Pengunjung : 13960 Jumaat 12-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Pemuda maut kena renjatan elektrik

ULU JELU – Seorang pemuda berusia 30-an ditemui mati dalam kebun dekat Kampung Ulu Jelu dipercayai terkena renjatan elektrik.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, maklumat diterima daripada penduduk setempat yang menjumpai mayat mangsa pada jam lebih kurang 6 petang.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan separuh bahagian badan berada dalam air berhampiran kawasan kejadian.

“Mangsa ditemui berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek itu dalam kawasan kebun berpagar.

“Hasil pemeriksaan awal juga mendapati beberapa kesan lecur pada bahagian kaki, pinggang dan telapak tangan mangsa,” katanya ketika ditemui di sini.

Wan Mohd Samsudin berkata, hasil bedah siasat Hospital Raub juga mendapati kematian mangsa secara mengejut berpunca daripada renjatan elektrik berlebihan.

Menurutnya, mayat mangsa dituntut keluarga yang juga penduduk Kampung Ulu Jelu sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.

“Masyarakat secara umumnya perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekiranya ingin memasang pagar dengan kuasa elektrik bagi memelihara kawasan tanaman masing-masing.

“Kesedaran bahawa pentingnya memasang papan tanda amaran perlu ada sebagai makluman kepada masyarakat setempat bahawa kawasan kebun diletakkan pagar elektrik,” katanya.

Beliau berharap kejadian yang sama tidak akan berulang lagi pada masa akan datang di samping meminta masyarakat setempat mengikut piawai yang ditetapkan dan mematuhi peraturan sekiranya ingin memasang pagar elektrik.

Orang ramai juga diminta memberikan sepenuh kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan penduduk di talian hotline polis 09-3554 999.