• Cantik Sehijau Epal oleh Intan Arnida Cantik Sehijau Epal oleh Intan Arnida
1 /

KENAPA you tak jawab call I tadi? SMS pun tak balas!” luah Lidya sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada Firouz Iman malam itu. Sempat dia mengerling pada muka jam yang tergantung di dinding. ‘Dah pukul 12.00 malam baru nak call balik? Selama ni ke mana kau pergi?’ getus hatinya.

Kakaknya telah lama hanyut dibuai mimpi. Sebaik saja selesai menunaikan solat Isyak, Rania terkapar di atas katil. Keadaannya yang kurang sihat menuntut agar dia cepat berehat.

Sementara Lidya pula terus mematung duduk di ruang tamu. Fikirannya sarat, ligat berputar. Perasaannya juga lelah dan resah. Semuanya berkisar tentang Iman.

“I ada hal... handset tertinggal dalam kereta. Baru ni I terperasankan ada missed call dan sms dari you. You okey ke? Lain macam aje sms yang you hantar tu?” tanya Iman.

Lidya membatu. Sakit hatinya masih membisa. Dia memang tertunggu-tunggukan panggilan itu. Sepanjang malam tidak berdaya langsung hendak dilelapkan mata. Marah dan cemburunya bercampur baur. Berang kerana panggilan telefon tak berjawab, sms nya juga tidak berbalas. Cemburu meramas-ramas jiwanya.

“Tadi you pergi jumpa siapa?” terjah Lidya tidak sabar-sabar. Dia mahu lihat reaksi Iman sama ada jujur atau sebaliknya.  “Tadi bila?”

“Pagi dan petang,” “Pagi plus petang. Tadi? Eh, ramai yang I jumpa. Apek surat khabar, mamak roti canai, Mak Limah mi bandung, Ali teh tarik, Lim mekanik... yang mana satu?”

“Maksud I perempuan...”

“Mak Limah tu kan ke perempuan? Sape pulak yang kata dia pondan?” ujar Iman sempat mengusik.

“Bukan Mak Limah tuan punya kedai mi bandung tu! Tapi anak dara yang cantik, kulit kuning langsat, ada tahi lalat tengah-tengah dagu,” tegas Lidya. Tidak berselindung lagi.

“Pakai tudung, baju kurung?” sambung Firouz Iman segera. “Ya!”

“Muka bulat, mata bundar, kening lebat, berlesung pipit, tahi lalat tengah-tengah dagu?” “Ya! Ya!”

“Kenapa you tanya?” soal Iman curiga. “Kenapa pulak I tak boleh bertanya?” “Masalahnya pertanyaan you tu pelik,” ujar Iman.

“You tu yang macam ada apa-apa aje,” balas Lidya.

“Macam ada apa-apa, apa? You ada nampak ke I pergi jumpa dia?” “Jumpa siapa? Perempuan tahi lalat kat dagu tu ke?

Cakap! Siapa nama perempuan tu?” tanya Lidya melulu. Berdebar dadanya menahan cemburu.

“Mana I tahu? Tak sempat nak bertanya namanya pun. Atau... you memang kenal sangat dengan perempuan tahi lalat tu?” serkap Iman. Soalannya menyimpul jerat.

Lidya terbius. Mengetap-ngetap bibir. ‘Apa nak aku jawab?’ Hatinya berteka-teki. Takut kalau tersilap kata bicara, cinta yang menjadi mangsa. Tak mustahil jika sikap terburu-buru punca retaknya sebuah perhubungan. Akibatnya dua hati boleh bertelagah dan terbelah.

“Jadi, you ni cemburulah kononnya? Mana you tahu I pergi jumpa perempuan? You nampak ke? Atau you pasang spy suruh intip gerak-geri I?” tutur Iman.

Mulut Lidya terkunci. Sementelahan jiwanya sedang kacau, dia perlu pandai mengawal emosi. Yang penting, Iman tak boleh tahu yang dia ada hubung kaitnya dengan Rania. Lebih-lebih lagi jika lelaki itu tahu mereka adalah adik-beradik.

“Lidya?”

“Err...”

“I fahamlah kenapa you harus rasa cemburu,” ungkap Iman lunak, penuh makna. Nadanya separa memujuk.

“Kalau I cemburu pun sebab I sayangkan you,” sahut Lidya segera.

“Bukan hanya sebab tu... ada satu perkara lagi yang sengaja you tak nak mengaku.”

“Sebab apa lagi?” Dada Lidya semerta berdebar. Wajahnya pucat. ‘Dia tahu ke yang Rania tu sebenarnya kakak aku?’ hatinya menerewang dalam kekalutan.

“Hah! Betul, kan? Air muka you telah menjawab segala-galanya,” ucap Iman seolah-olah mereka sedang berhadapan.

“Apa maksud you ni?” tanya Lidya resah. “You cemburu sebab... sebab I ni handsomelah. Maklum, mana nak cari lelaki berdagu terbelah macam dagu hero Hindustan ni, kan?” Iman tertawa kecil di hujung talian.

Lidya mencebir. Jika Iman berada di hadapannya ketika itu, pasti cebiran bibirnya lebih panjang lagi. Perasan! Namun dia tidak dapat menidakkan yang lelaki itu memang tampan. Lebih-lebih lagi, raut wajah tirus itu bermata redup, dipayungi sebaris misai nipis. Ada iras-iras hero Hindustan. Macho habis! Tambah pula anak orang kaya. Sudah tentulah dia bimbang kalau buah hatinya dikebas orang.

“NAK keluar ke, Dya?” tanya Rania. Dia yang sedang membancuh minuman di dapur menoleh sebaik saja terdengar selak pintu depan dibuka.

“Aku ada hal,” balas Lidya pendek.

“Hal apa?” soal Rania. Tergesa-gesa dia keluar dari dapur sambil mengusung dulang berisi dua mug Nescafe 3 in 1.

“Semuanya nak kena repot kat kau ke?” Nada Lidya memerli. ‘Kaki sibuk!’ tokok hatinya.

Dia terus keluar sebaik saja pintu didedah. Kasut tumit tingginya yang tersangkut di pagar kayu serambi dicapai dan diletakkan di anak tangga, sedia untuk disarung.

“Siapa telefon kau tadi?” soal Rania mengekori adiknya dari belakang. Dulang minuman telah diletakkan di atas meja.

“Kawan,” jawab Lidya pendek. “Lelaki ke perempuan?” soal Rania.

Gerak kaki Lidya terhenti. Dia yang baru hendak menyarung kasut, menoleh ke arah kakaknya. “Yang kau busybody, kenapa?” “Sebab aku kakak kau. Takkan pakai macam ni nak keluar jumpa kawan? Lebih-lebih lagi kalau kawan kau tu lelaki,” tegur Rania. Seluar ketat dan baju singkat yang tersarung di tubuh Lidya menyakitkan matanya memandang.

“Ni simple apa? Kalau apa-apa hal senang. Ringkas nak bergerak, nak bertindak. Taklah koyak rabak macam kain kau masa kena langgar kereta semalam,” jawab Lidya dengan gaya mengejek.

Langsung tidak mempamerkan rasa malu, apatah lagi bersalah. Sambil terpusing-pusing dia menarik-narik baby-shirt sentengnya yang hampir menayangkan bahagian pusat.

Pinggang jean ketatnya pula ditarik-tarik naik ke atas. Namun potongan low cut seluar itu tetap mendedahkan pangkal punggungnya pada pandangan umum.

“Eeii... pakailah elok sikit. Dosanya bukan sekadar tertanggung pada diri kau, tapi aku juga dapat saham sama. Aku ni kakak kau, merangkap penjaga kau selepas ayah ibu kita tak ada. Dengarlah nasihat sikit,” omel Rania. Pangkal paha yang terasa sengal kerana kemalangan semalam diurut-urutnya sendiri.

“Yalah... kau aje yang baik, alim, sopan. Aku ni tak senonoh. Eh, ustazah dah solat sunat isyak? Solat dhuha? Dah habis baca zikir al-Ma’thurat? Baca yang al-Kubro jangan yang al-Sughro!” perli Lidya.

“Lidya, kesianlah pada arwah ayah ibu kita. Rohnya terseksa tengok gelagat kau macam ni,”

“Alah... bisinglah! Nak jadi baik bukan boleh main paksa-paksa. Tiba hidayah TUHAN nanti, aku berubahlah. Jangan nak sibukkan hal aku boleh tak? Dah aku nak pergi.”

Lidya membetul-betulkan rambut keritingnya yang sedikit keperang-perangan. Dia merenung ke dada langit yang cerah berbahang. Peluh menercik di wajahnya yang bermekap agak tebal. Beberapa helai tisu ditarik keluar dari poket depan jeannya lalu ditekap-tekapkan ke muka. Dia mengeluh kecil kerana matahari semakin terik.

“Ambilkan aku payung!” arahnya selamba.

“Kaki aku sakit mana boleh bergerak sangat,” tukas Rania, masih mengurut-urut pangkal pahanya. Lidya berdengus. “Tolonglah... aku dah pakai kasut ni,” rengeknya mohon belas kasihan.

“Kenapa nak pakai payung? Bukan hujan pun. Matahari tengah terang-benderang. Takut mekap cair sebelum sempat jumpa pakwe, ya?” usik Rania.

“Hisy!” bentak Lidya. Sambil merungut-rungut kecil, dia menghentak-hentak kaki lalu masuk ke dalam rumah.

“Buka kasut, Lidya.”

“Aku nak cepat!” Selamba saja Lidya menerobos masuk. Langkahnya terus dihentak-hentak menuju ke bilik. Seketika kemudian dia keluar dengan sekaki payung berwarna merah jambu. “Kalau aku balik lambat, jangan ngada-ngada nak telefon aku. Aku ni bukan budak kecik lagi. Taulah jaga diri!” luahnya sambil mengibas-ngibas payung yang sedikit berhabuk.

Ketika hendak keluar, sempat dia menyenggol bahu Rania yang terpacak tepi pintu. Hampir kakaknya tersungkur kalau tidak kuat berpegang pada jenang pintu.

“Baik-baik jalan, Lidya!” laung Rania sebaik saja adiknya mula menuruni anak-anak tangga.

“Taulah aku!” Lidya laju melangkah tanpa menoleh. Ligat langkahnya diayun menuju ke kedai Tauke Lim untuk mendapatkan khidmat teksi sapu.

LIDYA ARIANA sampai di Hotel 939 di Jalan Abdullah lewat jam 10.25 pagi. Jarak rumah sewanya yang terletak di mukim Bukit Pasir dengan bandar Muar tidaklah begitu jauh. Kira-kira 6 km saja. Dan untuk sampai ke destinasi, dia memerlukan masa kira-kira 15 minit saja jika menaiki teksi.

Selepas menjelaskan bayaran tambang, gadis itu bergegas menaiki anak tangga menuju ke Kafe Bistro Delifrance. Sebaik saja dia berada di pintu masuk, seorang pelayan lelaki telah sedia membukakan pintu untuknya sambil tertunduk hormat.

“Good morning, miss. Welcome to Bistro Delifrance,” sapa pelayan yang berbangsa Cina.

Lidya sekadar mengangguk dan melangkah masuk. Alunan muzik instrumental semerta menangkap ke gegendang telinganya. Tiupan saksofon dari Kenny Roger terdengar berkumandang. Diputarkan dengan volume perlahan.

Lidya terus mengatur langkah perlahan menyusuri lorong tengah. Ruang kafe itu masih lengang. Maklum, kafe tersebut baru dibuka seawal jam 10.00 pagi tadi.

Waktu sebegitu memang hanya sebahagian kecil saja meja-meja yang ditempah pelanggan. Selebihnya masih kosong. Alas dan skirting berwarna krim dengan sekuntum mawar merah hidup dalam vas tinggi runcing diletakkan di setiap meja, memenuhi segenap ruang. Dilengkapi pula dengan kerusi banquet bersarung dan bereben daripada rona yang serupa. Susun aturnya menarik, kemas dan nampak cukup eksklusif.

Lidya terpaku seketika sambil tercari-cari wajah seseorang.

“Hai, awal tiba?”

Lidya semerta menoleh. Saat itu bahunya terasa disentuh mesra. Firouz Iman tegap berdiri di hadapannya sambil menghadiahkan senyuman. Lidya menghela nafas lega, membalas senyuman dengan girang.

“Tepat masanya you datang,” ujar Lidya sambil mengerling muka jam yang melekap di pergelangan tangannya.

“Well, sharp on time. Nak jumpa buah hatilah katakan...” balas Iman. “Have a seat, my dear,” tokoknya lalu mendepangkan sebelah tangan ke arah set meja yang berdekatan. Iman bergegas menarik sebuah kerusi lalu mempersilakan kekasihnya duduk.

Seorang gadis pelayan segera tampil membawa menu untuk mengambil pesanan. Pasangan kekasih merpati sejoli itu mengambil keputusan untuk memesan minuman panas. Lidya memilih coklat berkrim, manakala Iman mahukan secawan teh tarik.

“You tak nak makan ke? Dah breakfast ke belum?” soal Iman. “You sendiri dah sarapan ke?” tanya Lidya kembali.

“Excited nak jumpa buah hati, sampai terasa kenyang sejak malam tadi,” usik Iman.

“Oh... kalau dah dapat jumpa macam ni, maknanya you boleh tahan lapar sampai setahunlah, ya?” seloroh Lidya.

“Hisy, mana pulak? Kalau dah kahwin nanti, I nak makan enam kali sehari. Semuanya you yang kena masak, sediakan dan layan I. I cuma nak berlingkar atas tilam. I want to be... just like a king!” ucap Iman lalu tersengih.

“Ulang sekali lagi,” balas Lidya dengan mata separa terjegil.

“Enam kali sehari. Sarapan pagi, minum jam sepuluh pagi, makan tengah hari, minum petang, makan lewat petang dan makan lewat malam,” ujar Firouz Iman bersahaja.
Lidya meneguk liur. “ Tabiat makan you memang macam tu ke?”

“Ya, memang.”

‘Tak padan badan kurus, kuat makan rupanya pakwe aku ni. Aku buat cekodok pun jadi leper, macam lempeng. Ni kan pulak nak masak makan malam dan tengah hari.’ Hati Lidya diulit bimbang.

“You pandai masak tak?” sergah Iman.

Lidya terkulat-kulat, baru tersedar daripada lamunannya seketika. Lelah perasaannya. Pandangan matanya dilarikan. Tak tahu apa yang mesti diucapkan.

“Tengok caranya... you masak nasi pun tak tahu ni. Hai... kurus macam lidilah badan I bila kahwin dengan you nanti,” giat Iman terus.

“Apa susahnya? Sekarang ni semua orang masak nasi pakai periuk elektrik. Ikut ajelah sukatan beras dan airnya,” balas Lidya penuh yakin. Walhal di rumah, tak pernah sekali pun dia cuba memasak nasi. Dia hanya memerhatikan apa yang biasa dilakukan oleh Rania dari jauh.

“Masak lauk pandai?” pintas Iman tiba-tiba.

“You ajak dating ni sebab nak sumbatkan slot interbiu sesi masak-memasak ke?” Lidya resah dengan reaksi Iman. ‘Macam nak jerat aku aje,’ desis hatinya.

“Sebelum you kena interbiu dengan ibu I, lebih baik I interbiu you dulu. Kita kena praktis dari sekarang.”

“I nak kena interbiu jugak dengan ibu you ke?” tanya Lidya sedikit menggelabah.

“Ya. Dan untuk pengetahuan you, setakat ni ramai yang kecundang. Siang-siang dah kena reject. Dan semestinya tak ada mahkamah rayuan di hati ibu I, tau!” tutur Iman bersahaja.

Lidya terdiam. Kata-kata itu merimaskan jiwanya. ‘Ramai kena reject? Habis... nasib aku macam mana nanti?’

“Tentunya keluarga I mahukan pilihan terbaik. Maklum, I anak lelaki tunggal alias pewaris segala kekayaan keluarga yang bernilai jutaan ringgit. Tak hairanlah kalau ramai yang tergila-gilakan I.

Berebut-rebut perempuan yang nak menghimpit I. You jealous, kan?” celoteh Iman sambil menjongket-jongketkan kedua-dua belah kening dengan niat menyakat. Dia tahu kerlingan mengusik itu bakal menyemarakkan lagi keresahan di jiwa teman wanitanya. Sengaja dia mahu menjerat perasaan gadis itu. ‘Kalau cemburu, ertinya sayanglah tu,’ pancingnya terus.

“Maknanya ramailah makwe you tu, ya?” pintas Lidya dengan dahi berlapis.

“Err... boleh tahanlah. Kalau nak kira dengan jari tangan dan kaki, memang tak cukup. Kena tambah lagi dengan jejari-jejari sotong macam iklan DIGI tu kot...” Senyuman tipis terukir di bibir Iman. Entah apa sebenarnya yang ingin dilahirkan daripada senyuman misteri sebegitu.

Lidya semerta menarik muka. Tidak selesa benar dengan kenyataan kekasih hatinya walau sekadar suatu gurauan.

“Kenapa buat muka macam ‘Angry Bird’ mengamuk pulak ni,” usik Iman.

Lidya tidak membalas. Hatinya digaru kebimbangan. Perasaannya terganggu gugat. Jiwanya berkocak, berperang hebat.

‘Eh kalau macam tu, berapa ramai makwe dia sebelum ni? Hobi utama dia cuma kumpul teman wanita aje ke? Dia ni kasanova ke buaya tembaga?’ omel hatinya.

“You janganlah salah anggap pulak, sayang. Calon-calon tu semua pilihan ibu. You nilah satu-satunya pilihan I. Calon paling unggul dan anggun,” jelas Iman seolah-olah menjawab keresahan hati Lidya. Dia merenung dalam ke wajah gadis di hadapannya. Tersenyum memberi harapan.

“Boleh percaya ke?” soal Lidya dengan dahi berlapis. “Kenapa tak nak percaya?”

Lidya terdiam. Fikirannya sarat berputar dengan persoalan. ‘Habis yang kau rajin sangat jenguk Rania tu apa hal? Pagi petang datang ke rumah. Siap boleh ingat muka akak aku tu bulat, ada lesung pipit, tahi lalat tengah dagu, matanya bundar, kening bercantum... Tu yang aku tahu sebab terkena kat akak aku. Yang di luar pergetahuan aku pulak, entah macam mana agaknya,’ omel hatinya terus.

 

Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com/

Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  HP: 019-3310102

Buku Prima: 03-51013888


Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)

Laman web: http://www.bukuprima.com.my/

emel: prima@bukuprima.com.my


Laman web: http://www.alaf21.com.my/

http://www.facebook.com/bukuprima

http://www.facebook.com/Alaf21