JARI-JEMARI Datin Munira laju menyapu masker di pipinya yang halus dan licin. Matanya tepat memandang ke arah cermin solek. Biliknya yang luas dipenuhi perabot buatan Itali kelihatan begitu eksklusif.
Datin Munira dapat melihat suaminya dari pantulan cermin di hadapannya. Datuk Nordin sedang leka membaca buku setebal empat inci. Baru dua hari suaminya balik dari Jerman atas urusan bisnes. Datin Munira pun ikut sama. Banyak barang yang dibeli.
Maklumlah tak lama lagi Najla akan dipinang orang. Perancangan sudah ada. Cuma masa dan waktunya sahaja yang belum ditetapkan.
Datin Munira mengeluh berat apabila teringatkan tentang Najla. Najla bila diajak berbincang tentang hal itu, ada sahaja alasan yang diberi. Sampaikan Datin Munira naik bosan dan muak hendak bertanya. Najla seolah-olah menganggap perkara itu remeh dan tidak penting dalam hidupnya.
Setiap kali disoal, Najla pasti sudah bersedia dengan jawapan. Nantilah, belum bersedialah, belum puas bermanjalah, biar orang lain kahwin dululah dan macam-macam lagi alasan yang tidak masuk akal. Tapi yang paling menakutkan Datin Munira, Najla mengugutnya mahu lari jika dipaksa kahwin.
Datin Munira mengurut-urut dadanya. Rasa macam nak kena serangan jantung pun ada. Bila diadukan kepada suaminya, Datuk Nordin tenang sahaja. Malah Datin Munira pula yang diketawakan.
Datuk Nordin juga menganggap perkara itu remeh. Itu yang Datin Munira jengkel dengan sikap suaminya yang ambil sikap acuh tak acuh sahaja.
“Bang! Abang dengar tak? Saya sedang cakap dengan abang ni,” ujar Datin Munira memulakan bicara.
Penuh mukanya dengan masker yang berwarna putih, alat penjagaan kulit yang baru dibelinya dari Jerman.
“Abang dengar, cakap ajelah apa dia?”
Datuk Nordin masih leka membaca artikel tentang pembangunan di Negara Jerman. Suara Datin Munira macam dengar tak dengar sahaja di telinganya.
“Abang perasan tak, anak dara abang tu dah banyak berubah. Pagi keluar kerja, malam baru balik. Habis tu memerap di dalam bilik tak keluar-keluar. Saya risaulah bang, cuba abang risik-risik apa kenanya dengan anak dara abang tu?”
Datin Munira beralih duduk pula di sisi suaminya.
“Apa yang nak dirisaukan. Dah memang dia macam tu sebelum ini. Pagi keluar kerja, malam baru balik. Bukannya tak balik,” jawab Datuk Nordin, acuh tak acuh sahaja.
“Hisy abang ni! Saya cakap serius tau! Abang main-main pulak. Menyampahlah saya nak cakap dengan abang.”
Datin Munira seakan-akan merajuk. Panjang muncungnya. Retak masker yang hampir mengeras di permukaan mukanya.
“Abang seriuslah ni. Dulu Naj nak jadi penyanyi, awak tak suka. Tak ada class konon. Nak anak dara awak jadi arkitek berjaya. Hah! Dah betullah tu sekarang. Apa lagi yang awak nak? Dulu abang nak anak satu lagi untuk jadikan kawan Naj, awak tak nak!” sindir Datuk Nordin, tersengih macam kerang busuk.
“Menyampah cakap dengan abang! Tengok tv lagi bagus!” rungut Datin Munira.
Remote controltelevisyen ditekan. Siaran Astro di kaca televisyen seluas 34 inci menyiarkan Rancangan Casa Impian. Datin Munira memang minat dengan seni hiasan dalaman. Terlupa seketika topik yang baru dibincangkan sekejap tadi.
“Naj tu tengah sibuk menyiapkan satu projek di Marang. Sebab itulah dia memerap di bilik. Budak tu penat agaknya. Projek itu kan dah 80% hampir siap.”
Datuk Nordin memujuk isterinya yang membisu tiba-tiba. Merajuklah tu. Sama macam anak daranya yang satu itu.
“Bukan pasal itu bang, kalau pasal sibuk kerja saya tak kisah. Tapi semenjak kebelakangan ini, Naj asyik termenung. Kalau duduk di luar taman pun, asyik dengan handsetnya 24 jam. Dengan siapa dia berbual pun saya tak tahu. Sampaikan tengah-tengah malam buta.
Kadang-kadang tu bibik cakap, sampai pukul dua tiga pagi. Macam orang tengah bercinta aje. Kalau bercinta, dengan siapa? Itulah yang merunsingkan saya bang,” jelas Datin Munira mula rancak bercerita. Rancangan Casa Impian di kaca televisyen tidak lagi menarik perhatiannya.
“Abang pun perasan. Bila tiba aje waktu lunch, dia hilang. Makan dengan siapa pun, abang tak tahu. Man sudah beberapa kali datang ke pejabat nak ajak kami bertiga makan. Mulanya dalam telefon Naj kata okey. Tapi bila tiba masa, dia dah lesap entah ke mana. Bila abang tanya Maznah, dia kata Naj keluar dengan klien. Abang pun musykil jugak.”
Datuk Nordin menutup buku yang dibacanya. Artikel yang dibacanya sudah tidak menarik perhatiannya lagi. Datin Munira beralih tempat duduk lagi. Dia kini duduk di kerusi ukiran Cleopatra, terperosok sedikit kerana menampung tubuh badannya yang tinggi lampai persis tubuh Najla anak daranya itu.
Sememangnya Datin Munira berdarah Arab. Arwah bapanya keturunan Arab dan ibunya, Melayu asli. Memang cantik dan ayu hasil dari perkahwinan campur itu. Datuk Nordin pula beralih tempat, mencari posisi yang lebih selesa dan santai.
“Kalau betul dia berbual berjam-jam dalam telefon, dengan siapa dia cakap? Eh bang, jangan dianggap remeh. Hasrat saya nak satukan Naj dengan Man, jangan tidak-tidak. Saya tak rela dan tak restu kalau Naj ada pilihan lain. Man tu baik dan berbudi bahasa orangnya. Anak adik saya pulak tu.”
Datin Munira memuji-muji nama anak lelaki tunggal adiknya. Datuk Nordin mengangguk-angguk. Bersetuju dengan kata-kata isterinya itu. Lama Datuk Nordin berfikir dengan siapa gerangan Najla berbual dan apa perkara penting yang dibincangkan sehingga berjam-jam lamanya.
“Oh ya bang, baru saya teringat. Sudah dua hari Naj tak drive kereta sendiri. Dia pergi pejabat naik cab! Kenapa ya?” ucap Datin Munira, baru teringat akan perubahan ketara anak daranya itu.
“Cab? Hmm... mungkin malas nak drive, jalan jam,” jawab Datuk Nordin cuba menyedapkan hatinya.
“Jamapanya bang? Kalau dah keluar awal pagi. Lepas tu mengelak nak jumpa dengan saya, apa lagi dengan awak. Itu pun pasal terpaksa bekerja satu pejabat. Kalau tak, satu hari bayangnya pun susah nak nampak,” sambung Datin Munira bertambah runsing. Semakin difikirkan, semakin pening kepalanya.
“Dahlah, jangan difikir-fikirkan sangat. Nanti saya suruh Selamat ikut ke mana Naj pergi dan selidik dengan siapa dia cakap berjam-jam. Marilah kita tidur. Esok kita nak ke Johor Bahru. Awak dah lupa ke saya ada meeting dengan Menteri Besar Johor, berkenaan tapak muzium yang bakal dibina tu,” ujar Datuk Nordin mengingatkan Datin Munira.
Datuk Nordin terus meluruskan badannya sehingga berderap-derup bunyi tulangnya. Penat baru balik dari Jerman belum hilang, kini ditambah satu lagi masalah baru.
Benarlah kata pepatah Melayu, menjaga anak perempuan seorang, lebih payah dari menjaga lembu sekandang, getus hati Datuk Nordin.
Datuk Nordin terus memejamkan mata namun tidak boleh lelap. Begitu juga dengan Datin Munira. Matanya terkebil-kebil memandang siling berukir namun fikirannya kosong.
“Awak masih belum tidur lagi?” Suara Datuk Nordin serak menegur.
Lampu tidur di sisi katil dipetik. Terang sedikit bilik itu dengan cahaya yang samar-samar. Begitu romantis sekali. Datuk Nordin memisat-misat matanya yang silau terkena cahaya lampu.
“Saya tak boleh tidurlah bang. Kepala saya pening memikirkan hal Naj. Apa kata kita kahwinkan Naj dengan Man secepat mungkin. Sebelum apa-apa terjadi, lebih baik kita satukan mereka berdua,” usul Datin Munira dengan nada ceria. Gembira dengan cadangannya sendiri.
Datuk Nordin terdiam sejenak memikirkan cadangan Datin Munira. Ada benarnya juga kata-kata isterinya itu. Kahwinkan segera, habis cerita.
Datuk Nordin tersenyum sumbing tetapi hanya sesaat sahaja senyuman itu hinggap di bibirnya yang berkumis tebal.
“Ira, awak punya cadangan memang abang setuju tapi Naj is no more our little Naj! Dia dah dewasa dan matang. Dia tegas dan ada pendiriannya sendiri. Dia bukan macam anak orang lain yang senang menurut kata. Naj is different! She is different!” ujar Datuk Nordin mengulangi perkataan itu berulang kali. Seperti memberitahu dan mengingatkan Datuk Nordin tentang perangai anak perempuannya yang satu itu.
Datin Munira mengeluh berat. Hampa dan putus asa dengan kebenaran kata-kata suaminya. Mereka berpandangan. Masing-masing menunjukkan wajah yang bimbang dan takut dengan situasi yang bakal mereka tempuhi.
Walau apapun, Bahtera Indah dan Gemilang Holding mesti disatukan agar perniagaan yang kukuh itu tidak jatuh ke tangan orang lain.
Datin Munira mengetap bibir. Biar apapun nak jadi, jadilah. Najla anak perempuan tunggalnya. Sejak kecil Najla dimanja dan dijaga dengan baik olehnya. Najla anak yang sentiasa patuh dengan arahan kedua-dua orang tuanya. Mustahil Najla akan menghampakan harapan mereka.
Datin Munira cuba menenteramkan jiwanya yang tidak pasti apakah kesudahannya nanti. Sama ada Najla setuju atau tak, pernikahan Najla dengan Herman mesti diteruskan. Ini amanah arwah ayahnya sebelum dia meninggal dunia.
Wasiat arwah ayah yang mahukan kedua-dua syarikat yang dikemudikan anak-anaknya, akan turun-temurun sehingga ke cucu cicitnya nanti. Biar tidak berkembang saudara, janji harta pusaka yang beratus ribu ekar dan juga wang berjuta-juta ringgit dibahagi kepada anak-anak dan juga keturunannya sahaja.
Jodoh Datin Munira atas pilihan arwah ayahnya juga. Datuk Nordin bukan dari darah keturunannya, tetapi oleh kerana Datuk Nordin mewarisi kekayaan dari nenek moyangnya, maka Datin Munira dijodohkan.
Datuk Nordin adalah anak tunggal kepada Datuk Helmi seorang usahawan yang mempunyai syarikat perkapalan yang terkemuka di Malaysia dan Indonesia. Sebab itulah, Datin Munira seorang sahaja yang berkahwin bukan dengan keturunannya sendiri. Tetapi adik perempuannya Datin Melisa berkahwin dengan sepupu sebelah ibunya. Boleh dikatakan semua keturunan Tan Sri Syed Hamizi berkahwin dengan sepupu-sepapatnya sahaja.
Datin Munira melepaskan keluhan. Kenapalah semua ini harus terjadi di dalam keluarganya. Perkara yang amat ditakuti selama ini timbul juga akhirnya. Datin Munira tidak kisah dengan siapa Najla ingin berkawan tetapi jodoh Najla biarlah dengan Herman.
Datin Munira takut Najla termakan sumpahan seperti arwah adik bongsunya yang meninggal kerana keretanya berlanggar dengan lori tangki minyak.
Teringatkan tragedi yang menimpa arwah adiknya Mariam, Datin Munira jadi gerun. Takut Najla termakan sumpahan arwah datuknya.
Mariam adik bongsunya, anak kesayangan arwah ayah. Apa sahaja yang dipinta Mariam akan ayah tunaikan. Sehinggalah suatu hari Mariam menolak pinangan anak Mama Uda, iaitu adik kepada arwah ayah.
Mariam menolak dengan alasan dia mahu berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya, bukan diatur oleh ayah. Kuno dan kolot kata Mariam. Mariam telah jatuh cinta dengan seorang lelaki biasa, tidak mempunyai tanah beratus ekar atau duit berjuta, tetapi baik hati dan jujur orangnya.
Mariam bosan hidup kalau jodohnya diaturkan oleh ayah. Mariam memang lain perangainya jika dibandingkan dengan kakaknya, Munira dan Melisa. Mariam berani dan tegas orangnya, tidak suka dikongkong dan ditegur oleh sesiapa. Ayah berang dan marah benar dengan keputusan anak kesayangannya yang mahu bernikah dengan lelaki pilihan hatinya.
Ayah tidak akan maafkan Mariam dan menganggap Mariam bukan lagi darah daging sekiranya Mariam tetap berdegil. Namun Mariam nekad. Dia tetap dengan keputusannya.
Sebelum Mariam keluar dari rumah banglo yang tersergam indah itu, ayah sempat bersuara.
“Sharifah Mariam dengar sini baik-baik! Jika kau mahu kahwin jugak dengan lelaki keparat itu, nasib kau akan malang. Aku sumpah, kau akan ditimpa musibah. Kau anak derhaka! Kau takkan hidup bahagia sampai bila-bila!”
Ibu yang mendengar ayah menyumpah Mariam terjelepok di atas lantai sambil meraung menangis. Munira dan Melisa hanya mampu menenangkan ibu. Tidak berani masuk campur, takut diri mereka pula yang akan disumpah ayah. Mariam dengan sombong dan angkuh melangkah pergi tanpa menoleh ke arah ibu yang asyik menjerit memanggil namanya.
Ibu, Munira dan Melisa takut dengan sumpahan ayah yang serius itu. Doa mereka janganlah ada perkara buruk menimpa adik bongsu mereka.
Waktu itu Munira baru sahaja ditunangkan dengan Nordin, tidak lama selepas itu Melisa pula bertunang. Hajat ayah, mahu ketiga-tiga anak perempuannya dinikahkan sekali gus. Tetapi Mariam pula yang degil. Tidak mahu ditunangkan dengan sepupu sendiri.
Keadaan di rumah banglo atas bukit itu sungguh sunyi dan hening sekali. Semua penghuni di dalam rumah itu berwajah murung. Sesekali terdengar esakan yang sungguh menyayat hati.
* Bahagian susulan pada Ahad ini, 22 April ini
Untuk Urusan Langganan, layari: mall.karangkraf.com. Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483 HP: 019-3310102
Buku Prima: 03-51013888 / www.facebook.com/buku prima / www.bukuprima.com.my / emel: prima@bukuprima.com.my





