Muka Depan Novel Cinta ABC oleh Emma Maizura.
SUASANA ruang tamu itu sepi bagai tiada penghuni. Camila berbaring di atas sofa. Jam di dinding menunjukkan tepat pukul 5.00 petang. Otaknya sudah tepu untuk terus menelaah.
Merayap matanya ke setiap ruang tamu, mencari kelibat Amirrahman. Di mana abahnya berada ketika itu? Mungkin di halaman rumah menyiram pokok bunga, atau di dapur membuat juadah minum petang? Entah, dia kurang pasti.
Semenjak bersara sebagai penjawat awam, itu sahaja rutin harian abahnya. Lebih suka memasak dan mengemas rumah selain mengasuh Insyirah, anak Nuha secara sambilan jika along dan abang iparnya ada urusan serentak. Sebelah petang pula, Amirrahman akan berjoging di taman. Jika ada masa terluang, dia akan turut serta dalam aktiviti itu.
Sekali lagi mata Camila meliar mencari abahnya. Ah... bosannya! Tiba-tiba matanya tertunak pada sebuah buku berilustrasi menarik pada kulitnya. Buku itu terselit di celahcelah buku rujukannya. ‘Puteri Pokok Semalu’ sebuah cerita dongeng rakyat.
Hmm... mesti sedap cerita ni. Cerita untuk budak pun budaklah. Layan bagus jugak ni, detik hatinya. Helaian pertama buku cerita yang berwarna-warni dibuka dan dibaca. Cerita kanak-kanak bahasanya mudah. Apatah lagi penggunaan suku kata yang diwarna dengan dua warna iaitu hitam dan merah. Sekejapan bacaannya hampir tamat.
Dia tersengih-sengih menghayati cerita itu. Tidak semena-mena fikirannya melayang jauh ke alam fantasi. “Wahai anakanda, Puteri Camila yang cantik jelita.”
“Ya, ayahanda...” sahutnya hormat. “Kini, anakanda sudah meningkat remaja. Cantik rupawan dipandang mata. Ada seorang anak raja datang meminang anakanda.”
“Betulkah ayahanda?” soalnya gembira. Dadanya berdebar-debar.
“Benar anakanda. Ketika ini, bakal suami anakanda berada di ruang tamu. Marilah ayahanda perkenalkan kepada anakanda.” “Silakan ayahanda.” Dia sudah tidak sabar-sabar untuk melihat bakal suaminya. Pantas, dia mengekori ayahandanya ke ruang tamu.
“Anakanda... inilah bakal suami anakanda, Tengku Ludin.” Ayahandanya memperkenalkan putera raja itu. Anak raja bernama Tengku Ludin berdiri menyambut kedatangan mereka berdua. Dia terkejut melihat Tengku Ludin. Badan Tengku Ludin gemuk. Wajah Tengku Ludin hodoh. Matanya besar terbeliak dan giginya jongang.
“Apa... inikah bakal suami anakanda, ayahanda? Tidak! Tidak! Anakanda tak mahu!” Puteri Camila berasa takut apabila melihat Tengku Ludin. Dia tidak bersetuju dengan perkahwinan itu.
“Anakanda tak boleh bantah! Ini keputusan ayahanda!” “Tidak! Anakanda tak mahu berkahwin dengan lelaki gemuk dan jongang ni! Anakanda tak mahu! Anakanda tak mahu! Jangan paksa anakanda! Anakanda akan lari dari istana ini!” Dia ketakutan.
“Jangan takut tuan puteri!” pujuk Tengku Ludin. “Saya tak mahu berkahwin dengan awak! Jangan cuba hampiri saya. Saya tak suka wajah awak! Awak hodoh!”
Puteri Camila berlari keluar istana sambil menjerit-jerit meminta tolong. Namun, Tengku Ludin tetap mengejarnya. Ketika berlari kaki Puteri Camila tersandung batu. Kedebuk! “Aduh, sakitnya!” Muka Camila berkerut.
Tangan kanannya mengusap-usap punggung yang sengal mencium lantai. Sesaat kemudian, dia tersengih teringat gelagatnya tadi. Ya ALLAH, janganlah jodohkan aku dengan lelaki gemuk dan hodoh! Tiba-tiba telinganya menampan gelak tawa di ruang tamu itu.
“Hoi... mengigau ke apa ni? Tergolek atas lantai,” tegur Anas.
Muka Camila pijar diserbu malu saat tertunak pada Anas dan Amirrahman yang tergelak. “Eh... mana ada? Tak ada...” sanggah Camila selamba. Bingkas dia duduk santai di sofa. “Jangan nak buat muka lawak bodoh, ya kakak. Anas dah masak dengan perangai kakak. Tiba-tiba aje jatuh ke lantai. Mesti tengah berangan,” ejek Anas.
Dalam kalangan ahli keluarga, dia dipanggil kakak manakala Insyirah menanggilnya acik. Camila semakin tidak keruan dan serba salah. Buku cerita tersadai di atas lantai.
Menyedari buku itu, pantas ingin diambilnya, namun Anas lebih laju menerkam buku cerita itu. Camila tergamam. “Buku apa ni?” Anas membelek buku tersebut.
Sesaat kemudian, ketawanya bergema lagi. “Ya ALLAH... buku cerita Ira pun boleh jadi bahan angan-angan kakak...” Anas menggelengkan kepala. “Abah... sah mental anak abah yang seorang ni dah blackout.” Jari telunjuknya diangkat separas dahi lalu dipusingkan. Sisa tawa masih mekar di bibir.
“Hey... cakap baik sikit ya! Nampak tak ni?” Camila mengepal penumbuknya kejap. Anas tidak menghiraukan ugutan itu sebaliknya menjelir lidah mengejek.
“Dahlah, Anas... jangan sakat kakak lagi. Mari kita minum.” Amirrahman meredakan keadaan. Kalau dilayan akan berpanjangan pula gurauan mereka.
Camila tersengih. Bersyukur abahnya meredakan usikan Anas. “Minum... abah buat cucur bilis kegemaran kakak ya?” tanyanya bersahaja.
Amirrahman sekadar mengangguk.
“Anak dara tak malu! Pandai makan aje! Masak malas!” kutuk Anas selamba. Geram terbangkit di sanubari. Camila menjegilkan mata pada Anas yang bermulut celupar. “Mulut tu jaga sikit. Ada yang gigi berterabur nanti.
Kakak bukan malas, cuma abah tu terlebih rajin nak masak,” nafinya tidak mahu kalah.
“Dah kakak asyik berangan aje, kerjanya!” sinis suara Anas menyindir.
Amirrahman menggeleng kepala. “Dahlah, Anas...” Dia terpaksa mencelah untuk mematikan pertelingkahan itu. Camila memuncungkan bibirnya mengejek. “Uuu... abah sokong kakak.” Camila bertepuk tangan seronok tanpa menyedari kehadiran Duha dan Uthman di ruang tamu.
“Rancaknya berbual, riuh sampai kat luar dah dengar. Salam kami pun tak berjawab.” Duha terus mendapatkan Amirrahman untuk bersalam serta diikuti oleh suaminya.
“Apa lagi, Anas dengan Mila ni. Kalau dua-dua ada kat rumah, riuhlah jadinya rumah ni,” bebel Amirrahman. Malas hendak melayan kerenah anak-anaknya, dia menapak ke ruang makan.
“Angah dan abang nak dengar cerita tak?” soal Anas pada Duha dan Uthman. Kakak dan abang iparnya saling berpandangan.
“Cerita apa?” soal Duha ingin tahu. Anas menjeling ke arah Camila. Di bibirnya ada tawa.
“Ada orang tu berangan nak kahwin dengan anak raja. Sampai tergolek atas lantai terlampau feel.” Anas menokok tambah cerita sambil menekan perut.
“Ya? Anak raja mana?” Duha ikut menyakat. “Raja Kapor,” spontan Anas menjawab. Bergema gelak tawa di ruang tamu itu.
Amirrahman sekadar menggeleng kepala. Camila menjulingkan mata kepada mereka. Geram! “Bah... Mila nak naik atas mandilah,” rajuknya. Mengecil mata Amirrahman merenung ke arah anaknya itu. “Tak nak minum dulu?” tukas Amirrahman dari ruang makan.
“Dah tak ada selera.”
“Tuan puteri merajuk ya? Marilah kita santap cucur bilis,” sakat Anas lagi.
Uthman yang mendengar sekadar tergelak. Seronok dengan kemesraan adik-beradik isterinya itu.
“Anas, dahlah tu. Kamu berdua ni tak habis-habis nak sakat Mila. Ini belum ada along,” tegur Amirrahman saat terkesan perubahan riak wajah Camila. Wajah itu sudah mencerut. Sungguhpun bersikap keanak-anakan kadangkala Camila sensitif. Dia menghela nafas lemah mengekori lenggok anaknya mendaki tangga.
Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com
Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483 HP: 019-3310102
Buku Prima: 03-51013888
Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)
Laman web: http://www.bukuprima.com.my/
emel: prima@bukuprima.com.my
Laman web: http://www.alaf21.com.my/
http://www.facebook.com/bukuprima
http://www.facebook.com/Alaf21





