Pengunjung : 6048 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Bangunan Kafa semakin uzur

BENTONG – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Bentong memohon menaik taraf bangunan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Kampung Baru, dekat sini, bagi memenuhi keperluan pelajar mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa.

Pengerusi Perkim Daerah, Jamiri Sainan berkata, sekolah ini mempunyai tiga blok bangunan dan salah satu daripadanya kini semakin uzur kerana dimakan anai-anai memandangkan ia diperbuat daripada papan dan memerlukan peruntukan khas untuk memastikan ia selamat digunakan pelajar.

Menurutnya, setakat ini seramai hampir 200 orang pelajar menggunakan bangunan sekolah itu di waktu pagi dan petang.

“Selain kelas Kafa bagi pelajar tahun satu hingga enam terdapat juga tabika khusus untuk pelajar di bawah enam tahun.

“Jika diperhatikan, permintaan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke kelas Kafa Perkim meningkat dari tahun ke tahun terutama di cawangan Kampung Baru,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, peningkatan permintaan ibu bapa terhadap pendidikan agama juga memerlukan komitmen daripada Perkim untuk cuba menyediakan kemudahan pembelajaran yang selesa untuk pelajar.

Menurutnya, permohonan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur bangunan ini sudah dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) namun sehingga kini masih tidak mendapat sebarang jawapan.

“Jawatankuasa Perkim juga pernah memohon melalui Pejabat Tanah Daerah Bentong untuk mendapatkan sejumlah peruntukan untuk tujuan yang sama.

“Tambahan pula, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kekangan dari segi kewangan memang wujud namun kami akan tetap berusaha untuk memastikan keperluan pendidikan sentiasa diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, selain kelas Kafa yang terdapat di cawangan Kampung Baru, Perkim juga mengendalikan enam lagi kelas iaitu di Surau Taman Kolej, Surau Taman Sri Siantan, Surau Taman Seroja, Balai Taman Melati, Masjid Taman Desa Damai dan Balai Islam Taman Bukit Chamang.

Menurutnya, secara keseluruhannya jumlah pelajar yang mengikuti kelas Kafa adalah seramai hampir 700 orang dan dikendalikan oleh 18 tenaga pengajar.:

“Selain menaik taraf bangunan kelas Kafa di Kampung Baru, Perkim juga memohon peruntukan untuk membaiki surau Taman Sri Siantan yang dijadikan Kelas Kafa memandangkan terdapat masalah mendapan tanah.

“Sehingga kini kelas Kafa yang ada di situ terpaksa dipindahkan sementara menunggu pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai tahap keselamatan bangunan itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat berharap agar setiap permohonan yang dikemukakan kepada pihak berwajib mendapat perhatian sewajarnya supaya proses menaik taraf dapat dijalankan secepat mungkin.

Menurutnya, keselamatan pelajar menjadi keutamaan supaya tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini terutama sekali pada waktu pembelajaran.

“Sekiranya, peruntukan dapat disalurkan, Perkim turut bercadang menjadikan bangunan di kawasan Kampung Baru sebagai pejabat urusan Perkim bagi melancarkan pentadbiran dan pengurusan aktiviti dijalankan pertubuhan ini,” katanya.