Muka Depan Novel Cinta ABC oleh Emma Maizura.
“MILA, Ms. Kay nak jumpa!” Tingkah Camila terjeda. Dia berpaling menatap wajah Mastura.
“Ms. Kay nak jumpa sekarang!” Mastura mengulangi bicaranya. “Alamak, kenapa singa garang tu nak jumpa saya, Kak Mas?” Camila menggigit jari dengan wajah risau. Tidak semena-mena, dia seperti berada di suatu tempat yang begitu ganjil.
“Tolong! Tolong! Jangan makan aku! Aku janji tak buat lagi!” Camila merayu-rayu. Renik peluh sudah membasahi muka. Badannya menggeletar tiba-tiba. Matanya menutas pandangan pada wajah Ms. Kay yang garang. Sepasang mata itu berkilau merah. Badannya pula sudah berwarna kuning kecokelatan.
“Ha... ha... itu aje cara buat orang salah!” sergah Ms. Kay keras. Dia menjegilkan mata ke wajah takut Camila. “Janganlah makan saya, Ms. Kay. Badan saya bukan ada isi. Tengok ni, tulang aje!” Camila merayu. Spontan dia memeluk kaki perempuan itu.
Ms. Kay terkejut lantas menggoyang-goyang kakinya ingin melepaskan cengkaman itu.
“Lepaskan kaki I! Lepaskan Mila!” tengking Ms. Kay, namun Camila tetap dengan aksinya. “Ms. Kay, maafkanlah saya. Saya janji tak buat lagi. Tolonglah, Ms. Kay maafkan saya.” Kaki perempuan itu dipeluk erat. Tolakan keras Ms. Kay tidak dihiraukan. “Kejamnya Ms. Kay nak makan saya!” tuturnya sebal. Rayuannya tidak diendahkan.
“Camila!” jeritan Ms. Kay bergema di ruang gudang itu, namun Camila masih berada dalam dunia fantasinya.
“Saya tahulah saya bersalah. Ms. Kay janganlah jerit kuat-kuat! Sampai nak tercabut telinga saya.” Ms. Kay mendengus geram. “I kata lepas! Lepaslah!” Ms. Kay meronta-ronta sambil menghentak kaki. Rontaan keras itu membuatkan Camila bingung. “Siapa nak makan siapa ni? Bukan ke Ms. Kay yang nak makan saya? Kenapa Ms. Kay yang menjerit suruh saya lepaskan? Ms. Kay dah tak nak jadi singa garang lagi ke?” soal Camila keliru.
“Camila!” jerit Ms. Kay sekuat-kuat hati sehingga bergema di ruang itu. Sedikit kasar dia menolak tubuh Camila yang sedang memeluk kakinya.
Camila terpinga-pinga beberapa detik. Dia berasa pelik bila ada orang lain di tempat itu. Suara orang berbisik jelas menampan ke telinganya. Ketika itu, dia sedang terduduk di atas lantai. ‘Ya ALLAH, apa yang telah aku buat tadi? Habislah aku kali ini.’
“Hai... Ms. Kay!” sapanya selamba saat kembali sedar ke alam nyata. Dia menggaru kepala. Pura-pura buat muka selamba. Dijeling wajah masam Ms. Kay yang sudah merah padam.
“Yes, I’m Ms. Kay,” rengus perempuan itu. “Okey, yang lain pergi kembali buat kerja. Ini bukan lawak tepi jalan okey!” perintah Ms. Kay tegas. Garang wajahnya menala ke arah pekerja-pekerja lain.
Camila tersengih-sengih. Roman muka sudah bertukar kemerah-merahan. Malu! Baru diarahkan berjumpa perempuan itu, dia sudah terlebih aksi. Ah... perempuan itu memang menakutkan dirinya.
“Ikut I ke pejabat sekarang!” Meluru Ms. Kay menapak menuju ke bilik pejabatnya. Camila masih terpaku di tempat tadi. “Beb... apa masalah kau sampai peluk kaki perempuan singa tu? Kau mengelamun ya?” bisik Suria. Ada nada lucu di hujung suaranya.
Camila turut tergelak mengingati gelagatnya tadi. “Entahlah, macam mana aku boleh terlebih aksi. Aku memang fobialah kalau dengar nama perempuan tu!” tubuhnya meliuk-lentuk.
“Camila! Come to my office now!” Lantang suara Ms. Kay menjerit dari pintu pejabatnya. Geram gadis itu masih tidak mengendahkan arahannya.
“Aku pergi dulu. Singa garang tu dah bertukar jadi Tarzan. Takut aku nak dengar jeritan batin dia. Boleh runtuh bangunan ni nanti.”
“Kau ni, beb... ada-ada sajalah.” Suria tergelak lucu. Lambat-lambat Camila mengatur langkah ke pejabat Ms. Kay. Sambil membaca bismillah, dia mengetuk daun pintu yang terbuka. Dia kena jaga tingkah laku. Kejadian memeluk kaki Ms. Kay di khayalak ramai tadi belum reda. Dia tidak mahu menambah kemarahan perempuan garang itu. Lekas dia menapak masuk bila diarahkan. Dadanya berdebar-debar.
“Ms. Kay... maaf pasal tadi. Saya tak sedar saya terlebih aksi,” pintanya sebelum Ms. Kay membuka mulut memarahi dirinya.
“Err...” Ms Kay merengus. Sekilas, dia menjeling wajah redup Camila. Geram dan malu masih menebal di setiap pelosok hatinya. Di hadapan pekerja lain, Camila memanggil dirinya singa. Garang sangatkah dia? Mujur kejadian itu berlaku di gudang. Jika di pasar raya tentu dia bertambah malu bila disaksikan oleh orang ramai. ‘Budak Mila ni memang cari bala!’
“You tahu apa kesalahan you?” “Ta... tahu... Ms. Kay. Maafkan saya. Lain kali saya tak ulangi lagi.” Camila mengangkat tangan kanan tanda berjanji.
“Bukan pasal tadi!” “Habis tu apa, Ms. Kay?” dungu dia menyoal. “Pasal selalu cuti! Suruh kerja lebih masa tak mahu! You ingat syarikat ni tak ada peraturan? Suka-suka you aje nak kerja!” jerkah Ms. Kay serius.
“Tapi...” Cepat bicara Camila dipintas Ms. Kay. “No excuse. I bagi amaran pada you. Jika you ulangi kesilapan yang sama lagi, I akan bagi terus surat tunjuk sebab!” ugut perempuan itu.
“Please, Ms. Kay...” rayunya. “You boleh keluar sekarang!” Ms. Kay kembali menyibukkan dirinya menghadap komputer riba. Longlai kaki Camila menapak keluar dari bilik itu. ‘Tak bertimbang rasa betul! Aku cuti nak buat tugasanlah... kalau tak siap nanti, pak cik aku yang kekwat tu gagalkan aku!’
SUASANA ruang tamu rumahnya riuh dengan gelak tawa saat dia menceritakan semula kejadian itu.
“Itulah kan abah dah cakap, tak payah kerja. Degil! Kan dah tambah satu beban masalah lagi. Payah-payah berhenti kerja ajelah. Tumpukan perhatian pada pelajaran.
Yuran nanti biar abah yang tanggung,” leter Amirrahman. Sudah masak dengan perangai Camila yang kadangkala terlebih aksi. Suka berkhayal dan berangan. Camila mendengus. Abahnya bukan memberi dorongan tetapi mematahkan semangatnya pula. Dulu, abahnya juga kata dia tidak serius. Tapi bila dia ingin belajar berdikari, abahnya itu pula membantah.
“Abah jangan risaulah. Mila boleh selesaikan masalah tu. Abah jugak yang suruh Mila berdikari, kan?” Camila berkata penuh yakin.
Bulat mata Amirrahman menatap wajah anak perempuannya itu. Tak padan dengan manja, degilnya pun boleh tahan.
“Mahu abah tak risau. Tapi, Mila tu memang tanggungjawab abah. Jadi, abah rasa tak sedaplah kalau Mila sibuk-sibuk kerja sebab nak belajar. Macamlah abah tak mampu,” keluh Amirrahman perlahan. Matanya menjamah pada Duha dan Uthman yang turut berada di ruang tamu itu.
“Mila nak berdikarilah, abah. Masalah tu semua macam baca ABC aje.”
Tutur bicara itu membuatkan Amirrahman kembali memandang Camila. Dahinya dikerutkan. “ABC... adaada ajelah.” Anaknya itu memang seorang yang riang. Amirrahman membuat kesimpulan. Jika orang lain tentu sudah menggelabah resah setelah melakukan kesalahan.
Camila boleh tergelak lagi dengan perangainya sendiri. “Dahlah, bah... biarkan aje kakak tu. Dia dah besar tahulah dia selesaikan masalah sendiri,” omel Duha tidak senang hati. Kadangkala dia cemburu kerana perhatian yang berlebihan abahnya pada Camila. Segera Camila berpaling ke arah Duha. Dia terkesan ada cebikan di bibir kakaknya itu.
“Hmm... macam mana kakak boleh terpeluk kaki bos kakak tu?” soal Duha untuk tahu cerita itu lebih mendalam. Selamba dan bersahaja Camila menghamburkan tawanya semula. Mengingati kejadian itu rasa lucu kembali bertandang di hati.
Dia menekup mulut menahan tawa saat terkesan abang iparnya Uthman tersengih-sengih memerhatikan gelagatnya.
“Entah... Mila sendiri pun tak sedar masa tu. Tiba-tiba aje dia dah ada kat situ.”
“Kakak bayangkan dia jadi apa masa tu?” Penuh minat Duha menyoal lagi.
“Singa garang.”
“Kuat sangat berangan. Nasib baik dia bagi amaran saja. Sekali dipecat baru padan muka Mila,” ujar Uthman masuk campur dalam perbualan itu. Hampir setahun menjadi sebahagian ahli keluarga itu, dia mula memahami perangai adik iparnya itu.
“Kalau dipecat, Mila terpaksalah buat pinjaman PTPA.” “PTPA? Apa tu, kakak?” Dahi Duha sudah berkedut seribu. Camila memang suka menggunakan akronim untuk sesuatu sebutan.
“Pinjaman Tabung Peribadi Abah.” Amirrahman menggeleng kepala. Ada-ada sahaja ragam anaknya yang seorang ini.
“Bah... Mila laparlah. Abah dah masak ke?” Camila menggosok-gosok perutnya.
“Cantiknya perangai anak dara abah ni. Bukan nak masak, tahu nak tersedia aje atas meja,” tegur Duha geram. “Suka hati oranglah... cemburu... kata cemburu.” “Tak ada maknanya angah nak cemburu. Cuma geram dengan perangai malas awak tu,” bidas Duha. Abahnya itu memang terlalu memanjakan Camila.
“Dahlah tu... Mila pergi mandi. Lepas tu kita makan.” “Wekkk!” Mila menjelirkan lidah pada Duha tanda puas hati abahnya memihak kepada dirinya.
Amirrahman berdeham. “Tengok tu... malulah abah dapat anak dara macam ni! Tak malu ke pada Abang Uthman tu?” tegurnya bersama dengan jegilan mata. Camila menekup mulut atas lepas lakunya. “Okay...sorry,” pinta Camila kemudian. Dia tertawa lagi.
Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com
Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483 HP: 019-3310102
Buku Prima: 03-51013888
Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)
Laman web: http://www.bukuprima.com.my/
emel: prima@bukuprima.com.my
Laman web: http://www.alaf21.com.my/
http://www.facebook.com/bukuprima
http://www.facebook.com/Alaf21



