• Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi susulan masih banyak yang terperangkap di bawah runtuhan. Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi susulan masih banyak yang terperangkap di bawah runtuhan.
1 /

SAVAR - Operasi mencari dan menyelamat mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan Plaza Rana di pinggir Bangladesh pada minggu kedua, semalam, dilaporkan semakin sukar.

Menurut pegawai, setakat ini seramai 386 mangsa korban berjaya dikeluarkan daripada runtuhan selain percaya jumlah kematian bakal meningkat kepada 1,400 orang.

"Pasukan mencari dan menyelamat terpaksa menggunakan alat penggerudi dan pemotong konkrit bagi memudahkan operasi mengeluarkan mayat yang masih terperangkap di bawah sisa runtuhan," katanya.

Bangunan lapan tingkat yang dibina secara haram itu runtuh, serta meranapkan lima kilang pakaian yang dipercayai menempatkan 3,122 pekerja, Rabu lalu.

"Majoriti mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga kecuali 49 mayat masih disimpan kerana terpaksa menjalani proses mengenal pasti di Hospital Kolej Perubatan Dhaka," katanya kepada AP.

Runtuhan bangunan Plaza Rana adalah insiden ketiga membabitkan kemalangan terbesar dalam industri tekstil Bangladesh bernilai AS$20 bilion (RM60 bilion) selain pembekal pakaian global.

Sementara itu, ratusan orang terdiri daripada saudara-mara mangsa yang masih belum ditemui memenuhi pekarangan lokasi kejadian dengan membawa gambar serta kad pengenalan mangsa.

Dalam perkembangan lain, pemilik Plaza Rana, Mohammed Sohel Rana yang ditahan dua hari lalu telah disoal siasat pihak berkuasa selain direman selama dua minggu.