BOTA - Keadaan padang bola di Stadium Mini Bakri Rais, Bota Kanan, agak menyedihkan kerana tidak diselenggara dengan baik.
 
Bahkan rumput di padang berkenaan dibiarkan panjang manakala ada beberapa kawasan disondol babi hutan yang menceroboh padang itu melalui pagar yang rosak.
 
Pengurus pasukan bola sepak Bota Pekan FC, Halim Ngah Ismail, 45, berkata, keadaan itu menyebabkan pasukannya dan penduduk sekitar tidak selesa beriadah di situ.
 
Menurutnya, padang berkenaan menjadi perhatian umum kerana menjadi satu-satunya padang terbaik yang ada di Bota Kanan.
 
“Pasukan saya menggunakan padang ini setiap hari untuk bermain bola tetapi amat mengecewakan apabila tidak diselenggara dengan baik.
 
“Kami pernah mengadakan gotong-royong membersihkan padang ini malah terpaksa mengalihkan tiang gol ke bahagian tengah kerana di bahagian tepi padang ditumbuhi rumput panjang dan ada sesetengah tempat disondol babi,” katanya.
 
Halim berkata, selain itu kemudahan tandas dan bilik persalinan  di sini tidak diselenggara.
 
Katanya, pihak berkenaan harus mengambil tindakan segera dengan membaik pulih padang itu.
 
“Di sini banyak perlawanan penting pernah dilangsungkan, pihak berkenaan perlu mengambil alternatif menambah kemudahan sedia ada supaya sukan bola sepak dapat terus menyerlah,” katanya.