Muka depan Novel Doa Cinta Hersalina oleh Amer Mukhlis
TIDURNYA yang aman seketika itu kini tergugat. Suara anak kecil yang menangis sejak tadi benar-benar mencabar kesabarannya. Marahnya kini semakin meluap-luap. Anak haram itu benar-benar memporak-perandakan hidupnya. Perlahan-lahan Puan Rita membuka matanya. Memandang-mandang dari mana datangnya suara itu.
Seketika dia meliar-liarkan biji matanya. Akhirnya, dia terpandang katil bayi yang tidak berapa jauh dari katilnya. Suara bising itu datangnya dari katil bayi itu. Bukankah anak haram itu sudah diarahkan dicampak keluar dari bilik ini? Kenapa masih lagi berada di sini?
“Timah! Oh Timah!” jerit Puan Rita lantang, memanggil orang gajinya.
Geram! Ada orang gaji pun tak guna. Tak habis-habis menyusahkan aku! Dalam diam, dia membentak. Mak Timah yang dipanggil tak juga muncul. Tangisan anak haram itu semakin bingit. Puan Rita mula tidak senang duduk. Telinganya terasa pedih dan hatinya mendidih geram.
“Diam! Aku kata diam!” jerit Puan Rita lagi.
Anak kecil itu langsung tidak memahami malah menangis dengan lebih kuat lagi. Barangkali terkejut dengan suara lantang itu.
“Diamlah bodoh!”
Lantas Puan Rita mencapai apa sahaja di sekitarnya untuk dibaling kepada anak kecil yang dirasakan menyusahkan itu. Dia benar-benar tiada daya untuk bangun. Sedangkan nak duduk pun dia terasa benar-benar payah. Kalaulah dia berdaya bangun mahu saja dia menghampiri anak kecil itu lalu dicampakkan ke luar tingkap. Paling tidak pun, dicampak keluar dari biliknya ini. Lampu meja yang dicampaknya tadi langsung tidak kena anak kecil itu. Hanya kena pada kepala katil.
Puan Rita geram. Lalu dia mencapai apa sahaja yang ada. Dia baling bantal kecil pula, juga tak kena bayi itu. Malah bayi itu semakin galak menangis.
“Diam! Diam! Diam!” jerit Puan Rita sambil melempar apa sahaja barang.
“Ya ALLAH! Puan! Jangan!”
Mak Timah yang baru sampai terkesima dengan tindakan majikannya itu. Dia benar-benar tidak sangka begitu kejinya perilaku Puan Rita kepada bayi yang tidak tahu apa-apa itu. Segera dia masuk mendapatkan Puan Rita bagaikan orang kerasukan itu.
“Puan buat apa ni?” soal Mak Timah.
Puan Rita memandang bengis pada Mak Timah. Geram bila perbuatannya dihalang. Mahu saja dia memaki hamun orang gajinya itu.
“Kau ni bodoh ke apa? Aku nak baling aje budak ni! Memekak aje dari tadi!”
Puan Rita merengus geram. Dengan tidak semena-mena, dia menampar pipi kanan Mak Timah. Mak Timah terpaku.
Puan Rita berasa sedikit lega. Orang gajinya memang patut diajar menghormati orang yang memberinya makan dan gaji untuk terus hidup. Sepatutnya dia diajar dari dulu lagi. Jika tak kerana suaminya, dah lama Mak Timah dan suaminya mati tergolek di tepi jalan.
Mak Timah terkelu bicara. Sangat terasa dengan perbuatan majikannya itu. Rasa kecil hatinya itu selalu sahaja tiris mengaliri kolam rasanya. Berkali-kali perkataan yang dilafazkan dalam hati bahawasanya dia tidak apa-apa dengan perbuatan Puan Rita itu.
Kerap kali dia menipu hati dan perasaannya, dia mahu kelihatan tabah di hadapan majikannya itu. Tapi sampai bila? Kesabarannya sudah mula menipis. Puan Rita memperlakukannya seperti orang yang sangat hina.
Puan Rita betul-betul hilang akal. Anaknya tidak berdosa itu nak dibunuhnya kerana mendendami lelaki yang mendustai cintanya. Kalau boleh dia tidak mahu tinggal di rumah yang bagaikan neraka ini. Rumah yang penuh dengan maksiat, dosa dan segala jenis noda dunia. Namun dia dan suaminya tak berdaya. Hutang budi keluarga Tuan Karim telah merantainya untuk bekerja di sini sebagai membalas jasa.
“Berapa kali aku nak pesan! Aku tak nak anak ni berada dalam bilik aku apatah lagi rumah aku!”
Mak Timah hanya diam. Dia menahan rasa pedih yang mencucuk ulu hatinya.
“Kalau kau nak, bawa balik aje tinggal di rumah pekerja! Kau yang nak jaga sangat kan? Kalau tak, campakkan bayi ini ke mana-mana aje!” bentak Puan Rita.
Mak Timah diam lagi. Bicara yang tajam itu selalu membuatkan dia terkelu bicara. Tarafnya dia, hanya orang gaji saja di rumah itu. Sudah tentu segala cakap atau nasihatnya tidak akan didengar apatah lagi mahu diikuti. Perlahan-lahan dia mengundur langkah, menjauhi majikannya itu lalu merapati katil bayi.
Seketika Mak Timah menatap wajah bayi itu. Hampir saja air matanya mahu menitis. Menatap wajah bayi ini selalu sahaja membuatkan dia tidak mampu untuk menjadi kuat. Apatah lagi untuk menjadi tabah. Mak Timah ambil anak itu lalu mendukungnya. Bayi itu berhenti menangis.
“Biarlah saya ambil anak ini. Biar saya yang menjaganya.”
Habis saja berkata, Mak Timah terus sahaja melangkah keluar. Dia sudah tidak betah menatap lama wajah Puan Rita. Semakin lama ditatap, semakin benci menggamit ruang dadanya.
USAI sahaja kerja-kerja di dapur, Mak Timah kembali mendapatkan bayi itu yang berada di dalam biliknya. Sudah dipesan kepada suaminya supaya menjaga anak kecil itu seketika sementara dia menyelesaikan kerja yang berbaki tadi. Pak Mat baru selesai mengusahakan kebun tidak jauh dari banglo tempat mereka menginap. Dia hanya mengangguk tanpa sebarang kata-kata.
Sememangnya Pak Mat seorang yang pendiam. Hanya bicara penting sahaja baru dia mengeluarkan suara emasnya. Kadang-kadang geram juga Mak Timah melihat Pak Mat hanya sepi tidak kena pada tempatnya.
Baharu saja Mak Timah melangkah ke rumah pekerja, tempat dia dan suaminya menginap, sayup-sayup terdengar suara anak kecil itu menangis. Apalah yang dibuat suaminya hinggakan anak kecil itu menangis begitu sekali?
Mak Timah mempercepatkan langkah menuju ke biliknya. Hati semakin dipalu gelisah bila mendengarkan tangisan bayi itu yang kuat berbanding tadi. Sampai di dalam bilik, dia melihat suaminya leka mengagah anak itu.
“Abang buat apa ni? Patutlah budak ni menangis!” marah Mak Timah.
“Taklah, dari tadi budak ni menangis. Abang dukunglah mana tahu dia berhenti menangis. Tapi lagi galak dia menangis,” adu Pak Mat yang sudah pening melihat bayi itu asyik menangis sahaja sejak tadi.
Mak Timah mengambil bayi itu dan terus menyusukannya. Bayi yang berada dalam dakapan Mak Timah terus berhenti menangis.
“Puan Rita tak mahukan anak ini. Dia kata anak ini anak haram bang. Anak dia dengan kekasih gelapnya,” beritahu Mak Timah hal sebenarnya.
Mata Mak Timah kembali berkaca. Sendu di hati langsung tidak terbilang dengan apa pun bicara. Dia hanya memandang suaminya dengan mata yang sangat sayu. Seketika mereka saling bertatapan. Bagai memahami bicara hati dengan sendirinya.
Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com/
Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483 HP: 019-3310102
Buku Prima: 03-51013888
Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)
Laman web: http://www.bukuprima.com.my/
emel: prima@bukuprima.com.my
Laman web: http://www.alaf21.com.my/
http://www.facebook.com/bukuprima
http://www.facebook.com/Alaf21



