Pengunjung : 6415 Rabu 17-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Jangan racun fikiran ahli persatuan

CHENOR - Ahli persatuan belia berharap tiada pihak lain cuba mencampuradukkan peranan dan fungsi persatuan itu untuk kepentingan peribadi atau memperjuangkan survival parti politik dengan ‘meracun’ pemikiran anak muda melalui imbuhan tertentu.

Pengerusi Persatuan Belia Seberang Chenor, Rustam Johari Abdul Malik berkata, persatuan belia ditubuhkan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili golongan muda untuk melaksanakan program bagi memperkasa peranan mereka dalam masyarakat.

Menurutnya, NGO itu juga tidak harus mempunyai sebarang ruang untuk amalan kronisme bagi mengelakkan ia ‘dimakan’ sehingga menjejaskan keberkesanan usaha mendekati belia.

“Jika ada pihak mempunyai agenda tersendiri seperti menyalahgunakan peruntukkan kerajaan untuk kegunaan persatuan belia, ini hanya merosakkan minda belia kerana mereka dilatih untuk melakukan kerja demi dapatkan imbuhan tertentu,” katanya ketika ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang belia, Mohd Shahrulnizam Abu Samah, 28, berkata, persatuan belia bukan satu badan yang boleh dijadikan boneka atau lubuk pengaruh politik kerana ia menghakis semangat kepimpinan muda.

Katanya, pemimpin belia perlu digerakkan supaya aktif dan kemudiannya baru menyertai bidang politik tanah air.

“Dengan asas ini, kita mampu melahirkan seorang pemimpin pelapis yang kuat, mantap dan berdisiplin.

“Sekarang ini cukup berbeza, terdahulu persatuan belia dijadikan tapak utama untuk cungkil bakat kepimpinan tetapi kini pemimpin politik pula yang terjun ke dalam NGO,” katanya.

Seorang belia, Wan Fikri Fahmi, 23, berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berterusan sehingga boleh merosakkan imej persatuan itu. “Pemikiran golongan ini tidak harus diracuni tetapi parti politik perlu berusaha memperkasa suara belia bagi mendapatkan sokongan dalam merancakkan aktiviti setempat,” katanya.