Muka kulit novel Kerana Sebiji Epal
NAJLA menggeliat. Namun matanya masih terpejam rapat. Kepalanya terasa pening dan berdenyut-denyut. Tangannya segera meraba-raba bantal sebelah. Kosong!
Najla terus membuka mata. Mulutnya luas menguap. Di mana Khairy? Bukankah semalam Khairy membelai dia sehingga terlena?
Najla bingkas bangun dan menyandar tubuhnya di kepala katil. Besar dan luas bilik itu. Bau haruman potpuri di sudut bilik menyerbak ke rongga hidungnya.
Najla tersenyum. Senang dan bahagia dengan kehidupan barunya. Tiada lagi arahan ataupun protokol yang harus dituruti. Kini Najla hidup hanya untuk Khairy.
Minum pagi dengan Khairy, minum petang dengan Khairy, makan malam dengan Khairy, menonton televisyen dengan Khairy, ke tepi pantai dengan Khairy, membeli-belah dengan Khairy dan segala-galanya kini hanya dengan Khairy.
Tiada orang yang akan mengganggu kehidupannya. Tiada siapa lagi yang bisa menegah dan melarang. Najla bebas berbuat apa sahaja. Setiap saat dan detik, hidupnya hanya bersama Khairy yang baru seminggu bergelar suaminya.
Najla bangga dan bahagia mempunyai suami yang penyayang dan bertanggungjawab seperti Khairy. Kehidupan Khairy ringkas tidak ada siapa pun yang bisa memisahkan mereka.
Setiap hari, Khairy akan bersama dengannya. Kalau Khairy ada urusan pun Najla akan dibawanya bersama. Kerjanya senang sahaja. Jumpa orang, ambil duit dan pergi. Najla berasa hairan. Khairy bisnes apa. Berat pula mulut mahu bertanya.
Yang penting Najla cukup makan dan pakai. Duit di dalam simpanannya pun banyak. Tidak pernah sekali digunakan.
Tuduhan Bibik Aton yang dia tidak akan bahagia dan senang hidup bersama Khairy salah sama sekali. Khairy tidak pernah bertanya atau mengambil duit simpanannya yang berkepuk-kepuk di dalam akaun banknya.
Duit itu pemberian Datuk Nordin dan Datin Munira. Simpanannya sejak kecil lagi ditambah pula dengan wang gajinya semasa bekerja di Bahtera Indah dan Najla Apprel, syarikat hiasan dalamannya yang entah siapa agaknya yang menggantikan tempatnya.
Najla tidak mahu ambil tahu lagi tentang itu semua. Khairy lebih penting dari segala-galanya. Najla bukan jenis yang suka enjoy dan boros. Apa yang ada di hadapan mata, sudah cukup dan memadai.
Najla menggeliat lagi. Remote televisyen dicapai dan ditekan. Matanya terarah ke kaca televiyen. Tetapi tumpuannya kepada Khairy yang sejak tadi tidak muncul-muncul di muka pintu, seperti selalu. Setiap pagi, Khairy pasti akan menatang sedulang penuh berisi roti bakar dan susu suam. Khairy tahu apa yang Najla suka dan gemar.
Najla menutup televisyen dan bangun menuju ke bilik air. Mahu mandi dan turun ke tingkat bawah. Mahu lihat kalau-kalau Khairy ada di dapur sedang menyediakan sarapan untuknya. Najla bernyanyi kecil. Riang dan bahagia sungguh hatinya.
Seketika itu, Khairy muncul. Terdengar suara Najla di bilik air. Sedang mandi rupanya. Khairy tersengih. Kemudian bergegas turun ke bawah. Baru sebentar tadi Abu telefon agar segera ke Ulu Tiram. Ada lubang baik katanya. Abu juga pesan agar jangan bawa Najla bersama, ada deal besar!
Khairy melangkah masuk ke kereta Mercedesnya. Lantas enjin dihidupkan. Tergesa-gesa dia menekan punat pintu pagar automatik. Pintu pagar terbuka luas. Tanpa berlengah lagi, Khairy memecut keretanya sebelum Najla merengek mahu ikut.
Najla menutup tombol shower tiba-tiba. Air pancuran berhenti. Matanya terkebil-kebil menahan pedih sabun. Kalau tak silap dengar, itu bunyi deruman enjin kereta Khairy.
Khairy keluar ke? Kenapa tak beritahu dia? Najla kehairanan. Mungkin keluar membeli sarapan agaknya. Najla menyambung mandiannya yang terhenti tadi. Sisa-sisa sabun yang melekat di kelopak mata dibersih.
Perut pun dah berbunyi-bunyi minta diisi. Entah kenapa sejak dua tiga hari kebelakangan ini selera Najla semakin menjadi-jadi.
Setelah siap berpakaian, Najla mencari suaminya di sekeliling rumah namun tak ada. Lantas dia mencapai telefon bimbitnya dan menekan nombor Khairy.
“Helo! Sayang kat mana?” rengek Najla manja.
“Cepatlah balik! Naj lapar! Nak makan tak ada apa di dapur tu,” rengek Najla lagi.
Najla kemudian melangkah ke sofa fabrik warna biru tua. Agak keras sedikit tetapi buatannya kemas. Majalah NUR di atas meja dicapai dan diselak satu per satu tetapi tiada satu pun yang menarik minatnya untuk membaca apa yang tertera di dalamnya.
Ring! Ring!
Najla tersentak. Bingkas bangun dan mencapai gagang telefon warna biru tua. Gagang telefon itu dilekapkan di telinga. Lama Najla diam. Seolah-olah takut dengan sesuatu.
“Helo... helo... Abang Khai! Lina tahu abang ada kat sana. Kenapa abang dah lama tak call Lina? Lina rindulah bang! Kenapa ni? Merajuk?” Suara manja seorang perempuan merengek-rengek seperti perempuan gatal.
Mulut Najla terlopong. Siapa perempuan gatal yang merengek-rengek menyebut nama suaminya itu. Darah panas menyirap di wajah Najla. Geram dan iri dengan rengekan manja perempuan itu.
Najla mengetap giginya sehingga berkeriut bunyinya. Gagang telefon dihempas sekuat hati. Kurang asam! Betina gatal mana pula yang mahu mengganggu rumah tangganya yang baru berusia seminggu.
Najla kemudian menghempaskan dirinya di atas sofa. Majalah di atas meja dilemparkan ke dinding. Geram!
Lantas telefon bimbit dicapai dengan kasar. Punat telefon ditekan dengan pantas dengan dada yang berdegup kencang. Najla mahukan kepastian dari Khairy, siapa betina gatal yang bernama Lina yang merengek menelefonnya tadi.
Lama Najla menunggu di talian. Namun tiada jawapan dari Khairy. Dia berada di luar kawasan dan tidak dapat dihubungi. Najla mencuba lagi dan lagi.
Hampa! Dilemparkan telefon bimbitnya di hujung sofa. Nasib baik tidak terburai isinya. Najla berlari naik ke tingkat atas melepaskan geram.
Disembamkan mukanya di atas cadar beropol warna biru laut. Najla menangis sepuas-puas hatinya. Najla tidak sangka Khairy sanggup menduakannya. Setelah apa yang Najla lakukan demi kasih dan cintanya, Khairy curang di belakangnya.
TUK! Tuk! Tuk!
Najla mengalihkan pandangan ke daun pintu.
Benci! Najla tahu Khairy yang mengetuk pintu itu. Najla menutup telinganya dengan bantal.
“Sayang... bukaklah pintu ni. Abang balik ni,” rayu Khairy di balik pintu.
Khairy tahu Najla merajuk kerana tidak membawanya bersama.
“Sayang kata lapar kan. Jom kita tengok wayang?” rayu Khairy lagi.
Pintu masih belum dibuka. Khairy mengetap giginya. Hilang sabar dengan perangai Najla seperti anak kecil yang suka merajuk.
“Sayang, bukalah pintu ni. Abang ada sesuatu nak beritahu sayang.” Suara Khairy keras sedikit tidak selembut mula-mula tadi.
Pintu dibuka. Wajah Najla masam mencuka dengan matanya bengkak dan masih bersisa air mata. Khairy hairan. Takkanlah hanya kerana tidak diajak keluar bersama sampai menangis bengkak mata.
“Sayang... kenapa menangis ni? Abang mintak maaf. Abang ada hal penting tadi. Lagipun abang pergi bukannya lama. Abang janji tak buat lagi okey!”
Khairy menguis anak rambut Najla yang bersepah di dahinya. Basah!
“Sayang? Abang kata sayang? Berapa ramai betina yang abang ucapkan dengan ucapan sayang? Cakap! Cakap dengan Naj!” sergah Najla.
Najla meraung dengan sekuat hati. Tangisannya semakin kuat. Kemudian Najla menyembamkan mukanya di bantal. Benci melihat wajah Khairy yang tenang seperti tidak mengaku kesilapannya.
“Apa sayang cakap ni? Abang tak faham?” Khairy lembut menuturkan kata-katanya, masih lagi sabar memujuk.
“Tak faham? Tak faham ke atau saja buat-buat tak faham? Abang jangan tipu Naj, bang! Siapa Lina? Siapa Lina yang merengek macam perempuan gatal tu!”
Najla menangis lagi. Tangan Khairy yang mengusap-usap belakangnya ditepis dengan siku.
“Maksud Naj... Lina? Lina budak yang kerja kat Pizza Hut tu? Budak hingusan tu?” bohong Khairy dengan ketawa berdekah-dekah yang dibuat-buat.
Mampus kalau Najla tahu tentang si Lina, bohsia budak Kampung Ubi tu! Getus hatinya.
“Budak piza ke? Kenal kat piza?” tanya Najla berkerut dahinya.
Najla kemudian duduk di sebelah Khairy tapi badannya dijauhkan sedikit. Tidak mahu disentuh Khairy.
“Sumpah! Lina tu budak. Umurnya baru 16 tahun. Kerja kat piza. Dulu abang selalu pesan piza dari rumah. Itulah yang budak Lina tu perasan. Perasan sebab, dia ingat abang order setiap hari kerana nak dengar suaranya yang mentel tu! Eee... gelilah!” bohong Khairy lagi.
Terus tubuh Najla ditarik ke dalam dadanya yang bidang. Najla yang lega dengan kata-kata Khairy membiarkan tubuhnya berada di dalam dakapan Khairy. Dirinya rasa selamat dan selesa.
“Kita makan ya sayang? Lepas tu kita tengok wayang. Malam nanti abang ada kerja sedikit yang nak dibereskan.”
Khairy mencuit hidung Najla yang mancung. Memang cantik! Khairy tersenyum bangga. Senang pula termakan tipu dan pujuk rayu.
“Naj tak lapar! Naj dah kenyang!” rajuk Najla.
“Naj sayang... awak tu dah besar panjang. Buruk benar kalau asyik merajuk aje,” ujar Khairy sambil mencubit pipi Najla yang putih kemerah-merahan.
“Naj nak abang bawak Naj ke Pizza Hut. Naj nak tengok budak hingusan yang namanya Lina. Betul ke tak? Entah-entah Lina tu pengurus di situ!”
Najla masih belum puas hati. Dia paling pantang kalau dirinya ditipu. Najla sanggup bermati-matian demi Khairy. Jangan beranganlah hendak ganggu Khairy. Kerana Khairy, Najla sanggup tinggalkan mama, papa dan saudara-mara, ini kan pula suami sendiri. No way!
“Okey! Okey! Hari ini kita pergi jalan-jalan ke Desaru. Esok baru kita makan piza. Alah Naj... budak tu budak hingusan. Gemuk pulak tu! Macam Abu, banyak jerawat batu. Buat apa sayang nak cemburu. Kan cinta abang hanya untuk sayang seorang.”
Khairy merenung tepat ke anak mata Najla yang masih basah, baru lepas menangis.
Tangan Khairy mengusap-usap rambut Najla yang masih lembab. Direnungnya anak mata itu sungguh ayu sekali. Senyuman Najla juga sungguh menawan hati jantannya.
Nafas Khairy turun naik. Sesak tidak biasa diungkap dengan kata-kata. Nafas Najla juga begitu turun naik dan mendesah. Tubuh Najla ditolaknya dengan perlahan di atas cadar yang sedikit renyuk. Najla hanya menurut.
Bibir Khairy mula mengucup ubun-ubun Najla. Najla pasrah dan rela dengan perlakuan Khairy. Tangan Khairy pantas membuka tali bathrobe yang bersilang di pinggang Najla. Tali terbuka dari ikatan. Bulat mata Khairy ternampak kulit paha Najla yang gebu di hadapannya.
“Bang!”
Najla menggeleng. Matanya yang terbuka, masih layu dek keasyikan dibelai mesra oleh Khairy.
Khairy terhenti dari melakukan perkara yang seterusnya. Hampa! Hajat di hati tidak kesampaian. Khairy meraup rambutnya yang basah kerana berpeluh. Butang baju kemejanya yang sudah terbuka separuh dipasangnya semula. Lambat dan lemah. Najla yang masih terbaring juga menghela nafas. Nafas yang tidak puas.
Selama seminggu bernikah, Najla dan Khairy masih belum bersatu lagi. Sejak malam pertama Najla bernikah, dia uzur. Putih mata Khairy. Niatnya yang satu itu masih kempunan. Sabarlah Khairy, Najla takkan ke mana. Esok, lusa, kan masih ada, takkan Najla nak lari!
Selepas selesai melayani kehendak Najla yang mahu itu dan makan ini, Khairy segera menghantar Najla pulang ke rumah sewanya yang terletak betul-betul menghadap Pantai Laut Stulang.
Seharian dia membawa Najla bersiar-siar. Memujuk Najla yang asyik mengungkit pasal Lina budak bohsia Kampung Ubi itu. Najla juga mengungkit tentang pengorbanannya yang sanggup bernikah dengan Khairy dan mengenepikan orang tuanya.
Satu lagi Khairy bosan dan rimas, asyik mendengar rengekan Najla yang manja mengalahkan budak umur lima tahun. Nak makan merengek, nak minum merengek, nak tengok televisyen pun merengek, semuanya merengek. Khairy nak keluar berjumpa dengan Abu dan kawan-kawannya pun Najla merengek nak ikut.
Kalaulah tidak kerana pil tidur yang diletakkan di dalam minuman susu suam Najla, pasti Najla terpaksa diangkutnya juga berjumpa dengan kawan-kawannya yang lain. Khairy terpaksa menahan sabar melayani segala kehendak Najla yang nampak tidak cerewet tetapi menyusahkan!
Sedutan susulan novel Kerana Sebiji Epal akan terbit pada Khamis ini.
Untuk Urusan Langganan, layari: mall.karangkraf.com, hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483 atau HP: 019-3310102
Buku Prima: 03-51013888, www.facebook.com/buku prima, www.bukuprima.com.my atau emel: prima@bukuprima.com.my



