hadapan restoran itu.

Mohd Syukri meminta polis menyiasat isu berkenaan kerana restoran itu masih beroperasi dan penduduk menunggu sehingga tiga tahun tetapi masih gagal diselesaikan.

“Kita juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengesyaki perkara ini turut membabitkan rasuah pihak tertentu,” katanya.

Sinar Harian telah menghubungi Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tetapi pengurusannya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat manakala Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan meminta kami menghubungi Pengarahnya hari ini.