• Muka Depan Novel Oh, Mama Tiriku! Oleh Herna Diana Muka Depan Novel Oh, Mama Tiriku! Oleh Herna Diana
1 /

ABANG janji dengan Su ya? Walaupun Su dah tak ada nanti, abang akan tetap hidup bahagia dengan anak-anak,” pinta Suhaila. Lemah suaranya.

Sejak disahkan menghidap kanser pangkal rahim, keadaannya semakin teruk. Kuasa ALLAH siapalah yang dapat menghalang. Walaupun dia seorang yang amat mementingkan penjagaan kesihatan diri, ketentuan ILAHI tidak dapat dihindari. Bertambah malang, penyakitnya dikesan lewat.

Kansernya sudah berada pada tahap serius. Demi tidak mahu melihat suaminya lemah, Suhaila tabah menghadapi saat-saat sukar dalam hidupnya. Dikuatkan semangat untuk hidup gembira seperti orang lain. Dia mahu menikmati sisa saat-saat yang ada bersama suami dan anak-anaknya.

“Apa ertinya bahagia abang tanpa Su?” lirih Dr. Razif bersuara. Ternyata dia masih belum dapat menerima kenyataan. Dia tidak sanggup kehilangan Suhaila. Suhaila terlalu bererti dalam hidupnya.

“Abang,” seru Suhaila lembut sambil mengusap-usap pipi Dr. Razif.

Dr. Razif pantas menggenggam erat tangan isteri kesayangannya. Dikucup lembut tangan itu. Wajah Suhaila ditatap penuh kasih. Tiga tahun usia perkahwinan mereka, kasihnya pada Suhaila tidak pernah surut.

Malah makin mendalam. Ditambah lagi dengan kehadiran Rayyan dan Ain dalam hidup mereka. Namun, berita tentang penyakit Suhaila datang tanpa diduga. Tanpa sebarang isyarat. Dia tidak bersedia untuk berhadapan dengan semua ini.

“Abang,” panggil Suhaila lagi. “Ya, sayang.” “Abang janji dengan Su ya?” pinta Suhaila lagi. “Kita jangan cakap pasal ni ya?” Dr. Razif cuba mematikan cerita.

“Abang...” “Su takkan apa-apa. Su akan sembuh.” Dr. Razif cuba meyakinkan Suhaila.

Suhaila tersenyum tawar mendengar kata-kata suaminya. Dia tahu Dr. Razif cuba untuk menafikan keadaan. Sedangkan hakikat sebenarnya, mereka sama-sama tahu. “Abang tahu kan betapa Su cinta dan sayangkan abang?” tanya Suhaila lembut.

Dr. Razif mengangguk perlahan. Suhaila tersenyum lagi. “Sebab tu Su nak abang hidup bahagia.”

“Su adalah kebahagiaan abang,” sanggah Dr. Razif lagi. “Demi anak-anak, abang kena kuat.” Lembut Suhaila memujuk. Kali ini Dr. Razif hanya mendiamkan diri, tidak mahu bertingkah dengan isterinya lagi.

“Zif!” Sapaan Dr. Imran di muka pintu bilik mengejutkan Dr. Razif daripada lamunan kenangannya. “Jauh menung nampak,” usiknya.

Dr. Razif tersenyum dengan usikan temannya. “Mana ada,” dalihnya. “Yalah tu. Dah berapa lama aku berdiri kat pintu tu. Kau tak sedar pun.” Dr. Imran menyakat lagi.

“Eh, ya ke?” Dr. Imran tersengih. “Tipu aje.”

“Kau ni, Im. Suka sangat kenakan aku,” ujar Dr. Razif sambil berdecit geram.

Dr. Imran masih tersengih. “Sudah-sudahlah tu, Zif.” Berkerut dahi Dr. Razif apabila mendengar kata-kata Dr. Imran itu. “Apa yang sudah?” Dia tidak mengerti.

“Termenung kau tulah. Jangan terlampau hanyut dalam kenangan. Yang dah pergi, kau redhakan. Hidup kau perlu diteruskan.”

Dr. Razif melepaskan keluhan. “Kau tak faham, Im.” “Apa yang aku tak faham? Come onlah, Zif. Kita bukan baru sehari dua kenal. Sejak dari universiti lagi. Aku melihat setiap laluan kisah hidup kau,” sanggah Dr. Imran.

“Zif, fikirkan anak-anak kau tu. Mereka amanah yang tak ternilai, yang arwah tinggalkan pada kau.” Dia menyambung bicara setelah Dr. Razif hanya mendiamkan diri. “Aku tahu. Aku memang sayangkan anak-anak aku.”

“Aku tak kata kau tak sayang mereka. Tapi untuk lupakan kesedihan kau, kau sibukkan diri dengan kerja. Dan kau tak sedar, perbuatan kau ni menyebabkan anak-anak kau terabai.” Dr. Imran terus berleter.

“Mana ada aku abaikan mereka,” tukas Dr. Razif pantas. “Dari segi keperluan luaran mungkin kau tak abaikan mereka. Tapi bagaimana dengan keperluan dalaman mereka?

Mereka perlukan perhatian dan kasih sayang daripada kau.” Wah, macam kaunselor saja Dr. Imran ni! Dr. Razif termenung seketika. “Entahlah, Im. Kau pun tahu kan betapa aku menyayangi Su.” Sebuah keluhan dilepaskannya. “Sehingga ke hari ini, aku merasakan Su masih ada di sisi aku. Bayangnya ada di mana-mana, Im.”

Ya. Itulah yang dirasakannya sehingga kini. Suhaila tetap hidup dalam jiwanya. Cintanya pada Suhaila tidak pernah padam. Tiada siapa yang mengerti betapa dia merindui isterinya. Bukan dia tak sayangkan Rayyan dan Ain. Anak-anaknya itu terlalu berharga baginya. Tanda cinta antara dia dan Suhaila.

Namun, menyibukkan diri dengan kerja sahaja yang mampu membuatkan dia tidak terlalu melayan kesedihan hati. Raut wajah Ain yang banyak mengikut Suhaila, membuatkan kerinduan terhadap arwah semakin menebal. Bila si kecil itu tidak penah letih bertanya itu dan ini tentang mamanya, dia kadangkala hilang punca mahu menjawab.

Rayyan pula, dia sedar anak bujangnya itu gemar menunjukkan protes. Pemergiaan Suhaila mengubah perwatakan Rayyan yang dahulu cukup manja. Pening kepalanya menghadapi kerenah anak-anaknya.

‘Sukarnya hidup abang tanpa Su.’ Hati kecilnya berbisik sendu.

“Kau tak boleh berterusan macam ni, Zif. Macam yang aku kata tadi... yang pergi tetap pergi. Kau kena redha. Teruskan hidup kau dengan anak-anak dengan baik. Arwah Su pun tentu tak gembira tengok kau macam ni.” Suara Dr. Imran memecah lamunan Dr. Razif.

“Insya-ALLAH, Im. Aku cuba,” ujar Dr. Razif lemah. “Kau carilah pengganti, Zif,” cadang Dr. Imran. Dr. Razif tergelak mendengar kata-kata sahabatnya itu.

Berkerut dahi Dr. Imran dengan reaksi yang ditunjukkan Dr. Razif. “Apasal kau gelak?”

“Kau ni suka buat lawaklah, Im,” jawab Dr. Razif. Masih bersisa ketawanya. “Aku cakap betul-betul, kau kata aku buat lawak pulak,” dengus Dr. Imran. Sedikit geram dengan temannya itu. “Memang lawak pun.”

Dr. Imran menjuihkan bibirnya. Seketika kemudian dia bersuara lagi. “Kau nak aku tolong adjust untuk kau ke?” Ketawa Dr. Razif kembali memecahkan suasana bilik itu. Kali ini lebih kuat lagi. Hingga terhinggut-hinggut badannya.

“Eii... kau ni! Aku tanya betul-betullah,” marah Dr. Imran.

“Sejak bila kau jadi matchmaker ni?” soal Dr. Razif bersama tawanya. “Tak adalah. Aku ni cuma nak kau hidup gembira macam dulu. Anak-anak kau pun perlukan kasih sayang seorang ibu,” jelas Dr. Imran.

“Aku tak pernah fikir semua tu, Im. Lagipun, Iman ada untuk menjaga mereka.”

“Mana sama, Zif. Dia orang masih kecil. Dah tentu mahukan seseorang yang boleh dipanggil mama,” tukas Dr. Imran pula. “Tak ada dalam perancangan aku, Im. Malas nak fikir!” “Zif...”

“Kau kata tadi nak balik kan? Yang menyemak kat sini lagi buat apa? Pergilah balik.” Dr. Razif terus memotong bicara temannya. Dia tidak berminat untuk meneruskan topik itu.

“Halau aku nampak?” Dr. Razif tersengih. “Kau yang kata ada hal.” “Yalah... yalah... aku balik. Tapi fikirkan apa yang aku cakap tadi tu.” Dr. Imran sempat berpesan sebelum menghilangkan diri di balik pintu.

Dr. Razif melepaskan keluhan berat sebaik sahaja Dr. Imran keluar. Tubuhnya disandar ke belakang kerusi.

‘Cari pengganti?’ Hatinya menyoal. “Tak mungkin.” Dia menjawab sendiri. Fikirannya beralih kepada Rayyan dan Ain. Dia sedar, anak-anaknya itu dahagakan belaian kasih seorang ibu.

Namun, haruskah itu dijadikan alasan untuk dia mencari wanita lain? Hatinya masih untuk Suhaila. Kasihnya masih pada Suhaila. Sayangnya hanya untuk Suhaila. Cintanya tetap utuh untuk Suhaila. Hanya Suhaila! Sebuah keluhan dilepaskan lagi.

 

Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com/

Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  HP: 019-3310102

Buku Prima: 03-51013888


Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)

Laman web: http://www.bukuprima.com.my/

emel: prima@bukuprima.com.my


Laman web: http://www.alaf21.com.my/

http://www.facebook.com/bukuprima

http://www.facebook.com/Alaf21