• Muka Depan Novel Temukanku Dengan Cinta Oleh Ainul Hazrah Muka Depan Novel Temukanku Dengan Cinta Oleh Ainul Hazrah
1 /

SUDAH hampir dua jam Qaseh berlegar-legar di One Utama untuk mencari hadiah yang sesuai untuk Datin Rahimah. Rancangan asalnya, dia akan ditemani oleh Zalia.Malangnya, Zalia pula ada hal dan tidak dapat menemaninya.

Shamin pula awal-awal sudah menolak ajakannya. Maklumlah, keadaannya yang semakin sarat memang meletihkan jika banyak berjalan.

Qaseh berhenti dan duduk di salah sebuah bangku yang disediakan buat pengunjung-pengunjung itu. Sudah lenguh kakinya berjalan, namun belum dapat lagi apa yang dicarinya.

“Eh, ni Qaseh, kan?”

Terkejut Qaseh bila namanya diseru seseorang. Pantas dia mendongak. Kelihatan wajah yang agak dikenalinya, mak cik yang ditemuinya di pasar tempoh hari!

“Sorang saja?”

“Mak cik… Ha’ah Qaseh sorang saja,” jawab Qaseh sambil tersenyum manis serta menyalami wanita itu. Ingat lagi rupanya orang tua ini akan dirinya walaupun baru sekali mereka bersua. “Boleh mak cik duduk sini?”

“Silalah duduk, mak cik. Qaseh pun tak ada kawan ni,” pelawa Qaseh. Bagus juga bila ada kawan untuk berbual sambil berehat di situ.

“Umi Qaseh apa khabar?” tanya Datin Rahimah. Pernah juga beberapa kali dia terserempak dengan Tija setelah mereka berjumpa pertama kali dahulu, tetapi tidak pula dengan Qaseh.

“Alhamdulillah, mak cik. Ami sihat. Mak cik shopping, ke?” ramah Qaseh bertanya.

“Sebenarnya mak cik ni bukanlah nak shopping sangat. Mak cik pergi buat facial tadi. Sementara nak tunggu pak cik datang jemput, sajalah jalan-jalan tengok apa-apa yang berkenan.”

‘Hmm... orang banyak duit, dah berumur pun masih buat facial lagi. Patutlah nampak cantik. Berapalah agaknya umur mak cik ni ya?’ Qaseh tertanya-tanya sendiri.

“Qaseh datang shoppinglah ni?” Datin Rahimah pula menyoal.

“Hmm... Qaseh nak cari barang untuk buat hadiah. Tapi dah dekat dua jam kat sini, tak tahulah apa nak beli. Mak cik ada apa-apa cadangan tak?” beritahu Qaseh sekali gus meminta pendapat daripada Datin Rahimah.

“Hadiah untuk siapa tu?” “Hadiah untuk isteri bos Qaseh. Susahlah nak pilih. Nak bagi handbag atau jam, rasanya dia dah banyak dah. Mesti yang mahal-mahal. Setakat yang harga empat ratus tu, mana boleh lawan,” cerita Qaseh dengan sebuah keluhan berat.

‘Kenapalah Lydia bercuti? Kalau tidak, taklah dia bersusah payah begini. Lantak sajalah apa yang nak dibelinya.’

“Betul juga pendapat Qaseh tu. Apa kata beli benda lain! Macam telekung ke, tudung atau apa-apa sajalah untuk digunakan. Dia tu Islam ke?”

Cepat Qaseh mengangguk sambil matanya masih merenung tepat wajah Datin Rahimah. “Telekung... Okey juga! Tapi… nanti takkah dia fikir yang bukan-bukan pula. Takut pula nanti dia salah sangka,” jawab Qaseh ragu-ragu.

“Takkanlah pulak. Orang dah bagi dengan ikhlas apa nak salah sangka pula. Dia tu macam mana orangnya?” soal Datin Rahimah penuh minat.

“Entahlah. Qaseh tak pernah jumpa lagipun. Nantilah Qaseh tanyakan kawan-kawan yang lain,” guman Qaseh. Tanpa diketahui olehnya bahawa tuan punya hadiah tersebut sebenarnya sudah pun berada di hadapannya.

Setelah berbincang dengan Shamin, Zalia dan beberapa orang lagi kakitangan yang agak rapat, mereka akhirnya bersetuju untuk membelikan telekung untuk dihadiahkan kepada Datin Rahimah. Dari mereka juga, Qaseh mengetahui yang Datin Rahimah adalah seorang yang rendah diri dan amat bersederhana.

Lega rasanya setelah mendapat penyelesaian tentang hadiah tersebut. Tengah hari nanti, mereka akan keluar untuk membeli sepasang telekung buat Datin Rahimah. Tentu tidak susah sebab banyak butik-butik yang menjual telekung. Sebut saja berapa harganya, semuanya boleh disediakan.

Qaseh tekun menjalankan tugasnya seperti biasa. Dua tiga hari lagi legalah sedikit bila Lydia pulang. Taklah dia sesibuk sekarang.

“Wani, kejap lagi saya nak ke Putrajaya. Awak sediakan dokumen yang bersangkutan dengan bangunan kerajaan yang baru tu. Oh ya, awak ikut saya sekali nanti,” arah Hamdan setibanya dari bilik Ikmal.

“Saya ikut sekali?” “Yalah, Lydia tak ada, awak kenalah ikut.”

‘Gantikan Lydia? Maknanya Ikmal ada sekalilah tu. Dahlah kerja melambak kat ofis, kena pula ikut bos dua orang ni. Boleh lemau nanti. Nampaknya tergendalalah hajat mereka untuk keluar mencari hadiah tengah hari nanti,’ gumam Qaseh di dalam hati.

Selesai urusan di Putrajaya, jam sudah pun hampir ke pukul 2.00 petang.

“Kita singgah makan dululah Encik Hamdan,” usul Ikmal. “Perut pun dah berkeroncong ni. Boleh, Wani?”

“Boleh sangatlah, Encik Ikmal. Saya pun rasa dah nak pengsan ni,” jawab Qaseh dengan ketawa kecil.

“Eh, jangan pengsan dulu. Nanti tak pasal-pasal kami kena marah dengan ami awak. Nanti dia ingat kami berdua dera anak dia sampai masa rehat pun kena kerja,” seloroh Hamdan pula.

“Tak apa. Saya boleh tahan lagi. Tapi kalau lama sikit lagi, mungkin juga. Saya memang tak tahan berlaparlah.” Qaseh berterus terang.

“Habis tu, kalau bulan puasa macam mana? Tak puasalah?” soal Ikmal sambil merenung penuh minat dari cermin pandang belakang. Takkan dia ni tak puasa?

“Hisy! Encik Ikmal ni, takkanlah tak puasa pulak? Bulan puasa tak apa Encik Ikmal. Mungkin sebab berniat. Dah kita berniat nak puasa, ALLAH tolonglah kita. Cuma bila hari biasa macam ni, bila lambat sangat makan saya tak boleh tahan.

Kadang sampai menggeletar tangan. Nasib baik tak ada gastrik,” terang Qaseh panjang lebar. Biarlah dia orang tahu tentang keadaannya. Mana tahu kalau dia orang nak buli dia pun, tentu fikir sepuluh kali. Kalau betul dia pengsan, siapa yang hendak menjawab nanti.

“Awak nak makan apa? Hari ni saya belanja.” “Alhamdulillah…” Qaseh ketawa lagi. Rezeki jangan ditolak. “Apa-apa sajalah Encik Hamdan, janji kenyang.”

“Kalau kita pergi gerai tepi jalan, awak tak kisah ke?” soal Ikmal pula.

“Kalau Encik Ikmal dan Encik Hamdan tak kisah, saya kena kisahkah?” balas Qaseh berseloroh. “Takkanlah, tungku besar dari periuk!”

“Amboi! Bahasa! Sakan juga awak ya,” usik Hamdan membuat mereka semua sama-sama ketawa. “Kalau macam tu, kita pergi makan kat ‘nasi ayam periuk besar’. Jadi sah-sah periuk besar dari tungku. Okey, Ikmal?” soal Hamdan pada Ikmal.

“Set,” jawab Ikmal.

Lega rasanya bila perut sudah diisi. Tambahan pula bila dapat makan percuma. Qaseh hanya mengikut langkah Ikmal dan Hamdan menuju ke kereta. Matanya meliar memandang barang-barang yang dijual di kedai-kedai yang berhampiran. Langkahnya terhenti seketika bila terpandang sebuah butik yang menjual pakaian yang agak eksklusif. Jika dia berseorangan, tentu dia sudah masuk ke situ. Tak beli pun boleh window shopping.

“Helo! Cik adik, nak shopping ke?” Panggilan Ikmal membuat Qaseh terkapa-kapa seketika.

“Taklah Encik Ikmal. Saja tengok,” sangkal Qaseh sambil memandang ke jam tangannya. Nak mampus nak shopping masa pejabat. Sah-sah tak confirmed nanti.

“Cantik-cantik juga baju kat sini,” komen Ikmal setelah dia dan Hamdan berpatah balik mendapatkan Qaseh. “Kalau awak nak masuk, masuklah. Saya bagi peluang hari ni sebab dah ambil masa rehat awak tadi.”

“Tak payahlah Encik Ikmal. Baju kat butik ni mesti mahal,” tolak Qaseh. Dia sudah melangkah mendahului Ikmal dan Hamdan. Namun, langkahnya tiba-tiba saja mati membuat Ikmal yang berjalan di belakang hampir saja melanggarnya.

“Awak ni… kalau nak brek pun bagilah signal dulu. Nasib baik tak accident.”

“Maaf, Encik Ikmal. Saya…” Qaseh berpaling mengadap Ikmal.

“Accident tak apa Ikmal, kalau tercium…” usik Hamdan bila hidung Ikmal sebenarnya sudah begitu hampir dengan kepala Qaseh.

Wajah Qaseh mula merona merah. Jantungnya juga sudah mula dap dip dup. “Saya nak masuk dalam kejap.” Pantas Qaseh melangkah ke dalam butik tersebut. Senak rasanya berlamaan di situ dan menjadi habuan gurauan kedua lelaki tersebut. ‘Huh! Lega rasanya…’

Qaseh terus menuju ke arah sederet telekung yang dipamerkan di situ. Kerana telekung-telekung tersebutlah dia hampir berlanggar dengan Ikmal tadi. Dibeleknya harga yang tertera di telekung tersebut satu per satu. Patutlah nampak cantik sangat. Harganya sampai lima enam ratus.

“Ada yang berkenan?” soal Ikmal yang sedari tadi asyik memerhatikan gelagat Qaseh. “Mahal sangat,” jawab Qaseh.

“Nak buat solat apa salahnya kalau mahal. Kasut awak boleh beli yang seratus lebih, buat letak kat kaki saja!” sinis nada Ikmal.

Kasut Alain Delon yang dipakai Qaseh memang berharga lebih dari RM150. Itupun setelah diskaun 20 peratus. Merayu-rayu dia pada babah untuk dibelikan kasut tersebut. Berkenan sangat-sangat katanya. “Saya memang nak beli tapi duit tak cukup,” jawab Qaseh.

“Nak pinjam duit saya?”

Terkejut Qaseh dengan pertanyaan Ikmal. Betulkah apa yang didengarnya? Senang-senang saja Ikmal mahu meminjamkan wang untuknya. “Pinjam?”

‘Siapa yang nak bayar nanti? Takkan nak minta lagi duit dari kakitangan pejabat.’ Duit kutipan cuma ada RM420 sahaja. Telekung yang paling murah pun RM450. Bolehlah dia keluarkan duit sendiri sebanyak RM30, tapi telekung tersebut nampak agak kasar buatannya dan tidak cantik.

“Nak tak?” soal Ikmal lagi bila Qaseh masih termangu-mangu sendiri.

“Nak pinjam, tak naklah. Tapi kalau Encik Ikmal nak bagi bolehlah.” Qaseh tersenyum. Hmm... apa salahnya buat kutipan dari Ikmal untuk emaknya! “Eh! Apa pandang saya macam tu? Ingat saya ni razor bladekah? Telekung ni bukan untuk saya. Kita orang nak hadiahkan pada emak Encik Ikmallah.”

“Awak nak beli telekung ni untuk mama saya?” Mengecil mata Ikmal memandang Qaseh.

“Kenapa? Tak sesuai ke?” soal Qaseh mula hilang semangat. Kalau Ikmal tak suka, nampaknya terpaksalah mereka tukar rancangan lagi.

“Hmm... tak. Okey juga. Lainlah sikit dari hadiah yang selalu dibeli. Berapa kutipan yang awak dapat?”

“420 ringgit saja. Saya berkenan yang ni. Cantikkan? Tapi, yang ni 550 ringgit selepas diskaun. Yang murah ni, tak cantiklah pulak.”

“Berapa tak cukup?” soal Hamdan mula berminat. ‘Hmm... Ini sudah bagus,’ detik Qaseh di dalam hati. “Lagi 130 ringgit. Encik Hamdan nak tambah contributionkah? Kalau Encik Hamdan tambah sikit, Encik Ikmal bagi sikit, cukuplah.” Senyum mula menguntum di bibir Qaseh. Hatinya sudah mula berbunga harapan. Hamdan sudah pun memberi sumbangan sebanyak empat puluh ringgit. Apa salahnya jika dia hendak menambah lagi.

“Eh… saya dah belilah hadiah untuk mama saya,” kata Ikmal.

“Alah, apa salahnya kalau donate sikit. Takkan nak beli yang tak cantik ni? Bolehlah Encik Ikmal. Bukan untuk orang lain, untuk mama Encik Ikmal juga, kan?”
Ikmal tersenyum. ‘Bukan main manja lagi dia ni memujuk,’ detik hatinya. ‘Huh! Kalau mak we aku macam ni, alamat cairlah jawabnya…’

“Okeylah, tak nak tak apalah. Jomlah balik. Dah lambat ni. Saya pun banyak kerja lagi kat pejabat,” rajuk Qaseh.

“Yalah... saya tambah.” Ikmal mengambil dompet dari koceknya. Dia mengeluarkan sekeping not RM50 dan menghulurnya kepada Qaseh.

Qaseh menyambut dengan senyum manis. “Terima kasih, Encik Ikmal. Encik Hamdan? Encik Hamdankan banyak duit, gaji besar. Bolehlah tambah…”

“Dah... dah!” potong Hamdan sebelum sempat Qaseh menghabiskan ayatnya untuk mengayat. “Tak payah nak pujuk saya macam awak pujuk Ikmal. Nanti saya berkenan dekat awak, susah saya. Awak bukannya nakkan saya pun.”

“Encik Hamdan ni ke situ pula!” Qaseh mula mencerut membuatkan Ikmal dan Hamdan ketawa mengekek melihat muncungnya yang mula panjang macam tikus kasturi nampak serangga.

“Berapa lagi tak cukup?” “Lagi 80 ringgit. Tak apa, Encik Hamdan bagilah berapa pun. Nanti bila Lydia balik, saya minta dari dia sikit. Kalau tak cukup juga, saya tambahlah duit sendiri.” Hamdan menyerahkan sekeping not RM50 kepada Qaseh.

“Semua?”

Hamdan mengangguk. Senyuman Qaseh kembali mekar. Maknanya jika Lydia memberikan sumbangan sebanyak RM20 dia hanya perlu tambah RM10 sahaja lagi. “Terima kasih Encik Ikmal, Encik Hamdan.”

Nampaknya, selesai sudah bab hadiah untuk Datin Rahimah. Dia hanya perlu uruskan pasal jamuan saja. Khemah dan makanan pun sudah ditempah. Hujung minggu hadapan, terpaksalah dia ke rumah Datuk Idris untuk pastikan semuanya berjalan seperti yang diinginkan.

Hadiah untuk cabutan bertuah pula sudah diserahkan untuk dikendalikan oleh bahagian pembelian dan Shamin. Dia juga sudah menyerahkan pada beberapa orang yang dilantiknya sebagai AJK untuk aturcara malam hari lahir itu. Harap-harap semuanya akan berjalan dengan lancar.


 

Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com/

Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  HP: 019-3310102

Buku Prima: 03-51013888


Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)

Laman web: http://www.bukuprima.com.my/

emel: prima@bukuprima.com.my


Laman web: http://www.alaf21.com.my/

http://www.facebook.com/bukuprima

http://www.facebook.com/Alaf21