• Muka Depan Novel Oh, Mama Tiriku! Oleh Herna Diana Muka Depan Novel Oh, Mama Tiriku! Oleh Herna Diana
1 /

MENDENGAR riuh ketawa suara si suami bersama anak-anak, menarik perhatian Iman untuk menjengah ke luar rumah. Tersungging senyuman di bibirnya tatkala melihat gelagat insan-insan tersayang.

Marahnya sebentar tadi sudah terusir jauh. Sungguh, melihat tawa Arie dan anak-anak, mengundang bahagia yang tidak sedikit di hatinya.

Seketika, dia berdoa di dalam hati. Mengucap syukur pada ILAHI atas kurniaan yang diberi. Memohon agar kebahagiaan mereka sekeluarga sentiasa memekar subur.

Dalam ralit melayan perasaan bahagia yang bertandang, Ain yang sudah berdiri tegak di hadapannya langsung tidak disedari. Lamunannya terhenti apabila terasa tangannya ditarik. Pandangannya jatuh ke bawah sedikit. Ain dilihat sedang tersengih comel.

“Mak su, jom...” ajak Ain penuh manja.

Iman mengusap kepala Ain seraya tersenyum. “Nak pergi mana, sayang?” “Cuci kereta.”

Wajah comel Ain yang bertocang dua dipandang sayang. Sememangnya perwatakan manja Ain bisa mengundang kasih orang kepadanya. Dia cukup mudah mesra dan pandai mengambil hati.

‘Macam mak su jugak.’ Iman sempat memuji diri dalam diam. Ceh!

“Mak su, cepatlah,” rengek Ain sambil menarik-narik tangan Iman. Iman tersenyum lagi.

“Ibu, sinilah!” jerit Izzati sambil melambai-lambaikan tangan. Terloncat-loncat dia. Iman terus mencapai tangan Ain, lalu berhati-hati melangkah ke arah mereka. Arie tersenyum melihat Iman yang sedang merapati mereka.

“Tak habis-habis lagi ke cuci, bang? Dah berkilat dah tu. Boleh buat cermin dah hah,” sindir Iman sambil tersengih. “Mana boleh berhenti. Penyudahnya belum buat lagi,” balas Arie turut tersengih nakal.

Berkerut dahi Iman mendengar kata-kata Arie. Cuba memikirkan apa maksud kata-kata suaminya itu. ‘Dahlah sengih semacam aje. Buat orang cuak betul,’ fikirnya.

“Penyudah apa?” Lurus Iman bertanya. Makin melebar sengihan nakal Arie. Pertanyaan Iman tidak dijawab, sebaliknya dia kembali berpusing menghadap kereta. Semakin pelik Iman dibuatnya.

“Abang, Iman tanya ni,” desak Iman, tidak puas hati apabila pertanyaannya tidak diendahkan. Iman cuba mengintai-intai wajah Arie yang sedang membelakanginya. Ingin tahu apa yang dibuat oleh suaminya itu sampai pertanyaannya dibiar berlalu begitu sahaja.

Sebaik sahaja wajahnya terjengul melepasi bahu Arie, terasa pipinya dicalit sesuatu. Sabun! Iman terkedu. Seketika dia mematungkan diri.

Rasa terperanjat hanya terhenti apabila telinganya menangkap suara Arie dan anak-anak mereka ketawa. Iman pantas mencerunkan pandangan ke arah mereka. Geram hatinya tidak terkata kerana telah dikenakan oleh suami dan anak-anaknya.

“Abang kenakan Iman ya?” ujar Iman penuh geram. “Mana ada abang kenakan Iman,” dalih Arie. “Kalau tak kenakan Iman, sabun ni apa?” “La... dah Iman suruh abang siapkan cuci kereta ni, abang nak sudahkanlah,” balas Arie bersahaja. Wajah isterinya yang penuh dengan sabun, direnung mesra.

Iman mendengus geram. “Habis muka Iman penuh sabun. Abang ingat Iman ni kereta abang ke? Abang ni sengaja aje tau. Memang nak kena dengan Iman ni.” Iman membebel tanpa henti.

Makin galak ketawa Arie. Anak-anak sudah tersengih melihat gelagat si ibu dan ayah. Macam budak-budak! Geram kerana Arie makin rancak ketawakan dirinya, tangan Iman pantas mencapai paip getah di atas rumput. Arie yang tidak bersedia, akhirnya basah kuyup disembur Iman.

Bibir Iman tersungging nakal. Seronok dapat mengenakan Arie kembali. Ketawa mengekek Izzati, Insyirah, Rayyan dan Ain. Siap terloncat-loncat bertepuk tangan lagi. “Uish... apa Iman ni. Main kasar nampak?”

“Siapa yang main kasar dengan siapa? Abang berani cuba dengan Iman brutal yang comel ni. Rasakan akibatnya.” Angkuh Iman berkata. Bibirnya tersengih kemenangan. Tak padan dengan tengah boyot. Nak juga melawan suami tu!

“Nak cuba lagi?” Nakal Iman bertanya kepada Arie sambil mengangkat-angkat keningnya. Tangannya cuba mengacah-acah paip air ke arah Arie.

Belum sempat Arie menjawab, Rayyan terlebih dahulu mencelah. “Iman brutal yang comel tu siapa?” Iman terkedu.

Arie tersengih. Kali ini, giliran dia pula mengangkatangkat kening kepada Iman. Seronok juga ada anak lelaki ni rupanya. Boleh buat ‘team’.

“Rayyan agak-agak siapa?” Arie bertanya kepada Rayyan. Rayyan termenung berfikir seketika. Siap menguruturut dagu lagi. Wah! Macam bagus aje budak kecil ni. Muka serius habis, macam tengah fikir masalah negara.

“Iman tu macam nama mak su. Tapi takkan mak su kot,” ujar Rayyan ragu-ragu.

“Apasal bukan mak su pulak?” Iman bertanya. Rayyan berjeda seketika. Ditenung wajah ibu saudaranya. “Tak mungkin, tak mungkin.” Dia menggeleng-geleng. Arie tergelak-gelak. Lucu pula melihat gelagat Rayyan.

“Kalau brutal tu betullah. Kalau comel tak mungkin. Sebab mak su garang macam singa.” Selamba Rayyan menuturkan pendapatnya.

Kali ini ketawa Arie sudah tidak tertahan lagi. Berderai kuat mendengar jawapan daripada si comel itu. Iman pula sudah kembang kempis hidungnya. Lebih menyakitkan hati, anak-anaknya yang lain turut terkekeh mentertawakannya.

Hanya Rayyan masih buat muka tak bersalah. Iman cuba menahan geram di dalam hati, namun tidak berjaya. Akhirnya, paip di tangan dihalakan ke arah hamba-hamba ALLAH itu. Sekelip mata, habis basah kuyup semuanya. Dia tersenyum puas.

“Ni tak boleh jadi ni!” ujar Arie. “Kita serang!” Dan pagi yang cerah itu, suasana halaman rumah itu menjadi riuh-rendah dengan jeritan dan ketawa gembira sebuah keluarga bahagia.


 

Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com

Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  HP: 019-3310102

Buku Prima: 03-51013888


Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)

Laman web: http://www.bukuprima.com.my/

emel: prima@bukuprima.com.my


Laman web: http://www.alaf21.com.my/

http://www.facebook.com/bukuprima

http://www.facebook.com/Alaf21