Pengunjung : 6368 Rabu 17-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Warga emas rayu bantuan bulanan

KAMPUNG BHARU – Seorang warga emas di sini merayu diberi bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan dia kini tidak lagi mampu mencari rezeki untuk menampung keperluan perbelanjaan hariannya.

Jeriah Mat Jaeh, 65, berkata, dia hanya menjual hasil pertanian kampung di pasar tani Bandar Jerantut untuk menyara kehidupannya dengan memperoleh pendapatan sekitar RM120 seminggu.

Menurutnya, dahulu dia diberikan tapak kekal untuk berniaga namun terpaksa diserahkan kembali berikutan tidak mampu membayar sewa bulanan kerana hasil jualan produk kampung tidak menentu.

“Saya berniaga hasil kampung iaitu pucuk paku, kangkung, rebung dan sayuran lain untuk menampung pendapatan, namun usia yang meningkat dan kesihatan yang semakin uzur menyebabkan saya kini tidak lagi larat untuk bekerja kuat.

“Pendapatan itu saya gunakan untuk perbelanjaan saya seorang anak yang tinggal bersama, faktor kesihatan membuatkan saya terpaksa mengehadkan aktiviti mencari hasil kampung untuk jualan di bandar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jeriah berkata, bantuan bulanan amat diperlukannya memandangkan hasil pertanian untuk jualan semakin berkurang ditambah dia sendiri semakin uzur, manakala lima lagi anak yang lain telah berkahwin dan menetap bersama suami di luar daerah ini.

Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan bantuan bulanan berkenaan pernah dibuat kepada JKM, dan pegawa berkenaan turut datang membuat tinjauan ke rumahnya.

“Sehingga kini saya tidak tahu status permohonan saya, namun saya amat mengharapkan supaya permohonan untuk mendapatkan bantuan bulanan diluluskan.

Sementara itu, jurucakap JKM ketika dihubungi berkata, permohonan bantuan Jeriah tidak mendapat kelulusan berikutan dia menetap bersama anak lelakinya yang masih boleh berdikari untuk tujuan menyara hidupnya, di samping mereka :juga mempunyai sumber ekonomi sendiri.

Menurutnya, surat jawapan pengesahan kepada permohonan juga dilakukan dan berkemungkinan pemohon terlepas pandang kepada surat itu, namun JKM juga tidak menolak dan sedia membantu jika permohonan kali kedua.