Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Paes
Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Paes (kiri) membawa bandera Olimpik pada acara penutup rasmi awal pagi semalam.

TUAN rumah Great Britain terus menampilkan persembahan berwarna-warni dan mempersonakan menonjolkan bakat seni kreatif mereka pada acara penutupan Sukan Olimpik London, awal pagi semalam.

Acara bermula dengan perarakan masuk kontinjen negara bertanding.

Jasa para sukarelawan yang bertungkus-lumus selama 16 hari untuk menjayakan kejohanan terbesar dunia itu tidak dilupakan apabila mereka diberi penghargaan.

Lima atlet termasuk dari Malaysia iaitu penerjun Leong Mun Yee dipilih untuk menghadiahkan bunga kepada lima wakil para sukarelawan tersebut.

Dalam acara yang penuh simbolik, bendera Olimpik diturunkan dan kemudian diserah kepada Datuk Bandar London, Boris Johnson yang menyerahkannya pula kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge.

Bendera seterusnya diserahkan kepada Datuk Bandar Rio De Janeiro, Eduardo Paes. Lagu kebangsaan Brazil lalu dimainkan dan benderanya dinaikkan menandakan Brazil bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2016.

Bertemakan ‘Transformation and Passion’, ia merupakan kali pertama negara Amerika Selatan menjadi tuan rumah Olimpik. “Maka dengan itu ‘Cariocas’ (masyarakat Rio de Janeiro) dan Brazil secara umumnya adalah sangat teruja,”  kata Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Rio 2016 untuk sukan Olimpik dan Paralimpik, Leonardo Gryner.

Bagi memperkenalkan tuan rumah, karyawan Brazil mempersembahkan pelbagai kebudayaan, seni dan tarian termasuk penampilan khas legenda bola sepak dunia kelahiran Brazil, Pele. 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.