Pengunjung : 13998 Rabu 17-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Selesaikan isu peringkat bahagian

KERDAU - Ketua MIC bahagian perlu memastikan setiap isu yang timbul perlu segera diselesaikan dan berbincang di peringkat bahagian supaya mencari jalan penyelesaian untuk mengelak daripada menjadi serius.

Naib Pengerusi Bahagian Perhubungan MIC negeri, R Gunasegaren berkata, isu yang timbul perlu dibawa secara perundingan dan perlu mengelakkan daripada dilakukan dalam bentuk bantahan atau demonstrasi.:

Menurutnya, beliau akan turun ke semua Parlimen bermula 1 Februari lalu dan akan mewujudkan satu jawatankuasa bertindak yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), wanita, belia dan tidak bermotifkan politik.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk mendengar isu dan permasalahan penduduk dan berbincang mencari jalan penyelesaian. Isu tersebut akan dibawa kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan Majlis Pesta Ponggal 2010 di Ladang BeeYong, di sini. Hadir sama, Ketua MIC Bahagian Kuala Krau, M. Murugaiah; Ketua MIC Cawangan Ladang BeeYong, A. Soosai; Ketua Penerangan MIC Bahagian Kuala Krau, K. Soomaran dan Ketua MIC Bahagian Maran, Arjunan.

Beliau yang juga Ketua MIC Bahagian Bera berkata, kerajaan negeri menggalakkan lebih ramai belia India menceburi bidang perniagaan dan akan membantu golongan ini mendapatkan bantuan pinjaman sekiranya tidak mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Menurutnya, mereka perlu menjadikan bidang perniagaan sebagai bidang utama kerana ia mendatangkan hasil yang lumayan sekiranya ia diusahakan secara bersungguh-sungguh dan dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada remaja lain.

“Dengan cara ini masalah kemiskinan dan pengangguran dapat diatasi dan melahirkan ramai usahawan berjaya yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat India yang lain,” katanya.

Gunasegaren juga harap ketua MIC bahagian turut memainkan peranan mengajak golongan belia ini menyertai kegiatan kemasyarakatan supaya mereka tidak terpengaruh dengan isu atau pertubuhan yang boleh menimbulkan pelbagai masalah.