Pengunjung : 13611 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Pelanggan kecewa sikap kakitangan bank

JENGKA – Seorang pelanggan kecewa dengan sikap segelintir kakitangan sebuah bank kurang mesra pelanggan dan perkhidmatan diberikan kurang memuaskan.

Seorang penduduk, Mariah Ahmad, 40-an, mendakwa, dia kecewa sikap kakitangan terbabit dan dianggap pelanggan seolah-olah membebankan mereka, sedangkan pelanggan adalah aset yang membawa keuntungan kepada syarikat.

Menurutnya, dia sering kali mendapatkan perkhidmatan bank terbabit sejak lebih 10 tahun namun kecewa segelintir kakitangan terutama di kaunter melayan pelanggan.

“Kakitangan di kaunter kurang mesra pelanggan malah apabila diajukan soalan terutama membabitkan golongan warga emas, mereka tidak dijawab dengan jelas dan meninggikan suara.

“Cara ini amat mengecewakan saya sebagai pelanggan dan tiada tempat untuk mengadu. Saya bukan dedahkan perkara ini hanya semata-mata menjatuhkan imej mana-mana pihak, namun perkara ini dijadikan iktibar.

“Sepatutnya kakitangan terbabit harus girang melayan pelanggan terutama warga emas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pengusaha butik pengantin itu berkata, dia juga beberapa kali berurusan dengan pihak bank berkenaan dan ada kakitangan mempunyai sikap seperti itu.

“Apabila melihat perkara ini, saya kecewa dan rasa tidak mahu berurusan dengan bank berkenaan kerana sikap acuh tidak acuh kakitangannya terutama di bahagian kaunter.

“Harus diingat bahawa pelanggan membawa rezeki, namun perkhidmatan yang diberikan seolah-olah ingin halau pelanggan agar tidak berurusan dengan mereka,” katanya.

Katanya, kakitangan terbabit seharusnya menjayakan kempen kerajaan iaitu budi bahasa budaya kita dalam kehidupan seharian termasuk ketika berurusan dengan pelanggan.

“Kita sedar mungkin mereka penat melayan beribu-ribu pelanggan setiap hari.

”Bagaimanapun, mereka harus ada sikap toleransi terutama membabitkan pelanggan warga emas,” katanya.