Muka Depan Novel Cinta ABC oleh Emma Maizura.
KURUNG hijau muda dengan tudung serona warnanya lencun disimbahi peluh. Penat dia menyusuri lorong pejalan kaki. Bahang matahari perit menyiram ke seluruh alam. Kulit muka Camila sudah kemerah-merahan. Kala dia menoleh Suria, wajah itu juga sudah dipenuhi renik-renik peluh.
“Huh... kalau cuaca begini berterusan berbulan-bulan mahu mati kering-kontang kita. Macam kat gurun aje panasnya,” omel Camila. Diraup kedua-dua tapak tangan ke muka bagi menghilangkan peluh yang merenik.
“Jom, pekena ABC kat gerai Kak Jah.” Camila menoleh ke wajah Suria. Kulit wajah kawannya itu berminyak akibat kesan pancaran cahaya matahari. Camila mendongak membuang pandang ke langit yang terang.
Matahari bersinar garang tiada tanda hujan akan membasahi bumi. “Okey jugak panas-panas ni dapat ABC. Sejuk sikit tekak aku.” Suria mengangguk setuju. Pantas mereka berdua menuju ke Gerai Kak Jah di Taman Tasik Permaisuri. Beberapa minit sahaja mereka berdua sudah berada di hadapan gerai itu.
“Hai... anak dara berdua nak pesan apa?” ramah Kak Jah menegur. Sering singgah menikmati air batu campur di gerainya membuatkan dia mengenali Camila dan Suria.
“Kak... bagi kami ABC dua. Bungkus tau. Kurang manis ya?”
Sehabis mendengar pesanan Camila, Kak Jah mengangguk. Camila menutas pandangan ke sekitar kawasan Gerai Kak Jah. Walaupun berniaga di lokasi terbuka, Kak Jah sentiasa memastikan gerainya bersih. Disebabkan itu gerainya menjadi pilihan pelanggan.
Tidak semena-mena pandangan mata Camila memusat pada seorang lelaki tinggi lampai memakai kemeja dan bertali leher biru tua yang kian menghampiri Gerai Kak Jah.
‘Gila! Panas-panas terik pakai tali leher,’ kutuk hatinya jengkel.
“Kak, bagi saya ABC satu!”
Camila tersentak bila suara garau itu menadah ke telinganya. Lalu dengan ekor matanya, Camila memerhatikan reaksi lelaki itu. Di sebalik kaca mata hitam yang melekat di atas hidung wajah putih lelaki itu sudah kemerah-merahan.
‘Nak bergaya, tapi tak kena tempat. Tengah panas! Hisy... sewel!’ Entah mengapa hatinya tidak henti-henti mengomel tentang lelaki itu. Ada saja yang tidak kena.
“Makan sini ke bungkus, encik?” soal Kak Jah lagi. “Bungkuslah, kak... saya nak cepat.” Lelaki itu melipat lengan kemeja sehingga ke siku. Tali leher ditarik supaya tidak terus menjerut lehernya. ‘Tahu gak kau panas ya?’ omel hati Camila lagi. Dia tersenyum sinis.
“Tunggu sekejap ya, encik.” Tumpuan Camila kembali kepada Kak Jah. Satu per satu cara menyediakan air batu campur diperhatikan. Ketika itu, Kak Jah sedang mengisar sebuku air batu di mesin pengisar.
Cebisan halus air batu berlonggokan di dalam mangkuk yang menadah. Kak Jah menekan suiz ‘off’ mesin apabila mangkuk itu sudah dipenuhi dengan kisaran air batu. Cekap tangannya menggapai tiga gelas plastik. Lantas jagung hancur, kacang tanah, agar-agar warna-warni dan cendul dimasukkan ke dalam gelas plastik. Sejurus selepas itu dimasukkan pula air gula. Akhir sekali, air batu diceduk lalu dimasukkan ke dalam gelas plastik tadi.
“Alamak... tak cukuplah pulak,” bebel Kak Jah perlahan. Ingin mengisar air batu, namun lekas Suria meningkah. “Kami datang dulu, akak siapkanlah kami punya dulu,” tukas Suria tidak puas hati. Jika Kak Jah meneruskan kerja mengisar, semakin lama mereka berdua terpaksa menunggu.
Sedangkan tekaknya sudah kering kehausan. Saat itu juga, dia menyiku lengah Camila supaya bersuara menyokong. “Betul tu. First come first serve. Tolong siapkan kami punya dulu ya, Kak Jah.” Camila mengingatkan perempuan berusia 30-an itu. Lelaki itu tetap dengan sikap bena tak benanya.
Kak Jah mengangguk lantas menyambung kerjanya tadi. Dia menuang susu cair ke dalam gelas plastik berisi air batu kisar. Sudah siap, dia memasang penutup gelas plastik.
Dicapai beg untuk memasukkan kedua-dua gelas air batu campur itu, namun dia tersentak apabila ada tangan kasar yang menggapai salah satu gelas plastik itu.
“Bagi saya dulu ya, kak?” pinta lelaki itu tanpa rasa bersalah sambil mencapai straw di dalam bungkusan plastik. Kemudian, dia mengintai permukaan jam di pergelangan tangan kanannya. Dia keburuan masa.
“Ta... tapi, adik berdua ni dah tunggu lama.” Tergagapgapap Kak Jah membantah. Dia menjadi serba salah. “Alah... saya satu aje, kak. Dia orang berdua, tentu lambat.” Lelaki itu tidak mengendahkan alasan Kak Jah.
Situasi itu membuatkan Camila naik angin. “Pakai lawalawa, tapi tak tahu peraturan. Siapa datang dulu, dia dapat dululah,” omelnya sinis. Sekilas lelaki itu menjeling ke arah Camila. Tidak membidas sebaliknya mengeluarkan sekeping not RM50 dari saku kemejanya.
“Susahlah kalau orang tak faham bahasa ni. Eloknya disekolahkan balik dia ni.” Lelaki itu tetap diam bagaikan tiada perasaan. Wang kertas RM50 dihulurkan kepada Kak Jah. ‘Pekak ke apa lelaki ni?’ gumam hati Camila. Dia pula yang kegeraman sendiri.
“Kak, terima kasih! Duit lebih tu akak simpan ajelah. Saya halalkan. Lagi satu, akak kata kat budak sewel tu, saya bayarkan ABC dia sekali.” Selamba lelaki itu menghirup air batu campur yang sudah berada di tangannya.
“Kurang asam!” Camila marah. Namun lelaki itu tetap selamba sambil melangkah pergi dari situ. “Berlagak! Baru pakai kemas sikit dah ABC!” Akibat marah, Camila menjerit mengutuk lelaki itu. Pelanggan yang berada di Gerai Kak Jah terjeling-jeling ke arah Camila. Gadis itu buat muka selamba.
Lelaki itu pura-pura menulikan telinga. Panjang langkah kakinya diatur menuju ke tempat parkir kereta.
“Bencilah!” dengus Camila. “Jangan benci tu jadi rindu sudahlah, Mila,” usik Suria menyedari mata Camila asyik tertumpu pada lelaki itu sejak kemunculannya.
Kak Jah turut ketawa dengan gurauan Suria. Dikenyitkan mata pada Suria sebagai tanda menyokong.
“Kau pun sama dengan lelaki tu!” bentak Camila. “Hisy, mana ada sama? Aku pakai baju kurung. Dia segak dan bergaya dengan kemeja dan tali leher,” tokok Suria mengenakan kawannya itu.
“Kak... bak sini ABC saya. Ni duitnya.” Sekeping wang kertas sepuluh ringgit dihulurkan pada Kak Jah. Dahi Kak Jah berkerut untuk mengambilnya. “Kan abang kacak tu kata dia belanja,” tegas Suria mengingatkan.
“Aku tak nak termakan budi. Bujang lapuk tu bukan ikhlas. Halal pun tak agaknya.” Camila tetap berkeras mengarahkan wanita 30-an itu mengambil duitnya.
“Suka hati kaulah, Mila.” Kak Jah menggeleng kepala dan mengambil wang itu. Suria hanya tersengih memerhatikan gelagat rakannya itu. Boleh tahan egonya.
Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com
Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483 HP: 019-3310102
Buku Prima: 03-51013888
Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)
Laman web: http://www.bukuprima.com.my/
emel: prima@bukuprima.com.my
Laman web: http://www.alaf21.com.my/
http://www.facebook.com/bukuprima
http://www.facebook.com/Alaf21





