• Curi-curi Suka oleh Liyana Zahim Curi-curi Suka oleh Liyana Zahim
1 /

RUANG di tingkat 11 yang menempatkan banyak kerusi dan meja itu ditinjau-tinjau untuk mencari kelibat Dasyila, Sazrah dan Khairin. Akhirnya, Wisya menangkap kelibat mereka di salah sebuah meja. Serentak kelihatan Sazrah menggamitnya. Sementara menanti waktu kelas seterusnya, mereka menghabiskan masa di situ. Berbual-bual kosong sambil memerhati gelagat pelajar-pelajar lain.

Wisya duduk di hadapan Khairin. Temannya itu khusyuk dengan buku Sudoku yang sering dikelek ke mana-mana itu. “Kenapa kau tak pernah cerita pasal tu ek?” soal Dasyila, mengalih tumpuan Wisya dari Khairin. Wisya mengerutkan dahi. “Pasal apa?” “Pasal kau jatuh kat library tulah.”

“Oh, kena bagi tahu ke?” soal Wisya sinis. Sazrah dan Khairin ketawa. Dasyila mencebik. “Tapi tak sia-sia kau jatuh hari tu. Ada putera raja tolong. Auww! Seronoknya!” celah Sazrah melakukan aksi gatalnya.

“Putera raja ya? Habis segala rakyat jelata yang ada kat dalam library tu apa benda? All eyes on me, okay! Sampai keturunan ketujuh pun malu ni takkan habis!” Suara Wisya sedikit meninggi. Terlebih ekspresi.

“Tak apa, tak apa... scene menghulurkan buku tu yang penting. Tak kisahlah all eyes on you ke apa. Kau kena hargai detik-detik indah tu tau. Seumur hidup pun susah nak berlaku tu. Kan bagus kalau masa tu ada orang rakam? Babak menghulur buku yang romantis,” sampuk Khairin dengan aksi teruja yang melebih-lebih.

Wisya buat muka jelik. “Ohh... kau ingat aku jatuh tu rasa sedap macam makan mi goreng mamak kat Restoran Barra? Kau ingat tangga PTAR 3 tu span?” soalnya dengan nada sinikal sambil menjeling ketiga-tiga mereka geram. Sesungguhnya, bahana malu itu masih belum hilang setiap kali kakinya mencecah masuk ke perpustakaan. Seakan terlihat-lihat di mata bayang rentetan peristiwa tersebut. Oh, kalaulah masa itu boleh diputar... Tapi putar dengan apa?

“AKU ingat cuti ni aku tak balik rumah kau kot. Aku nak duduk sini cari kerja,” maklum Wisya sambil memaku pandangan ke arah Dasyila yang sedang menghadap komputer ribanya.

Dasyila berpaling memandang Wisya yang sedang berteleku di atas tilam. Keningnya bertaut. “Kau nak cari kerja kat mana?”

“Mana-mana ajelah. Jadi tukang basuh pinggan kat kedai mamak bawah ni pun boleh,” ujar Wisya bersahaja. “Ha’ah... sekejap lagi mamak-mamak tu berkenan kat kau, dia letak benda-benda mengarut dalam makanan kau baru kau tahu.” Dasyila menerka yang bukan-bukan.

“Jadi bini mamak, stail jugak kan? Mamak kaya-rayaweh!” Wisya tersenyum sambil menjongketkan kening. “Eii!” Dasyila mencebik. Malas melayan Wisya yang kaki merapu.

“Alah... banyak aje kerja kot. Aku tengok kat mudah.my tu berlambak kerja kosong. Aku kena kerjalah, Syila. Kalau tak, mana aku nak cekau duit untuk semester depan? Part 8 nanti banyak nak pakai duit untuk FYP semua tu.”

Dasyila terdiam. Kalaulah dia mampu menanggung perbelanjaan semester Wisya, tidak perlulah Wisya ke hulu ke hilir mencari kerja. Apakan daya, dia sendiri pun bukanlah terlalu berada untuk menghulur bantuan sepenuhnya. Adi-kadiknya pun semua masih belajar.

“Terpulanglah pada kau, Wisya. Aku betul-betul minta maaf sebab tak dapat tolong kau.” “Syila, kau dah tolong aku banyak. Nak minta maaf buat apanya? Eii... aku pulak yang serba salah. Dah, jangan nak buat muka selebet kau tu. Aku dah besar, tahulah nak hidup macam mana nanti. Shah Alam ni pun dah serata penjuru aku explore. No worries,” ucap Wisya tersenyum lebar.

Dia tidak mahu meninggalkan sebarang rasa kesal di hati Dasyila. Menampakkan senyuman seakan itu diharapkan rasa tersebut hilang daripada perasaan Dasyila. Cukuplah budi yang ditabur Dasyila dan keluarganya selama ini. Biar tidak secekal mana jiwa ini, perlu digagahkan jua. Inilah rasa hidup.

JALAN berbukit menuju ke fakulti disusuri perlahan. Terik mentari seakan menyerap segala tenaga yang ada dalam tubuh. Nafas Wisya hampir semput. Segala jenis kenderaan keluar masuk seolah-olah menyumbangkan lagi rasa semput di dada. Konon berjalan kaki sihat. Alih-alih sedut gas karbon monoksida pula.

Akhirnya, dia tiba di lorong masuk menuju ke kelas. Kian pantas kakinya menapak. Sekilas dia mengerling jam tangan. Masih awal.

“Tipah!”

Wisya tersentak. Seperti mahu luruh jantungnya waktu itu. Lantas dia berpaling ke belakang. Dilihat Ezroy dan Daniel sedang melangkah ingin menghampirinya. Entah kenapa seakan ada tindakan refleks, pantas dia berlari sebelum sempat kedua-duanya hampir. Sayup-sayup kedengaran suara Daniel memanggilnya.

Tercungap-cungap dia menekan butang sebaik tiba di lif. Tidak dihiraukan mata-mata yang memandangnya dengan pandangan yang semacam. Sesekali matanya melilau kalau-kalau kelibat kedua-dua lelaki tadi muncul. Pintu lif terbuka. Wisya menarik nafas lega. Dia tersandar di dinding lif. Butang tutup ditekan.

Tiba-tiba pintu lif yang sudah tertutup terbuka semula. Kepalanya yang sudah lentok di dinding tegak kembali. Bagai hendak terbeliak matanya melihat dua batang tubuh bak galah itu memasuki lif. Daniel tersengih-sengih. Wisya terpana. Gagah aku berlari macam acara larian sukan Komanwel, ingatkan terlepas. Oh, tahi telinga... siap sedia menjadi cair!

“Hai, Tipah! Laju lari tadi. Dah lambat pergi kelas ke?” sapa Daniel dengan senyuman penuh makna. Wisya membatu. Menayang ekspresi kurang senang de - ngan keramahan lelaki kacuk itu.

“Ahha... kita macam nak ke level yang sama.” Ezroy tersenyum nakal. Matanya tertancap pada wajah gadis ber baju kurung yang sudah masam mencuka di hadapannya itu.

Wisya tetap membisu. Matanya tertunak pada nombor yang berubah-ubah di dalam lif. Pura-pura pekak. Amatlah jenuh kalau sekali aku bersuara nanti. Ditanya bermacam soalan mengalahkan disoal siasat. Lif akhirnya berhenti di tingkat 13. Benar, mereka menghala ke tingkat yang sama. Mengapa perlu setiap kali babak bertemu dua makhluk ni di dalam lif? Mengapa dahulu tidak pernah sekalipun dia bertemu dengan kedua-duanya tetapi semester kali ini terlalu kerap dia bertembung dengan mereka?

Pantas Wisya melangkah keluar. Baru sempat beberapa tapak mengatur langkah, tiba-tiba perjalanannya dihalang oleh Daniel. “Nak apa?” soal Wisya dengan wajah yang jelas bengang. “Cakap ‘hai’ tak dikira buat jenayah kan?” balas Daniel
bersahaja.

“But when it is too much, it can be annoying,” balas Wisya selamba. Ingat aku spesies yang boleh diayam-ayamkan? Silap orang okey!

Daniel tercengang seketika. Sekilas dia memandang Ezroy seraya mengangkat kening dan kemudian me natap kembali wajah Wisya sambil mempamerkan senyuman. Hampir dia kehilangan kata.

“Kau bajet kau cun.” Lancang mulut Ezroy meluncur kata sekali gus meraih pandangan Wisya. Sungguh berasap telinga Wisya tika itu. “Dah tu, kau bajet kau kacak sangat ke?” Laju sahaja mulutnya membalas.

Wajahnya berubah serta-merta. Tidak mampu lagi menahan marah di dada. Mencerlang matanya menatap wajah Ezroy. Melihat riak wajah pemuda itu, rasa hendak sahaja dia melayangkan kaki ke wajah lelaki tersebut. Hot stuff konon...

“Relax... He’s just pulling your leg,” ucap Daniel, cuba menenangkan amarah Wisya. Baru dia sedar, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. “Pulling leg ke, pulling head ke... pergi mampuslah! Apa yang kau tak puas hati sangat? Ada aku kacau kau ke?” Wisya tidak mampu menahan perasaan marahnya. Bulat matanya memandang Daniel dan Ezroy. Sebetulnya, bukan isu diganggu dan diusik dia naik angin. Sungguh, dia tidak begitu menggelabah jika diejek sekalipun. Namun kata-kata Ezroy sebentar tadi benar-benar membuatkan perasaannya melantun geram.

“Pehh... menggelabah gila minah ni wei. Melalak tak ingat. Kalau cun tak apa jugak, ini muka macam tapai basi!” bidas Ezroy kasar. Namun, Daniel seakan memberi isyarat supaya lelaki itu berhenti memuntahkan kata-kata yang seterusnya.

Tanpa menanti lagi, Wisya terus mengangkat kaki. Hatinya membengkak geram. Dia tidak memperuntukan waktunya di UiTM untuk menghadap lelaki-lelaki seperti itu.
 

Sekiranya berlaku kesukaran mendapatkan novel kami, sila hubungi eksekutif pengedaran di bawah:

Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)

Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)

Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)

Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)

Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)