• Kakitangan Jabatan Imigresen melakukan operasi membenteras pendatang asing tanpa izin di Bandar Baru Kampar di Ipoh, awal pagi tadi. - Foto Bernama Kakitangan Jabatan Imigresen melakukan operasi membenteras pendatang asing tanpa izin di Bandar Baru Kampar di Ipoh, awal pagi tadi. - Foto Bernama
1 /

MELAKA - Sebanyak 414 warga asing dan seorang rakyat tempatan ditahan dalam Ops Bersepadu 6P yang dijalankan lebih enam jam bermula 12 tengah malam tadi di Melaka.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata dalam operasi itu yang membabitkan 40 anggota Imigresen dan 50 anggota pelbagai agensi, 11 wanita warganegara China dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini.

Empat daripada wanita berkenaan ditahan ketika cuba melarikan diri melalui laluan rahsia di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis itu.

"Dinding di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis ditebuk bagi membolehkan GRO melarikan diri melalui tangga ke tingkat satu dengan pintu laluan terletak di bawah tempat sembahyang," katanya kepada pemberita di sini.

Sebanyak 403 lagi warga asing berusia lingkungan sebulan hingga 50-an ditahan di kawasan rumah pangsa di Bachang di sini atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk masuk ke negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh.

Kamalludin berkata pendatang asing yang ditahan itu membabitkan 203 orang warganegara Indonesia, Myanmar (100), Nepal (63), Bangladesh (21), India (10) dan Vietnam (6).

Seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta berkenaan kerana menjadi pelindung kepada pendatang tanpa izin.

Di SUNGAI PETANI, Jabatan Imigresen Kedah menahan 130 pendatang tanpa izin termasuk 10 wanita dalam serbuan di dua lokasi dalam Ops Selera di sini awal hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah Nar Azaman Ibrahim berkata pendatang asing berumur antara 14 dan 50 tahun itu didapati melanggar Akta Imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh.

Mereka ialah 53 lelaki Myanmar, 40 lelaki Indonesia, 16 lelaki Bangladesh, enam lelaki Nepal, empat lelaki Pakistan, seorang lelaki India, dan 10 wanita masing-masing lima dari Myanmar dan lima Indonesia.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini sejumlah 192 warga asing diperiksa dalam operasi itu, yang tertumpu kepada rumah kongsi tapak pembinaan Puteri Jaya Hill Park dan Lot 88 Sungai Petani.

Katanya operasi itu yang dijalankan dari 12 tengah malam tadi hingga 6 pagi ini disertai 137 pengawai dan anggota Imigresen dengan dibantu anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Di    KAMPAR, Jabatan Imigresen Perak menahan 12 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam 'Ops Bersepadu 6P' di rumah kongsi kawasan pembinaan Bandar Baru Kampar di sini, awal hari ini.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Perak Wan Mahmud Zuhdi Wan Hassan berkata mereka ialah 11 lelaki dan seorang wanita terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh dan Pakistan berusia antara 20-an dan 40-an.

"Mereka ditahan kerana tinggal lebih tempoh, mempunyai pas lawatan kerja sementara palsu dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di kawasan itu.

Operasi itu, hasil risikan sejak dua minggu lepas, telah memeriksa 114 orang iaitu 95 lelaki dan 19 wanita termasuk dua kanak-kanak. Mereka kemudian dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Langkap.

Di JOHOR BAHRU, sejumlah 101 pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Bersepadu 6P di Perkampungan Taman Muhibbah, Ulu Tiram di sini malam tadi. 

Pendatang asing terbabit, termasuk 23 kanak-kanak, terdiri daripada 72 warganegara Kemboja, 22 warganegara Vietnam, empat warganegara Myanmar dan tiga warganegara Indonesia berusia lingkungan dua hingga 58 tahun.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi tempoh.

"Dalam tangkapan ini ada pemegang pas lawatan kerja sementara telah berkahwin atau membawa anak mereka. Mengikut polisi mereka tak boleh kahwin, kita akan ambil tindakan dan kalau ada keperluan, usir dan pas lawatan kerja mereka kita batalkan," katanya ketika  dihubungi hari ini.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan selanjutnya.

Dalam operasi sama, tujuh rakyat tempatan ditahan kerana positif dadah.

Di SEREMBAN, seramai 621 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Ops Bersepadu 6P oleh Jabatan Imigresen Negeri dengan kerjasama beberapa agensi lain.

Pengarah Imigresen Negeri Faizal Fazri Othman berkata, mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain menyalahgunakan pas lawatan.

"Operasi hari ini turut melibatkan agensi lain seperti Polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Penjara.

"Operasi ditumpukan ke kawasan tapak pembinaan, kawasan perniagaan dan kompleks beli belah, rumah kedai serta kawasan perhentian pengangkutan awam," katanya dalam satu sidang media.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan seramai 55 orang adalah wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Faizal Fazri berkata, kebanyakan yang ditahan adalah warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Vietnam dan berusia antara enam hingga 60 tahun.

Katanya, operasi yang bermula tengah malam dan tamat pada pukul 5 petang tadi dijalankan di setiap daerah dengan daerah Nilai mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 250 lelaki dan 12 wanita.

"Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki dokumen atau gagal mempamerkan pengenalan diri selain menyalahgunakan pas lawatan atau pas lawatan telah tamat tempoh," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, untuk tindakan lanjut. 

Di SEPANG, seramai 73 warga asing ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan, tinggal melebihi masa yang ditetapkan dan memiliki dokumen palsu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya K. Saravanan berkata mereka adalah sebahagian daripada 160 warga asing yang diperiksa dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Sepang dan Shah Alam, Selangor, awal pagi ini.

Pada operasi di Sepang, seramai 50 warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah berkenaan, seramai 21 warga asing ditahan untuk siasatan manakala pada operasi di Cahaya Alam U12, Shah Alam, Selangor pula pihak Imigresen telah menahan 52 daripada 110 warga asing yang diperiksa di sebuah rumah kongsi.  

"Sehubungan itu, Jabatan Imigresen menasihati majikan supaya tidak mengambil pendatang asing tanpa izin untuk bekerja dengan mereka dan perlu mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi bersepadu di sekitar kawasan Sepang awal pagi ini.

Saravanan berkata pihaknya akan terus mencari majikan yang mengambil pendatang asing tanpa izin dan memastikan mereka (majikan) tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sewajarnya.

Operasi berkenaan membabitkan kira-kira 100 anggota penguatkuasa daripada Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela).   

Daripada jumlah keseluruhan warga asing yang ditahan di sekitar Sepang dan Shah Alam, 62 adalah lelaki dan selebihnya wanita.

"50  daripada jumlah keseluruhan yang ditahan itu adalah dari Indonesia (membabitkan sejumlah 39 lelaki dan 11 wanita), 18 lelaki merupakan warga Bangladesh, dua lelaki warga Nepal manakala tiga lelaki warga Myanmar.

"Semua warga asing yang ditahan ini telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya untuk disiasat dan seterusnya mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Langkap, Perak," katanya.

Di KUCHING, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia, Kuching menahan 90 orang pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Ops Bersepadu 6P sejak 12 tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Robert Lian berkata tangkapan itu hasil pemeriksaan oleh 60 anggota penguatkuasa terhadap 415 orang di lima lokasi di sekitar Kuching, Balai Ringin dan Serian.

"Pendatang asing yang ditahan itu ialah 80 lelaki dan 10 wanita terdiri daripada 69 warga Indonesia, 10 Bangladesh, lapan India dan masing seorang warganegara Myanmar, Vietnam dan Pakistan," katanya kepada pemberita selepas operasi di kawasan pasar Demak Laut.  

Lian berkata daripada jumlah tangkapan tersebut, 32 PATI bekerja dalam sektor perladangan, 31 sektor perkhidmatan, dan 27 orang bekerja di sektor perkilangan.

Menurutnya semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Simuja, Serian.

Dalam pada itu, Lian berkata Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Miri, turut membuat 15 tangkapan dalam operasi 6P sejak malam tadi.

Di BUTTERWORTH, Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 56 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara di Perhentian Bus Butterworth dan Jeti Sultan Abdul Halim.

Operasi bermula 5 petang tadi melibatkan 60 anggota dari pelbagai agensi - Imigresen, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata pihaknya telah membuat pemantauan secara terperinci sejak beberapa hari lalu sebelum melakukan Operasi Sepadu Program 6P.

"Kami telah membuat pemeriksaan ke atas 644 orang pendatang  di dua kawasan tumpuan warga asing.

"Hasil pemeriksaan, kami telah berjaya menahan 22 warga India, 21 warga Myanmar, tujuh orang warga Bangladesh dan masing-masing dua orang warga Nepal, Vietnam dan Sri Lanka," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan termasuklah tidak mempunyai passport, menyalah gunakan permit pekerjaan, melanggar syarat pas pekerja dan pas tamat tempoh. - Bernama