Pengunjung : 9694 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Paid kesan blog hina Islam

TEMERLOH – Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh (Paid) mengesan sebuah blog yang mengandungi artikel dan karikatur yang menghina Islam.

Blog itu dikesan selepas pihak Paid menerima laporan daripada orang awam Khamis lalu.

Pegawai Penguat kuasa Kanan Paid, Mohd Nor Mat Yatim berkata, ia adalah satu penghinaan dan boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam masyrakat Islam.

“Menerusi siasatan awal mendapati, blog ini dikendalikan dalam bahasa Indonesia dan diperbaharui sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Ia banyak menyiarkan artikel dan kartun yang menghina Islam,” katanya sewaktu ditemui di pejabatnya semalam.

Mohd Nor berkata, Paid akan berbincang dengan Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengenai perkara itu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, Jaip mempunyai peruntukan seksyen yang berkaitan untuk diambil tindakan sama ada Seksyen 168, iaitu mengejek dan mempersendakan Islam atau Seksyen 170, iaitu mencerca agama.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan oleh Jaip itu hanya boleh diambil jika penulis blog itu beragama Islam dan meminta bantuan daripada pihak berkuasa lain jika dia bukan beragama Islam.

“Saya mohon polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat perkara ini.

“Perbincangan akan dibuat dengan kakitangan Bahagian Penyelidikan Jaip sama ada hendak membuat laporan polis atau tidak,” katanya.