• Muka Depan Novel Disisimu Aku Oleh Fatin Nabila Muka Depan Novel Disisimu Aku Oleh Fatin Nabila
1 /

AKU menepuk dahi tatkala membuka fail. Aku tertinggal surat yang sepatutnya aku bawa untuk berurusan dengan peguam di syarikat guaman ini. Kelmarin, keadaan aku sangat letih.

Sewaktu dipanggil Dato’ Kamarul membincangkan perkara ini, aku baru pulang dari Putrajaya. Memantau projek di sana. Itu yang membuatkan aku lupa menyelitkan surat dari syarikat guaman ini ke dalam fail.

Sebetulnya surat itu aku belum sempat membacanya. Angguk sahaja dengan arahan Dato’ Kamarul. Lokasi pejabat guaman ini pun aku ingatingat lupa ketika Pak Ngah Najman beritahu semalam.

Nasib baik tidak susah mencari bangunan pejabat ini kerana letaknya di tengah kota.

Tanda nama Guaman APZ & CO aku tenung lama. Memang inilah pejabatnya. Aduh, macam mana ni? Masakan mahu kembali ke Seremban untuk mengambil surat itu?

Jarak Seremban dengan KL bukannya dekat. Aku cuba mengingati nama si peguam itu, tetapi sehuruf pun aku tidak ingat. Sungguh bebal fikiranku tika ini.

Lantas, aku menelefon ke syarikat aku bekerja. Mahu bertanya kepada Haryati mengenai perkara ini. Aku akan minta Haryati melihat surat tersebut di atas meja dalam bilik aku.

Beberapa kali mendail, tiada sebarang jawapan melainkan nada meminta aku menunggu. Aku cuba berhubung melalui telefon bimbitnya. Lagi haru, telefonnya dalam mode off.

Aduhai Haryati, ketika diperlukan dia ‘ghaib’ pula. Mahu tidak mahu, aku melangkah juga ke pejabat ini. Bertawakal sahaja. Mungkin aku boleh berbincang separuh rasmi buat permulaan ini.

Asal sampai maksud dan tujuannya. Mungkin ada kompromi daripada pihak sana. Aku berdoa di dalam hati sebelum menolak daun pintu syarikat ini.

Aku memberi salam kepada si penyambut tetamu di kaunter. Manis senyumannya saat menjawab salamku.

“Err... saya dari Syarikat Teguh. Saya tertinggal surat yang sepatutnya saya bawa untuk temu janji hari ni. Saya nak jumpa peguam yang akan berurusan dengan Syarikat Teguh.” Aku sedikit teragak-agak menyusun kata.

“Sekejap ya, cik.” Si penyambut tetamu itu menyelak fail besar di hadapannya.

“Hmm... kes ini di bawah Encik Aman Zarul.” Aman Zarul! Ada degup dalam hatiku saat nama itu menyeru di telinga. Sembilan tahun lamanya nama itu lenyap daripada pendengaranku. Mendengarnya pada saat ini, tubuhku seakan menggeletar.

“Tapi, Encik Aman belum masuk lagi. Katanya, hari ni dia masuk lambat.”

Gadis bertudung kuning pinang masak melontar senyum. Lama matanya jatuh pada wajahku. Pandangan simpati. Barangkali kesian kerana aku harus mengambil masa yang lama menunggu orang yang mahu aku jumpa.

Kelmarin diberitahu yang aku harus bertemu dengan peguam di syarikat ini pada jam 10.00 pagi. Maka, awalawal pagi aku meredah kesesakan lalu lintas dari Seremban menuju ke Ampang.

Alih-alih, si tuan yang mahu aku jumpa akan masuk lewat. Bermakna aku harus menunggu dalam jangka waktu yang bukan sekejap. Penungguan itu satu penyeksaan. Oh, malasnya aku mahu menanti. Tetapi, aku mesti bertemu juga dengan orang yang akan berurusan denganku. Jangan sia-siakan perjalanan jauh ke sini. Hatiku bertingkah sendiri.

“Agak-agak pukul berapa dia masuk?” Aku menyoal. Gadis itu menggeleng. “Tak tahulah, cik. Katanya lewat.”

Hmm... kalau masuknya waktu tengah hari atau petang, macam mana? Sekarang baru jam 9.30 pagi. Mahu aku ‘masak’ menunggu hari ini.

“Cik mungkin boleh ke mana-mana dulu. Nanti Encik Aman masuk, saya telefon. Cik tinggalkan nombor telefon cik kat sini.” Penyambut tetamu itu memberi cadangan.

Barangkali memahami betapa aku akan berasa bosan andai menanti di dalam pejabat ini berjam-jam lamanya. Idea yang baik! Mungkin aku boleh pusing-pusing bandar KL. Memendekkan waktu penantian dengan mencuci mata.

Tetapi, cuci mata seorang diri amatlah membosankan. Namun, aku tiada pilihan kedua mahupun ketiga. Aman Zarul! Nama itu mengetuk mindaku lagi.

Nama itu mengingatkan aku pada seseorang. Pada masa lalu yang sudah bertahun ditinggalkan. Pada merahnya kenangan. Pada suka dan duka yang bergaul dalam sebuah memori.

Pada harapan yang sesekali memberi nafas dalam hidup seorang aku yang bernama, Nurin Saqeena.

Aman Zarul. Sepotong nama itu membisik di telingaku. tapi, masakan dia? Ramai orang dalam dunia ini punya nama yang sama. Bahkan wajah yang sama juga ada. Bukan dia! Bukan! Suara hatiku menidakkan dalam debar yang tibatiba sahaja menggendang diriku.

Tetapi hatiku bergetar kala nama itu disebut tadi. Mengapa? Jika memang dia, bermakna aku akan bertemu dengannya. Tidak! Aku tidak mahu bertemu dengannya.

Tidak mahu! Aku tidak mahu luka lama berdarah semula. Aku tidak mahu merasai kesakitan yang sama. Pedihnya tidak tertanggung. Tetapi, bagaimana jika bukan dia?

Masakan aku mahu pulang sahaja tanpa bertemu dengan peguam ini? Aku datang atas urusan kerja. Bukan mahu berkenal-kenalan yang boleh sesuka hati aku batalkan pertemuan ini.

Apa kata Dato’ Kamarul jika aku pulang tanpa hasil perbincangan? Sedangkan urusan ini penting dalam syarikat kami. Bukankah aku perlu profesional dalam etika kerja?

Jangan mencampur-adukkan dengan hal peribadi. Aku menghela nafas. Mungkin bukan Aman Zarul yang aku kenal dulu. Bukan Amanku. Bukan! Doaku selama ini dimakbulkan oleh-NYA. Sembilan tahun ini sekalipun aku tidak bertemu dengannya waima secara kebetulan pun.

Tentunya dia bukan Aman Zarulku.

Aman Zarulku? Mengapa mesti aku menyatakan yang dia bagaikan milikku? Tetapi, itulah kenangan lalu. Dia juga selalu mengatakan aku adalah Qeenanya. Maka, aku pun membalas yang dia adalah Amanku.

Aman... bisik hatiku meladeni sebuah rasa yang sukar untuk aku tafsirkan.

“FARAH, Encik Aman ada?”

“Oh, Cik Zeyra. Encik Aman.... masuk lewat hari ini. Takkan Cik Zeyra tak tahu?” Ada usikan dalam nada gadis di kaunter itu.

Aku yang berdiri agak tersorok dari ruang dinding, mengintai sedikit demi mendengar nama Zeyra yang disebut oleh gadis penyambut tetamu itu.

Berseluar panjang hitam dipadan dengan blaus merah gelap. Aku amati wajah itu. Aku masih kenal biarpun masa telah jauh berlalu. Itulah Zeyra,
Aman.

Jadi, benarlah Aman Zarul yang akan aku temui ini adalah Aman yang aku kenal bertahun lalu? Tidak mungkin Aman lain, jika inilah Zeyranya. Perasaanku jadi pedih dan ngilu tiba-tiba.

Kalau boleh, aku tidak mahu bertemu dengannya lagi. Zeyra masih bersama dengan Aman. Barangkali antara mereka sudah ada ikatan yang lebih jauh. Mungkin juga sudah sah berkongsi bilik tidur.

“Tak apalah, Farah. Nanti saya call Aman sendiri.” Suara itu berlalu bersama derap tapak kaki.

Aku menghela nafas. Lega kerana tidak perlu bertentang mata dengan Zeyra. Aku tidak mahu wujud semula dalam kehidupan mereka berdua. Aku bukan petualang. Bukan tidak faham bahasa! Hatiku merintih pedih. Lalu, tanpa berfikir panjang aku membawa langkah ke pintu.

“Cik, tinggalkan nombor telefon cik dulu. Nanti saya beritahu Encik Aman pasal temu janji cik dengannya. Hmm.... nama cik siapa ya?”

Aku berpaling wajah pada gadis yang dipanggil Farah oleh Zeyra tadi. “Tak apa, saya call Encik Aman nanti.” Ayat yang seakan sama dengan Zeyra sebentar lalu. Walhal, aku tidak ada pun nombor telefon bimbit Aman.

Lemah langkahku. Aku mahu segera pulang ke Seremban. Tidak perlu menunggu peguam yang akan mengendalikan kes Syarikat Teguh. Aku akan minta Dato’ Kamarul menggantikan tugasku ini dengan pekerja lain. Aku akan tebalkan muka kerana pertama kali aku bertindak tidak matang dalam profesionku.

Biarlah apa pun tanggapannya padaku. Aku sudah sedia menelan segala risiko. Langkahku layu sepanjang ke ruang parkir dari bangunan yang gah ini. Lama aku bersandar di dalam kereta. Perasaanku bercampur-baur. Pedih, luka dan sakit mencucuk-cucuk sekeping hati aku yang sangat merapuh tika ini.


 

Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com

Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  HP: 019-3310102

Buku Prima: 03-51013888


Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)

Laman web: http://www.bukuprima.com.my/

emel: prima@bukuprima.com.my


Laman web: http://www.alaf21.com.my/

http://www.facebook.com/bukuprima

http://www.facebook.com/Alaf21