Doa cinta Hersalina
Muka depan Novel Doa Cinta Hersalina oleh Amer Mukhlis

PUAS sudah Hersalina mengelamun. Puas sudah dia terkenang. Puas sudah dia mencari jawapan pada setiap persoalannya. Namun hampa terdampar pada setiap jalan penyelesaian. Sudah lama dia berbaring di perbaringan yang serba selesa itu. Badannya agak kaku sejak dia sedar dari lena yang panjang. Dia tidak biasa tidur di katil yang seempuk ini.

Hersalina cuba bangkit namun dia kembali terbaring. Dia cuba menahan rasa. Sakit bukan kepalang kembali meledak-ledak apabila dia cuba menggerakkan seluruh sendinya. Sakit itu bagaikan menggerit ke segenap sendi dan melata ke seluruh tubuh.

Ya ALLAH, tabahkanlah aku, insan nan kerdil ini, doanya di dalam hati. Sakit yang tidak terperi itu kembali mengundang titis jernih meluruh ke lekuk pipi. Dia menguatkan semangat, melawan sakit yang menyerang kembali. Sedaya-upaya dia cuba bangkit kembali.

Walaupun kudrat tidak sekuat mana, namun dia gagahi juga. Saat dia hampir tumbang, mujurlah ada tangan yang menyokong badannya daripada rebah.

Mak Timah yang sudah masuk, berdiri agak lama di kaki pintu memerhatikan Hersalina melayarkan pandangannya. Tebaran sinar mata Hersalina yang kelam itu sudah cukup memberitahu segala-galanya. Sedaya upaya Mak Timah mengempang sebak yang semakin mengasak tanah hatinya. Entah kenapa, apabila berhadapan dengan anak murni ini, sebaknya bagaikan terbuak-buak dengan sendirinya.

Hersalina terlalu tabah mendepani hidup. Tiada setanding pun dengan Mak  Timah mahupun dengan manusia-manusia yang dikenalinya. Hersalina, tabahkanlah hatimu nak. Hersalina, anugerah ALLAH.

Pantas sahaja Hersalina yang hampir jatuh terbaring, cepat-cepat Mak Timah peluk, lalu anak itu diduduknya perlahan pada tubir katil. Mak Timah pula melabuh punggung di sebelah Hersalina.

“Mak Timah, bilik siapa ni?” tanya Hersalina. “Kenapa? Salina tak selesa, ya?” balas Mak Timah.                                            

Hersalina menggeleng manakala Mak Timah hanya tersenyum.   

“Salina mahukan pondok rehat Salina aje. Biarlah Salina berehat di situ.”

Hersalina terlalu jujur melontarkan apa yang dirasakannya. Mata Mak Timah kembali berkaca. Patah-patah kata yang jujur bagaikan menyentuh lembut hatinya.

“Ini bilik Mak Timah dan Pak Mat. Kenapa? Salina tak suka?”

Hersalina hanya diam. Menggeleng pun tak, mengangguk pun tak. Sejak tadi dia hanya menundukkan wajah. Barang kali tidak tahu nak jawab apa.

“Tapi Salina hanya mahukan pondok Salina. Itu aje.” Hersalina bagaikan bercakap sendirian.

Mak Timah mengangkat muka Hersalina yang tunduk itu. Mereka saling bertatapan. Mak Timah sedih teramat. Seluruh muka Hersalina lebam. Bibirnya pecah berdarah. Mata sedikit sepet, hampir terkatup dan kesan cekikan pada pangkal leher jinjangnya. Wajah Hersalina langsung tidak menampakkan riak marah mahupun sedih. Riak wajah anak ini sangat tenang dan amat mendamaikan.

Mengapa Tuan Karim sanggup memperlakukan anak ini bagaikan binatang? Ke mana hilangnya sifat-sifat kemanusiaan yang pernah dia miliki dulu? Atau sudah ditiup berterbangan dek angin dendam? Siapakah dia? TUHAN? Ataupun malaikat? Dia hanya manusia lemah yang sering melakukan khilaf sesama manusia. Bukankah sesama manusia, sememangnya tiada hak mengadili sesama manusia yang lain?

Mengenangkan semua yang terpaksa dihadapi Hersalina, dada Mak Timah bagaikan ditumbuk pilu. Terlalu sedih dan hatinya luluh. Mak Timah terus memeluk Hersalina ke dalam pelukannya. Sebak yang mencengkam, ketika ini mula retak lalu merekah sedikit demi sedikit. Akhirnya Mak Timah melepaskan tangisannya semahu-mahunya. Dipeluknya erat-erat anak itu bagaikan tidak mahu dilepaskan. Mak Timah amat menyayangi anak yang pernah disusukan sehingga usianya dua tahun.

Hersalina kebingungan. Kesalahan apa, Mak Timah berkelakuan bagai orang kesedihan. Hersalina tidak berkata-kata apa, hanya membalas pelukan erat Mak Timah. Betapa hangatnya pelukan kasih itu bagaikan membasah-suburkan semula hatinya yang sentiasa kegersangan dengan kasih seorang ibu dan seorang ayah. Dia merasakan pelukan itu adalah pelukan seorang ibu kepada seorang anaknya yang sangat dikasihi dan dicintai.

Untuk seketika Hersalina terpegun. Dia merasai penuh nikmat pelukan seorang ibu. Pelukan yang Hersalina sangat dambakan selama ini. Bercucuran air mata Mak Timah. Pelukan penuh kasih Mak Timah, terlonggar perlahan demi perlahan.

“Mengapa Mak Timah menangis?” soal Hersalina jujur.

Mak Timah mengesat sisa-sisa air matanya dengan lengan baju kurung yang dipakainya. Hanya sedu-sedan yang masih kedengaran.

“Mak Timah terlalu sayangkan Salina, sebab itulah Mak Timah menangis. Kalau boleh Mak Timah tak mahu Salina tinggal di pondok itu. Tapi... kita terpaksa patuh dengan arahan Puan Rita,” balas Mak Timah pula.

Anak ini terlalu jujur. Tidak sepatutnya didedahkan dengan kenyataan hati Mak Timah yang sebenar. Mak Timah tidak mahu menambah derita yang sedia tergalas di bahu Hersalina.

“Perlu jugak ke Salina menangis kalau Salina menyayangi Mak Timah?” jujur lagi bicara Hersalina.

Pertanyaan yang terlalu jujur dan telus itu tidak mampu Mak Timah jawab dengan segera. Kadangkala bicara Hersalina, memerlukan Mak Timah memerah otak mencapai idea untuk memberikan jawapan yang wajar dan mudah difahami Hersalina.

“Kalau kita sayangkan sesesorang itu kita perlu menyayangi dan mengasihi seseorang itu. Kasih sayang itu tersangatlah luas liputannya. Tak kira ayah, ibu, adik-beradik dan saudara-mara,” kata Mak Timah.

Pilu terhimpun dengan sendiri apabila dia menuturkan frasa terakhir itu.  Mak Timah meneruskan lagi bicaranya.

“Kasih sayang terlahir jugak pada kawan-kawan, orang sekeliling kita ataupun saudara sesama Islam. Kasih sayang terlahir melalui perbuatan, perkataan dan perlakuan.”

Hersalina sedih teramat pada ayat yang terakhir itu. Kasih sayang terlahir melalui perbuatan, perkataan dan perlakuan. Hakikat itu bagaikan cakaran yang melukakan hati Hersalina.

Apa betulkah yang diperkatakan itu? Hati Hersalina kembali meragui. Dia pasti dek keterlanjuran kata Mak Timah, Puan Rita itulah sebenarnya ibunya dan Tuan Karim itulah sebenarnya ayahnya. Mungkinkah? Apa benar yang dia tafsirkan ini? Kata-kata itu hanya terlaung di fikirannya sahaja. Tapi kalau benar Tuan Karim itu ayahnya mengapa dia diperlakukan tanpa belas kasihan? Tanpa punya harga diri? Seakan dia manusia yang tak sepatutnya hidup dengan penuh maruah?

Begitukah perkiraanmu ayah, ibu? Tuan Karim dan Puan Rita selalu memakinya dengan kata-kata yang melukakan.  Apakah itu kasih sayang ayah dan ibu yang terlahir melalui kata-kata?   Tuan Karim dan Puan Rita selalu membelasahinya sehingga nafsu mereka berasa puas. Apakah itu kasih sayang ayah dan ibu yang terlahir melalui perbuatan? Tuan Karim dan Puan Rita tak pernah mengendahkannya sejak dia anak kecil. Apakah itu kasih sayang ayah dan ibu yang terlahir melalui perlakuan? Kalaulah itu benar, betapa sadisnya kasih sayang yang terhidang untuk dia jamah.

Kenyataan itu sekali lagi menarik air mata kembali meluruh ke pipi. Sekali lagi, kenyataan itu terlalu pedih untuk dia terima. Sudah lelah air mata menitis namun seakan-akan tidak memberi apa erti sekalipun.


Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com

Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  HP: 019-3310102

Buku Prima: 03-51013888


Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)

Laman web: http://www.bukuprima.com.my/

emel: prima@bukuprima.com.my

Laman web: http://www.alaf21.com.my/

http://www.facebook.com/bukuprima

http://www.facebook.com/Alaf21